Selasa, Januari 09, 2024

Novel IMAM


Selesai sudah khatam Novel IMAM karya SN Abdullah Hussain ini dalam masa sebulan. Novel ni dibeli pada 8 Dis 2023 di Pesta Buku Selangor yang lalu dan khatam pada 8 Jan 2024. Terdapat 579 mukasurat kesemuanya.

Novel ini asalnya diterbitkan pada tahun 1995 oleh Utusan Publications namun ianya diterbitkan semula pada 2023 oleh Nuha Creative Resources.
ISBN: 978-967-245-6551

Novel Imam membawa kisah perjuangan seorang imam, iaitu Haji Mihad yang berhasrat membuat pembaharuan di kampungnya. Haji Mihad berasal daripada keturunan yang berpengaruh dan mendapat pendidikan sempurna dalam bidang agama. Beliau kembali ke kampungnya selepas 10 tahun menghilangkan diri dengan menyertai angkatan tentera di Sarawak. Oleh sebab beliau diawasi oleh pihak tentera di sana, Haji Mihad akhirnya menetap di Indonesia dan menuntut ilmu agama. Walau bagaimanapun, kepulangannya ke kampung dan pelantikannya sebagai imam menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak.

Kesedaran dan keprihatinan Haji Mihad terhadap kemunduran masyarakat kampungnya dalam pelbagai aspek seperti pemikiran dan ilmu menjadi faktor utama beliau ingin membawa pembaharuan walaupun amat dipersoal oleh pelbagai pihak, termasuk majlis agama. Pembaharuan yang ingin dibawa oleh Haji Mihad mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung yang beragama Islam serta kaum keluarganya sendiri. Antara pembaharuan yang ingin dibuat termasuklah pengubahsuaian suasana, dan persekitaran Masjid Haji Salih yang diceriakan dengan pokok-pokok bunga, dan bangku. Gelanggang permainan turut dibina di atas tanah masjid di sekitarnya. Dalam perkataan lain, beliau menjadikan masjid bukan sekadar tempat untuk solat berjemaah semata-mata.

8 Jan 2024

Tiada ulasan: