Selasa, Oktober 22, 2013

Langsir Kabah dilelong bermula RM1juta

KOTA BHARU 21 Okt. - Muzium Negeri Kelantan akan mengadakan sesi lelongan kain langsir pintu Kaabah yang dibawa khas dari Arab Saudi dengan harga permulaan sebanyak RM1 juta di muzium tersebut 31 Oktober ini.Pengarahnya, Ab. Rahman Abdullah berkata, selain kain langsir itu turut dilelong beberapa barangan lain seperti cebisan kain kiswah Kaabah dan cebisan kain kelambu makam Rasulullah SAW masing-masing pada harga bidaan permulaan sebanyak RM60,000.

Menurutnya, sesi lelongan berkenaan akan diadakan sempena majlis penutup Pameran Foto Tanah Haram yang dianjurkan pihaknya sejak hampir dua bulan bermula 1 September lalu.

"Kain langsir pintu Kaabah ini dibuat pada 2009 dan merupakan kain pendua bagi tujuan persediaan sekiranya terdapat kerosakan atau masalah pada kain langsir pertama yang dipasang.

"Kain langsir berukuran 6.4 meter x 3.4 meter dan beberapa barangan lain itu milik seorang warga Arab Saudi yang memberi kebenaran dilelong dengan harga permulaan sebanyak RM1 juta," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, kain langsir itu adalah asli dan disulam menggunakan benang emas dan perak seberat 90 kilogram.Sementara itu, katanya, kain kiswah Kaabah dan cebisan kain kelambu makam Rasulullah SAW yang turut dilelong biasanya digantikan setiap empat tahun.

Menurutnya, hasil lelongan bagi bidaan awal akan diberi kepada pemilik asal barangan berkenaan sementara selebihnya akan disalurkan kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin di Kajang, Selangor serta dihadiahkan kepada pihak muzium.

"Saya menjemput semua rakyat di negeri ini ke muzium ini dan melihat sendiri kain langsir pintu Kaabah yang dipamerkan selain pameran foto-foto kawasan Tanah Haram yang dirakam jurugambar profesional yang mempunyai keunikan tersendiri," katanya.

Menurut beliau, selain dipamerkan untuk tatapan umum barangan berkenaan dan foto-foto itu juga sedia untuk dijual kepada mereka yang berminat.Tambahnya, wang hasil lelongan tersebut akan digunakan untuk membawa penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin terdiri daripada ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib menunaikan umrah atau ibadat haji.

Sumber: Utusan Online

Tiada ulasan: