KOLEKSI KATALOG
PERPUSTAKAAN TERAWAL MUZIUM PERAK TAHUN 1886
Catalogue of the Library of the Perak Government Museum, Thaipeng yang diterbitkan pada tahun 1886 oleh Singapore and Straits Printing Office merupakan bukti awal usaha sistematik dalam pengumpulan dan pengurusan maklumat oleh institusi awam di Tanah Melayu. Katalog ini disusun hasil inisiatif kurator pertama Muzium Perak, Leonard Wray Jr., yang turut memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju intelektual permuziuman pada masa itu.
Dalam mukadimahnya, Leonard Wray Jr. menyatakan hasrat kerajaan Negeri Perak untuk menubuhkan sebuah perpustakaan yang menghimpunkan karya rujukan serta pelbagai jenis literatur berkaitan Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu. Beliau turut mengajak para pegawai kerajaan dan orang awam agar menyumbangkan bahan bacaan seperti buku, risalah, kertas kerja, manuskrip dan dokumen tempatan bagi memperkayakan koleksi perpustakaan tersebut.
Katalog ini disusun secara alfabetikal mengikut nama pengarang dan merangkumi maklumat bibliografi penting seperti tajuk, bilangan jilid, tempat dan tahun terbitan, serta status perolehan. Beberapa koleksi yang ditandakan dengan (*) dikenal pasti sebagai milik peribadi Mr. Noel Denison, Superintendent of Lower Perak,yang telah dibeli untuk melengkapkan koleksi perpustakaan. Meskipun tidak menggunakan sistem klasifikasi moden seperti Dewey atau Library of Congress, struktur bibliografi katalog ini menunjukkan pendekatan sistematik yang kemas. Amalan seperti penunjuk silang (contohnya, see Thomson, J.T.) telahpun diterapkan dan dokumentasi yang tersusun.
Katalog ini membuktikan kewujudan sistem maklumat teratur dalam institusi awam, khususnya di Muzium Perak. Mencerminkan pendekatan awal dalam pengurusan perpustakaan serta menyokong peranan muzium sebagai pusat pengetahuan dan rujukan. Katalog ini juga boleh dianggap sebagai asas kepada bibliografi dan koleksi nasional dalam pembangunan institusi perpustakaan di Malaysia. Selain berfungsi menyimpan dan mempamerkan artifak, muzium juga turut berperanan sebagai pusat rujukan penting, khususnya bagi pegawai kolonial, naturalis dan penyelidik. Ini menunjukkan peranan strategik muzium dalam penyebaran ilmu sejak awal penubuhannya.
Sumber: FB Muzium Perak Taiping Rasmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
The Legend mengucapkan terima kaseh di atas komen yang telah diberikan...