Kembalinya
lokasi peminat buku ibu kota
Wilayahku – 17 Jan 2020
LEBIH santai dan pastinya bakal menjadi tempat
tumpuan golongan muda selain menyemarakkan lagi program Kuala Lumpur sebagai
Ibu Kota Buku Dunia 2020
MEMBUDAYAKAN aktiviti
membaca dalam kalangan warga kota menjadi objektif utama pihak Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) supaya amalan tersebut menjadi imej kepada bandar raya ini.
Justeru apabila Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL) yang bersebebelahan dengan
Dataran Merdeka dibuka semula pada tahun lalu, ia sudah pasti menjadi berita
gembira buat peminat-peminat buku di ibu kota untuk mengisi waktu mereka
menelaah koleksi-koleksi bacaan menarik di situ. Menurut Pustakawan Kanan PKL,
Rosidah Ismail, PKL mula dibuka pada tahun 2004 dan ia menjadi tumpuan utama
golongan ulat buku di ibu kota untuk mendapatkan bahan bacaan.
“Bagaimanapun,
perpustakaan ini ditutup untuk tujuan ubah suai pada 2017 sehingga Jun 2019 dan
dibuka semula kepada orang awam pada 4 November lalu.
“Yang menarik mengenai
perpustakaan ini adalah transformasi yang dilakukan adalah menggunakan
kepakaran dalaman DBKL diketuai Timbalan Pengarah Kanan (Arkitek), Norzaini
Noordin,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.
Kata Rosida,
perpustakaan itu memuatkan kira-kira 180,443 koleksi buku sehingga Disember
lalu.
“Dengan penglibatan
Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020, pihak kami akan menambah lagi
bilangan buku pelbagai genre untuk pengunjung. Kebiasaannya, unjuran untuk lima
tahun akan datang, sesebuah perpustakaan perlu menambah koleksi buku
sekurang-kurang 20 peratus,” katanya.
Dengan kos
pengubahsuaian dalaman melibatkan kira-kira RM34 juta, perpustakaan berkenaan
tampil lebih santai dan pastinya bakal menjadi tempat tumpuan golongan muda
selain menyemarakkan lagi program Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia
2020. Menerangkan lebih lanjut, Rosidah berkata, perpustakaan ini mempunyai dua
tingkat dan pengubahsuaian yang dilakukan arkitek melibatkan struktur asal
bangunan berkenaan.
“Di tingkat bawah tanah
terdapat Auditorium Tan Sri Elyas Omar namun kawasan ini terpaksa ditutup
disebabkan beberapa perkara teknikal. Di tingkat bawah juga terdapat sebuah
surau untuk kegunaan pengunjung serta kakitangan PKL,” katanya. Ujar Rosidah
lagi, antara pembaharuan yang dilakukan adalah diletakkan sekali perpustakaan
kanak-kanak di dalam satu bangunan selain mewujudkan ruang interaktif yang
pasti boleh menarik perhatian anak-anak ke perpustakaan.
“Sebelum ini,
perpustakaan kanak-kanak berada di Bangunan Annexe PKL namun kerana terdapat
kesukaran kepada ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka, maka kami
berpendapat wajar disekalikan sebagai kemudahan untuk seisi keluarga.
“Selain itu, di dalam
ruangan perpustakaan kanak-kanak terdapat sebuah pentas untuk aktiviti-aktiviti
yang berkaitan,” katanya. Tambah beliau, di tingkat dua, ruangan yang
disediakan lebih santai dan terdapat kemudahan komputer dilengkapi kemudahan
internet berkelajuan tinggi.
“Terdapat 16 buah
komputer disediakan untuk kemudahan pengunjung dan kebanyakan mereka adalah
pelajar institusi pengajian tinggi IPT selain orang awam. Turut disedia sebuah
bilik yang dinamakan ‘cube room’ yang boleh digunakan untuk menonton televisyen
dalam suasana yang santai,” katanya.
Bagi memudahkan
pengunjung, perkhidmatan mesin fotostat juga disediakan dengan dikenakan kadar
bayaran berpatutan bagi mereka menggunakan kad ahli.
Perpustakaan ini turut
memasukkan elemen seni apabila ia turut menyediakan ruang untuk penggiat seni
muzik.
Tambah Rosida, antara
pembaharuan di dalam perpustakaan ini adalah diwujudkan sudut pengumpulan
karya-karya Sasterawan Negara untuk rujukan pengunjung.
“Namun banyak ruangan
masih kosong kerana pihak pengurusan masih giat untuk mendapatkan karyakarya
sasterawan-sasterawan berkenaan untuk tatapan pengunjung,” katanya.
Sumber: https://www.wilayahku.com.my/kembalinya-lokasi-peminat-buku-ibu-kota/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook
Tiada ulasan:
Catat Ulasan