Khamis, Februari 21, 2013

Dari Microsoft ke Room To Read

Sekiranya kita pernah terfikir mahu meninggalkan kerjaya sekarang bagi menempuh suatu pengembaraan hidup yang hebat, dan dalam masa yang sama meraih peluang berbakti kepada orang lain, kisah pengalaman hidup John Wood bisa memberi inspirasi.

Kisah beliau yang dihidangkan dalam buku Leaving Microsoft to Change the World Edisi Bahasa Melayu ini menawarkan gambaran jelas yang dibawakan dengan penuh emosi serta cerita yang mengasyikkan mengenai John Wood yang mengambil setiap pengajaran yang dikutip ketika bertugas di sebuah syarikat gergasi dunia iaitu Microsoft lantas digunakan bagi mengatasi masalah sosial yang paling meruncing di dunia.

Buku ini mengisahkan kehidupan John Wood yang nekad. Sekali dia melangkah, dia tidak akan berpaling lagi. Kerana nekad itulah, nasib beribu-ribu kanak-kanak di seluruh dunia kini terbela.

Di usia kerjaya yang mencecah sembilan tahun di Microsoft, John sudah punyai segalanya, wang, kedudukan, teman wanita yang juga daripada golongan ekspatriat, namun itu semua tidak menjanjikan kepuasan hidup bagi John Wood.

Percutiannya ke Nepal pada suatu hari, mengubah keseluruhan hidupnya. Setelah melawat sebuah sekolah di situ yang hanya mempunyai beberapa buah buku bagi dibaca oleh murid-murid, di hati kecil John terdetik rasa hiba. Buku-buku itu malah dikunci pula di dalam almari, kerana para guru tidak mahu murid-murid merosakannya, betapa berharganya buku bagi mereka. Sejak saat itu, John nekad mahu meninggalkan jawatan tinggi yang disandangnya di Microsoft dan memulakan hidup baru dengan menjadi pengasas pertubuhan Room to Read.

Hasil usaha keras John, 7500 buah perpustakaan berjaya ditubuhkan di seluruh dunia, 830 buah sekolah telah dibina, 6 juta buah buku berjaya dikutip dan didermakan dan 8800 orang pelajar telah menerima biasiswa pendidikan.

Kehidupan yang dikelilingi warga buta huruf, golongan yang tidak berkemampuan namun tinggi semangat mahu meneruskan hidup, membuatkan hidup John kini lebih bermakna, berbanding ketika menjadi Pengurus Pemasaran Microsoft Asia dengan dihujani wang melimpah-ruah dan glamor hidup di kota metropolitan.
Memetik kata-kata beliau yang begitu bermakna, "Anda tidak perlu menjadi Bill Gates atau Warren Buffett untuk mengubah dunia".

Penterjemahnya, Tuan Iskandar Syah Ismail menjelaskan buku ini sesuai kepada sesiapa yang mempunyai impian.

"Saya sendiri mendapat inspirasi dari buku ini bagi menubuhkan perpustakaan di rumah anak yatim di Malaysia dan Indonesia," jelas beliau. Kisah kehidupan John Wood ini sekaligus memberi inspirasi kepada mereka yang mahu bergiat aktif dalam NGO di Malaysia.

Sumber: PTS

2 ulasan:

Warung Motard berkata...

Kisah yg sangat menarek!!

Jikalau beliau seornag muslim, maka akan penohlah buku amalan beliau ngan jutaan pahala.

Jalan Muzium Hulu berkata...

Ya, itulah dia, aku dah order buku dia melalui PTS Online Book Order, siket masa lagi sampai la tu...

Lagipun, yang translate buku dia tu member aku jugak, Iskandar Syah Ismail aka Dr Bubbles... Kami pernah bagi ceramah kat ITM Segamat tahun 2011 yang lalu.