Rabu, Mei 07, 2025

Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan

Sumber: FB Masjid Jamek Ar-Ridzuan

Lokasi masjid di tepi jalan besar

Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, yang telah berdiri sejak tahun 1931, kini berdepan risiko untuk dirobohkan. Masjid ini dibina hasil titik peluh dan sumbangan penduduk kampung, di atas tanah asal berupa ladang kelapa sawit yang telah diwakafkan oleh pengusahanya demi kepentingan umat Islam.

Namun begitu, tanah wakaf tersebut telah dijual oleh cucu kepada pewakaf kepada seorang pemilik berbangsa Cina. Pemilik baharu kini menuntut semula hak ke atas tanah tersebut, dan secara perundangan, beliau berhak kerana nama tanah tersebut telah pun didaftarkan atas namanya. Sekiranya tuntutan ini tidak diselesaikan, sebahagian daripada masjid bersejarah ini akan terpaksa dirobohkan.

Kerajaan Negeri Perak tidak berdiam diri. Dalam satu kenyataan rasmi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan akan menggunakan sebahagian daripada kutipan derma solat Jumaat seluruh negeri bagi menebus semula tanah tersebut, yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

Peristiwa ini menjadi peringatan besar kepada kita semua. Tanah wakaf bukan milik peribadi untuk dijual sesuka hati. Ia adalah amanah untuk ummah. Justeru itu, seluruh umat Islam diseru agar mendaftarkan secara sah segala tanah wakaf yang diuruskan, bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang dan demi menjaga maruah serta kedaulatan institusi masjid kita. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Akaun Bank Islam Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu: 08077010014368. 

Sumber: https://www.orangperak.com/masjid-jamek-ar-ridzuan-derma-jumaat-seluruh-perak-diguna-tebus-tanah.html

Tiada ulasan: