Rabu, Mei 14, 2025

Baca buku di Dataran Merdeka juga perlu kelulusan, kata DBKL

Foto ihsan federasi.my


PETALING JAYASebarang perhimpunan termasuk aktiviti bagi tujuan ilmiah yang ingin dijalankan di Dataran Merdeka perlu mendapatkan kelulusan rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlebih dahulu.

Di sebalik dakwaan ‘mengganggu’ majlis baca buku, DBKL berkata syarat permohonan itu bukan hendak menyekat penganjuran program bermanfaat tetapi untuk memastikan segala peraturan sedia ada khususnya berkaitan kebersihan, keselamatan dan ketenteraman awam dipatuhi.

“DBKL mengalu-alukan usaha anak muda serta masyarakat yang ingin menganjurkan aktiviti berasaskan ilmu, pembacaan dan seni jalanan yang
mendidik dan membina masyarakat celik ilmu. Namun, pihak penganjur perlu berhubung dengan DBKL bagi mendapatkan panduan atau kelulusan yang sesuai bagi mengelak salah faham dan memastikan kelancaran program,” katanya pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan.

DBKL berkata, permohonan awal juga penting bagi memastikan petugas di lapangan mengetahui aktiviti dijalankan agar tiada kekeliruan timbul semasa pemantauan rutin dilakukan.

“Ini penting memandangkan Dataran Merdeka merupakan kawasan ikonik tumpuan pelancong dan sering digunakan untuk acara rasmi serta peringatan sejarah,” katanya.

Katanya, penggunaan ruang awam termasuk Dataran Merdeka adalah tertakluk kepada peraturan ditetapkan bawah perwakilan kuasa DBKL sebagai pentadbir bandar raya Kuala Lumpur. Dalam pada itu, DBKL berkata aktiviti yang berkaitan dengan perhimpunan awam juga perlu mendapatkan kelulusan polis, selaras peruntukan Seksyen 63 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Semalam, Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia dilaporkan mendakwa polis dan DBKL mengganggu aktiviti diskusi dan budaya membaca di Dataran Merdeka, Sabtu lalu. Majlis ‘Diskusi dan Buku Jalanan’, yang dianjurkan secara santai dan terbuka didatangi kira-kira lapan hingga 10 anggota penguat kuasa – tiga daripadanya berpakaian seragam DBKL, manakala selebihnya berpakaian preman.

Menurut kumpulan itu, pegawai dari Balai Polis Dang Wangi mempersoalkan sama ada mereka telah menghantar surat makluman kepada ketua polis daerah, kemudian diarah bersurai. Kumpulan itu berkata, mereka percaya bahawa membaca, berdiskusi, dan menggunakan ruang awam secara damai tidak seharusnya dilayan seperti satu kesalahan.

Sumber: Free Malaysia Today 

Tiada ulasan: