Foto: Internet
Bangunan Menara Ilmu telah dibina pada tahun 1972 oleh pihak JKR dan direkabentuk oleh arkitek tempatan yang dikenali sebagai Y.Bhg. Dato’ Zahani Tan Sri Ahmad (Ahli Lembaga Pengarah ITM/UiTM sehingga 16 Oktober 2010). Gaya rupa bangunan adalah mengikut ekspresi brutalist yang dikembangkan oleh arkitek British sekitar lewat 1960an, ilham pendekatan arkitek Perancis Le Corbusier (1889-1965). Bangunan setinggi 14 tingkat ini keseluruhannya dibina daripada konkrit tetulang tanpa lepa sebagai bahan struktur dan kemasan utama (mengikut konsep Beton Brut iaitu raw/naked concrete). Bahagian fasad bangunan yang menghadap ke Selatan-Utara juga direka dengan sisipan konkrit sebagai alat penghadang cahaya yang turut menyamai konsep Brise Soleil oleh Le Corbusier sementara fasad Timur-Barat direka dengan bukaan tingkap yang minima.
Struktur umumnya berdasarkan tiang dan alang dan ruang paras tanah dibiarkan bebas sebahagiannya melalui penggunaan tiang-tiang konkrit tetulang dan dijadikan ruang concourse hingga kini. Idea ini juga menyerupai pendekatan Le Corbusier menggunakan tiang konkrit gergasi yang digelar pilotis bagi membebaskan ruang
paras tanah untuk kegunaan rekreasi atau aktiviti umum. Ruang dalaman pula disusunatur di kiri-kanan sebuah koridor tengah selebar 2.4 meter.
Bangunan Menara Ilmu berfungsi sebagai mercu tanda kewujudan ITM di mana perletakkannya yang menampakkan‘Gah’ strategik di atas bukit. Bangunan ini dapat dilihat dari jauh sekitar Shah Alam. Laluan ‘gajah menyusur’ menghubungkan Menara Ilmu dengan blok-blok lain sekitarnya seperti Pejabat Pengarah/Rektor/Canseleri, Dewan Sri Budiman, Perpustakaan dan Dewan kuliah.
Di bangunan inilah terletaknya Fakulti Pengajian Maklumat, Pusat Pendidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA), Bank Perwira Affin, Pejabat Pos, Bank BSN dan lain-lain. Perancangan ruang berteraskan grid tersusun serta mengambilkira aspek iklim tropika melalui hubungan laluan berbumbung. Perletakan blok Menara dan blok-blok lain sekitarnya diberi perhatian khusus terhadap hubungan laluan yang dinamik secara mendatar dan menegak.
Pada 13 Mac 2002, Bangunan Menara Ilmu telah ditukar nama kepada Menara Sultan Abdul Aziz Shah (Menara SAAS) yang telah dirasmikan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, selaku Pro Canselor Universiti Teknologi MARA pada ketika itu.
Sumber: FB Sahabat Shah Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan