Jenis-jenis Gelaran Profesor
Ketiga belas-tiga belas jenis
gelaran Profesor tersebut (menurut takrifan Majlis Profesor Negara) ialah:
1. Profesor Diraja (Profesor Kerjaya). Anugerah seumur hidup dan anugerah kehormat ini diberikan kepada seseorang tokoh akademik dan cendekiawan tersohor yang telah membuktikan sumbangannya kepada khazanah ilmu serta kepimpinan yang luar biasa sebagai profesor universiti serta masyarakat sejagat. Pelantikan Profesor Diraja merupakan satu penganugerahan oleh Canselor Universiti setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Penerimanya layak memakai nama gelaran tersebut di hadapan namanya dan panggilan formalnya juga ialah Profesor Diraja. Contohnya: Almarhum Prof Diraja Dr Haji Ungku Abdul Aziz (1978) dan Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2024).
2. Profesor Emeritus
(Profesor Bergelar).
Anugerah seumur hidup untuk Profesor terkemuka dalam bidang akademik yang telah
bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan tetapi terus menyumbang dalam bidang
keilmuan. Panggilan formalnya juga ialah Profesor Emeritus.
Antara tokoh akademik yang
penulis ketahui, kenali dan kagumi yang mendapat anugerah ini seperti Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed
Ibrahim (Undang-Undang), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (Sejarah),
Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid (Pengajian Islam,
Fiqh), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar (Falsafah Islam), Prof. Emeritus
Dato’ Dr. Asmah Hj. Omar (Linguistik), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan
Shuhaimi Nik Abdul Rahman (Arkeologi), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah
Zakaria Ghazali (Sejarah), Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam (Sejarah) dan Prof.
Emeritus Dr. Hashim Musa (Linguistik). Bahkan, Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul
Aziz juga merupakan penerima anugerah Profesor Emeritus.
3. Profesor Laureate
(Profesor Kerjaya).
Anugerah yang mengiktiraf profesor universiti yang mempunyai tahap pencapaian
akademik yang tinggi serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.
4. Profesor Ulung (Profesor Kerjaya). Anugerah kepada ahli akademik yang dimartabatkan ketokohan serta kesarjanaannya dalam bidang kepakaran serta merentasi ilmu pengetahuan dan memenuhi tuntutan advokasi awam yang dirasai impak pemikiran dan pandangannya oleh masyarakat.
5. Profesor Kehormat
(Profesor Bergelar).
Anugerah kepada tokoh yang tidak bertugas sebagai profesor dan diberi kepada
sesiapa sahaja tokoh yang layak termasuklah ahli politik dan warga korporat.
Anugerah ini diberi kepada individu tetapi tidak disertai dengan tugas atau
kewajipan. Contoh tokoh yang pernah menerima gelaran ini seperti Prof. Haji
Abdul Malik bin Haji Abdul Karim Amrullah (Hamka).
6. Profesor Universiti
(Profesor Kerjaya).
Dianugerahkan kepada ahli akademik yang cemerlang dalam lebih daripada satu
bidang atau disiplin yang diceburinya.
7. Profesor Kursi
(Profesor Kerjaya).
Jawatan akademik di fakulti Kursi tersebut ditempatkan, daripada kalangan tokoh
yang tersohor kesarjanaannya serta memainkan peranan dan tugas khusus demi
kepentingan penubuhan Kursi tersebut dan perkembangan universiti. Objektif
utama Kursi diwujudkan di universiti adalah untuk mendapatkan perkhidmatan
kepakaran daripada profesor atau individu ternama dalam bidang pengajiannya
serta menjalankan penyelidikan yang hasil penyelidikannya dapat digunakan oleh
pihak berwajib bagi membangunkan taraf sosio-ekonomi dan juga pengajian bidang
berkaitan. Sebagai contoh, Kursi Profesor CIMB-UUM di Universiti Utara Malaysia
(UUM) dan Kursi Profesor Iskandar Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia
(UTM).
8. Profesor Adjung
(Profesor Kerjaya).
Individu yang dilantik oleh universiti daripada sektor awam, swasta atau
industri yang berpengalaman luas untuk memberi sumbangan dalam ilmu dan bidang
yang tertentu dan mempunyai kaitan dengan pengembangan ilmu dalam Universiti.
Gelaran Profesor Adjung hanya digunakan di dalam universiti yang
menganugerahkannya sahaja.
Antara tokoh yang diberi
gelaran ini ialah seorang tokoh chef terkemuka negara iaitu Datuk Redzuwan
Ismail (Chef Wan) yang diberi tanggungjawab sebagai Profesor Adjung di
Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM),
Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2017. Pada Tahun 2024, Dato’ Haji
Rizalman Haji Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung di Jabatan Al-Quran dan
Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau adalah Pengasas dan
Pemegang Amanah Yayasan RI.
9. Profesor Pelawat
(Profesor Kerjaya).
Profesor yang dianugerahkan oleh sesebuah universiti, sama ada dari dalam atau
luar negara, untuk memajukan bidang ilmu yang khusus mengikut kepentingan
fakulti dan perkembangan universiti. Profesor Pelawat juga ialah Profesor yang
diundang untuk mengajar atau memberi ceramah di sesebuah universiti lain untuk
satu tempoh masa tertentu. Profesor Pelawat boleh dilantik secara sepenuh masa
oleh institusi pengajian tinggi yang lain.
10. Profesor (penuh)
(Profesor Kerjaya).
Jawatan yang diberikan oleh sesebuah institut pengajian tinggi kepada ahli
akademik yang mencapai mercu ketinggian kecemerlangan dan kepakaran bidang
ilmunya, diiktiraf dan menerima sanjungan kumpulan serakan (peer group).
Gelaran tersebut diberikan semasa berkhidmat dengan institusi pengajian tinggi
tertentu.
11. Profesor Madya
(Profesor Kerjaya).
Jawatan bagi ahli akademik yang telah membuktikan kecemerlangan akademiknya,
sesuai dengan peningkatan dalam skim perkhidmatan pensyarah, dalam tugas hakiki
seorang pensyarah. Jawatan ini ialah tingkat terakhir sebelum pelantikan ke
jawatan Profesor. Tidak seperti gelaran Profesor yang lain, gelaran Profesor
Madya hanya di atas kertas sahaja, atau sebagai pengenalan nama, adapun untuk
perbualan rasmi hanya dipanggil gelaran “Doktor” (Dr.) sahaja sekiranya
seseorang itu berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
12. Profesor Klinikal
(Profesor Kerjaya).
Anugerah akademik kepada anggota profesion yang berkaitan dengan universiti dan
terlibat dalam pengajaran praktikal pelajar profesional.
13. Profesor Praktis (Profesor Kerjaya). Jawatan yang diwujudkan bagi ahli akademik mahupun profesional yang mempunyai kemahiran tinggi di dalam sesuatu bidang tanpa terikat dengan sesuatu kontrak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan