Berita Harian – 11 Jun 2018
Hari Pustakawan disambut pada 6 Jun setiap tahun dan 2018 adalah
tahun keempat ia diraikan untuk mengenang jasa dan sumbangan pustakawan di
dalam membina dunia maklumat dan perpustakaan. Hari perlu diingati oleh mereka
yang berada dalam dunia kepustakawanan kerana ini hari untuk mengenang jasa dan
sumbangan kita semua kepada negara.
Di Malaysia, kalangan pustakawan adalah graduan dari Universiti
Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) dan Universiti Industri Selangor (UNISEL). Mereka yang lahir
daripada institusi berkenaan sudah terdidik untuk memperkasakan dunia ilmu dan
maklumat serta menyebarkan kepada pengguna yang memerlukannya.
Berfikir secara kreatif
Pengurus sesebuah
perpustakaan perlu membuka minda dan berfikir secara kreatif dengan memasukkan
elemen luar seperti kafe, pusat permainan, restoran makanan segera atau taman
rekreasi untuk memberi suntikan kepada seni rekaan dalaman sesebuah
perpustakaan. Ia akan menjadikan perpustakaan sebagai tempat yang menarik
kepada pengguna, khususnya generasi muda. Perpustakaan universiti contohnya,
sering dijadikan tempat untuk bergambar sebagai mengabadikan kenangan
menghadiri majlis konvokesyen.
Oleh itu kita perlu mengharapkan pelajar tidak menjadikan
perpustakaan sebagai lokasi bergambar sahaja, sebaliknya selama bergelar
pelajar menjadikan perpustakaan sebagai tempat wajib. Di samping itu,
penggunaan media sosial perlu diterima dan digunakan di dalam perkara berkaitan
pekerjaan.
Menurut Laporan Digital 2018 dikeluarkan Hootsuit dan We Are
Social, Malaysia adalah negara kesembilan di dunia yang paling aktif di laman
sosial. Oleh itu, penggunaan media sosial yang aktif dalam kalangan penduduk
Malaysia perlu diambil peluang sebaik-baiknya oleh semua pustakawan. Penggunaan
media sosial dan aplikasi seperti YouTube, Whats-App, Facebook bukan sahaja
boleh membantu mempromosi perkhidmatan sedia ada, tetapi juga aktiviti yang
dijalankan seperti latihan, tunjuk ajar dan sebagainya boleh disebar melalui
media sosial terbabit.
Penggunaan media sosial boleh membantu untuk meningkatkan jumlah
pengunjung ke perpustakaan menerusi hasil kerja kreatif dengan segala bentuk
penyampaian maklumat dilakukan pustakawan dan petugas lain. Kita tidak perlu
berasa penggunaan media sosial akan mengambil alih sebahagian peranan dan tugas
pustakawan, tetapi sebenarnya ia sangat membantu kerana penggunaannya lebih
cepat, mudah serta memenuhi kehendak semasa.
Pustakawan tidak harus membiarkan teknologi ini tanpa menimba
ilmu pengetahuan di dalam mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan. Dengan
usaha dan semangat untuk menambah ilmu serta kepakaran, dapat menyumbang kepada
penghasilan kerja lebih baik. Pada tahun ini juga, kita bakal mengadakan
Persidangan Kali ke-84 World Library and Information Congress (WLIC) di Kuala
Lumpur pada 24 hingga -30 Ogos ini. Diharapkan semua pustakawan merebut peluang
daripada persidangan julung kali dengan tema Transform Societies, Transform
Libraries kerana pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman baru bakal diperoleh
ketika acara berlangsung.
Bina rangkaian sosial
Peluang pertama kali ini
perlu diraih kerana ia platform terbaik untuk membina rangkaian sosial dan
mengutip pengalaman melalui perbincangan, pembentangan kertas kerja, lawatan,
pameran dan persembahan kebudayaan. Selain itu, besar juga harapan pustakawan
di negara ini kepada kerajaan baharu agar dapat menambahbaik skim perkhidmatan
supaya menjadi lebih menarik seperti kenaikan pangkat secara Time-based'.
Ia dapat memberi peluang kepada mereka yang sudah lama
berkhidmat untuk menikmati kenaikan pangkat dengan lebih mudah serta mentadbir
berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang ada.
Akhir sekali, selamat Hari
Pustakawan kepada semua pustakawan, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan
mahupun swasta. Terima kasih juga kepada pensyarah yang sudah mendidik kami.
Azizan
Arshad
Pustakawan Kanan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia
Pustakawan Kanan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia
Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/surat-pembaca/2018/06/436564/pustakawan-mesti-kreatif-inovatif-seiring-revolusi-industri-40
Tiada ulasan:
Catat Ulasan