Jumaat, Mei 23, 2025

Keris Taming Sari


Tahun 1528 - Suka duka perjalanan Keris Taming Sari penuh dengan konflik dan tragis. Selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis, Sultan Mahmud Shah membawa keris ini bersama ke Kampar, Sumatera. Sebelum mangkat, Baginda mengurniakan Keris Taming Sari kepada putera Baginda, Raja Mudzaffar, yang kemudiannya berangkat ke Perak untuk menubuhkan kerajaan di sana pada tahun 1528. Keris Taming Sari yang sebenar inilah masih diwarisi dan digunakan dalam istiadat kebesaran Di-Raja Perak sehingga kini.

Keris Taming Sari merupakan sebilah keris yang digunakan oleh Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka. Keseluruhan sarung keris tersebut diselaputi dedaun emas. Keris ini amat terkenal dan dikatakan mempunyai kuasa sakti ketika bertarung. Selain itu, pemiliknya tidak lut dimakan senjata lawan ataupun kebal. Ia juga dikatakan berupaya terbang dan berlegar di udara ketika mengejar musuh walau ke mana sahaja musuh melarikan diri.
Nama Taming Sari sebenarnya adalah seorang pahlawan Jawa. Taming Sari telah diarahkan oleh Patih Gajah Mada iaitu Bentara Majapahit untuk membunuh Hang Tuah. Taming Sari memasuki Istana, kemudian mengamuk dan membunuh ramai orang. Hang Tuah yang berada di situ bangkit bertarung dan berjaya membunuh Taming Sari. Keris Taming Sari jatuh ke tangan Hang Tuah dan dipersembahkan kepada Seri Betara Majapahit. Lalu Baginda menganugerahkan Keris Taming Sari kepada Laksamana di atas jasanya membunuh Taming Sari.
Keris Taming Sari pernah dicuri oleh Sang Kertaksa, juga dari Majapahit. Laksamana Hang Tuah bagaimanapun berjaya mendapatkan semula keris tersebut dengan menggunakan ilmu sakti. Keris ini juga pernah digunakan oleh Hang Jebat sewaktu menentang Hang Tuah. Semasa bertarung, Hang Tuah telah merampas Keris Taming Sari dari Hang Jebat lantas menikam Hang Jebat lalu maut.
Dalam kisah Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah berasa malu untuk menghadap Sultan Melaka kerana gagal meminang Puteri Gunung Ledang untuk dijadikan suri Baginda. Oleh sebab itu, Hang Tuah mengirim dan mempersembahkan Keris Taming Sari kepada Baginda.
Sumber: Harian Metro & Facebook Jagat Impak

Tiada ulasan: