Isnin, Disember 02, 2013

Lorong Belakang kedai Seksyen 2 Shah Alam



SHAH ALAM, 2 DIS : Pihak berkuasa tempatan di negara ini disarankan mengambil contoh langkah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memberikan ruang dan peluang kepada generasi muda menunjukkan bakat dan kreativiti dalam lukisan dinding yang secara tidak langsung menceriakan dan memperindahkan sesuatu kawasan itu.

Pelajar Universiti Teknologi Mara Malaysia (UITM), Sabrina Suhaimi,19, berkata aktiviti melukis mural atau graviti ini perlu digalakkan bagi mengubah tanggapan orang ramai bahawa aktiviti itu sering dikaitkan dengan kegiatan yang tidak berfaedah dan membuang masa.

Katanya, melalui aktiviti ini maka individu berbakat dapat menyerlahkan hasil kreativiti mereka dengan melukis lukisan yang bermotif dan mempunyai mesej bagi memperindah sesuatu kawasan.

“MBSA perlu mempromosikan bahawa aktiviti lukisan mural ini adalah bagus kerana ia akan menyerlahkan bakat pelajar, pihak lain juga diharap akan dapat mencontohi usaha MBSA ini yang memberikan peluang kepada pelajar menunjukkan bakat inovasi mereka,” kata beliau ketika ditemui Selangor Kini.

Menurut peniaga, Maz Aiefa Mohd Mazli , 24, berkata usaha MBSA menukar imej lorong belakang di Seksyen 2 Shah Alam dengan kawasan kesenian adalah satu idea yang baik kerana mampu menaik taraf kawasan itu menjadi lokasi tumpuan orang ramai.

Katanya, beliau berharap orang ramai dapat memberikan sokongan kepada usaha ini dengan mengunjungi kawasan ini sambil dapat bergambar dengan lukisan mural yang dihasilkan dari kreativiti para pelajar IPT yang menjayakan usaha itu.

“Ia bagus kerana orang ramai dapat bersantai di sini dan secara tidak langsung peniaga dapat berniaga dan ia akan menjadi kawasan ini sebuah kawasan komersil tumpuan ramai,” katanya.

Ahli Majlis MBSA, Hisham Shariman, berkata idea kreatif ini menarik dan boleh dicontohi di tempat lain apabila lorong belakang yang selama ini tidak bermaya tiada aktiviti dapat dihidupkan dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

“Sebelum ini masyarakat kurang mengambil berat terhadap aspek keceriaan dan kebersihan lorong belakang premis, dengan adanya usaha MBSA maka satu budaya baru dapat dibentuk agar masyarakat menjaga kebersihan. Malahan dengan adanya aktiviti kesenian ini maka para penggiat seni dapat menyerlahkan bakat terpendam yang mereka miliki di khalayak ramai,” kata beliau.

Projek Laman Seni Shah Alam itu di Seksyen 2 menyediakan peluang kepada komuniti khususnya golongan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam menyerlahkan bakat dan kreativiti dalam kesenian dan kebudayaan.

Sumber: Selangorkini 
Gambar ihsan dari Selangorkini

1 ulasan:

amien7 berkata...

Seksyen 2 kat mana ni? Aku tak penah nampak pon. huhu