Selasa, Disember 21, 2004

Keluarga gadis mahu saman pemain bola

KLUANG: Keluarga Norlida Abdul Rahman yang menanggung malu selepas pemain bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan gagal menghadirkan diri pada majlis perkahwinan di rumah mereka di Felda Ulu Dengar, Kahang Timur, di sini Sabtu lalu akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Bapa Norlida, Abdul Rahman Mansor, 54, berkata beliau kini hanya menunggu pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang, S Ramis hari ini untuk berbuat demikian.Beliau berkata, pelbagai pihak mencadangkan supaya menyaman Hasmawi kerana memalukan keluarganya dan menjejaskan maruahnya.“Saya sedang menimbangkannya. Ramai yang mencadangkan kami mengemukakan saman malu dan mendapatkan ganti rugi kerana nama baik sudah tercemar, selain kerugian kos mengadakan majlis yang tidak jadi itu.“Kami juga masih berharap dia atau keluarganya memberikan penjelasan berhubung kejadian itu. Namun, sehingga kini mereka belum berbuat demikian.“Kami bukannya hendakkan duit mereka, tetapi cara itu tidak beradat. Lagi pula, bapanya pernah mendakwa sanggup menghadapi segala kemungkinan akibat perbuatan anaknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.Beliau berkata, pihaknya difahamkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman turut bersimpati dan meminta Ramis menemui keluarga mereka petang ini.Selain itu, beliau bersyukur kerana Norlida, 23, tabah menghadapi cubaan berkenaan dan sudah memutuskan untuk tidak lagi menerima pemain bola sepak terbabit jika ingin kembali kepadanya.Semalam, Berita Harian melaporkan Norlida terpaksa melupakan majlis pernikahan dan persandingan pada saat akhir apabila Hasmawi memutuskan pertunangan mereka menerusi pesanan menggunakan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada Jumaat lalu.Bagaimanapun, majlis kenduri diteruskan lalu berikutan kad jemputan sudah diedarkan kepada kira-kira 1,000 tetamu, rakan dan saudara.Sementara itu, pelbagai pihak berpendapat Norlida boleh mengambil tindakan mahkamah dengan menuntut ganti dan saman malu ke atas pemain Hasmawi kerana membatalkan perkahwinan mereka pada saat akhir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman, berkata pihak yang dibatalkan perjanjian boleh menuntut ganti rugi khas dan am kerana pihak satu lagi melanggar perjanjian bersama yang sudah ditetapkan.“Ganti rugi yang boleh dituntut termasuk segala kos yang ditanggung bakal pengantin perempuan dalam menyiapkan majlis yang sudah dirancang selain ganti rugi malu dan kesan terhadap maruah keluarga,” katanya kepada Berita Harian semalam. Norlida hanya menerima SMS bertulis ‘Pa minta maaf harap Ma faham. Mungkin ditakdirkan kita tak ada jodoh. Minta maaf kat abah dan mak, bukan niat Pa untuk malukan depa’, daripada pemuda itu Jumaat lalu.Berita mengenai pembatalan perkahwinan Norlida semalam mendapat reaksi pelbagai pihak, kebanyakannya melahirkan simpati terhadap gadis itu. Rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 dan Radio Era pagi semalam turut dihujani panggilan telefon dan SMS daripada orang ramai yang bersimpati.Zaitoon berkata, tindakan boleh diambil bagi menebus kembali ganti rugi yang diterima pihak yang dilanggar perjanjian kerana pada dasarnya kedua-dua pihak sudah bersetuju melaksanakan perjanjian mereka untuk berkahwin.Peguam Syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, pula berkata membatalkan pertunangan pada hari perkahwinan dengan hanya menggunakan SMS adalah perbuatan tidak beradab, tidak bertanggungjawab serta mengaibkan.Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan keluarga gadis yang menerima keputusan berkenaan menerima aib.“Pertunangan juga dilindungi dan ia terkandung dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam. Ia adalah sebuah kontrak perjanjian antara lelaki dengan perempuan dan kedua-dua pihak wajib mematuhinya dengan cara terbaik.“Jika ada mana-mana pihak yang berhasrat membatalkan ikatan berkenaan, prosedur pembatalan juga mestilah dilakukan dengan cara beradab dan penuh sopan sebagaimana berlangsungnya majlis perkahwinan,” katanya.Mohd Zaidi berkata, jika kontrak berkenaan dilanggar dengan cara begitu (melalui SMS) tanpa sebab dan alasan munasabah, pihak yang melanggar kontrak wajib menanggung segala kerugian ditanggung pihak satu lagi.“Kerugian yang perlu ditanggung termasuk membabitkan persiapan untuk perkahwinan sekiranya majlis sudah dipersetujui bersama untuk dilangsungkan.“Bagaimanapun, dari segi moral dan agama, jika pembatalan kontrak pertunangan dilakukan dengan sebab munasabah, ia perlu dilakukan dengan cara yang terbaik,” katanya.Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail, pula mencadangkan supaya kontrak pertunangan perlu didaftarkan bagi mengelak penyalahgunaan teknologi maklumat dalam mengambil mudah perkara membabitkan nikah kahwin.“Islam jelas berpegang pada janji dan pertunangan adalah perjanjian yang diikat antara dua pasangan untuk melangsungkan perkahwinan justeru ia juga perlu dihormati dan tidak boleh dipermainkan.“Jika didaftarkan, pertunangan memerlukan prosedur dan pembatalannya juga memerlukan langkah sama serta tidak boleh dibatalkan sewenangnya yang dilaksanakan dalam prosedur perkahwinan dan pernikahan,” katanya.

7 ulasan:

Mr_Rizal berkata...

ku harap, orang kedah yang perempuan tak seburuk perangai yang lelakinya... eekekekekek

Shima berkata...

ala..setakat putus tunang, lelaki xnak kawin ngn perempuan ni dh slalu jadi..bkn org kedah je. cuma kes ni gempak sbb dh advertised kan. so, sendiri mau ingatla...ingatblh buat org perempuan cmtu ke..main tingal je.

the legend berkata...

alamak, tak pyh la nk boh org kedah je pak raja oi..ntah2 org selangor pon banyak jugak..tak kira la org mana pon..kalau dh perangai camtu, mmg camtu la..perangai setan dia..lagi pon dia tu pemain kedah, tapi asal dia..bukit mertajam..tak kesah la org mana kan..tapi yg lain tu beringat je la...

tapi, dia nie mmg setan pon..last2 minit buat dajai plak, dia ingat dia bule lepas kot..silap la kawan...mampus tu nanti, pedajai orang..

Shima berkata...

heheh..ya la. pak raja dh silap..dia tu bkn org kedah...just main utk kedah je. xkisah la org mana pun...kalau nk buat jahat sesapa pun blh buat.

Mr_Rizal berkata...

iya.. iyalahh!! itu masalah diorang, biar diorang sendiri settle.. problem sendiri pun belum oleh settle nak sibuk problem orang lain..

Shima berkata...

hehe...iyalah iyalah! nk cover la tue ye

hanny berkata...

i rasa...kita tak boleh nak salahkan player tu...dia mesti ada sebab2nya tersendiri....so,i think pihak perempuan tu mesti tahu puncanya....tak payahlah nak salahkan dia untuk dapatkan publisiti....