Yayasan Anda Akademik merupakan sebuah institusi pendidikan swasta yang telah diasaskan oleh sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori oleh YB Sdr. Anwar Ibrahim dan Daud Seman pada bulan Mac 1971. Penubuhan institusi ini antara lainnya untuk menyediakan peluang belajar kepada pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan yang tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Sebagai satu institusi yang mempunyai faslsafah pendidikan yang tersendiri, maka semua aktiviti kurikulam dan kokurikulam digembelingkan ke arah melahirkan seorang insan yang akademis dan bertaqwa. Sesuai dengan motto penubuhannya yang berusaha untuk memberikan pendidikan di segenap peringkat lapisan masyarakat terutama di kalangan mereka yang berpendapatan rendah, maka sudah pasti YAA bertindak dengan mengenakan yuran pengajian yang paling minimum, tetapi mutu pendidikan yang disediakan sudah teruji keberkesanannya.
Sambutan masyarakat terhadap institusi ini amatlah menggalakkan. Suatu yang perlu dibanggakan ialah institusi ini telah berjaya mencapai objektif penubuhannya iaitu dengan bertambahnya bilangan bekas lulusannya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negeri. Tidak syak lagi bahwa kejayaan-kejayaan yang dicapai sama ada di bidang akdemik atau kerohanian di masa yang lalu, adalah hasil dari beberapa program yang telah dirancang dan dijayakan dengan amat berkesan. Di antara program yang dipercayai telah membantu YAA dikenali ramai ialah dengan lawatan-lawatan sambil belajar yang telah dianjurkan di masa lalu.
Di Taiping, Yayasan Anda Akademik membuka satu cawangan yang diberi nama Institut Harapan sekitar tahun 1985 yang terletak di kawasan Larut Tin, Jalan Simpang. Ianya menggunakan sebuah banglo lama dua tingkat bersebelahan dengan pagar rel keretapi. Bangunan banglo tersebut sudah tiada dan kini digantikan dengan bangunan menjual ala-alat ganti elektrikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan