Sabtu, Jun 21, 2025

Kata-lata YAB Perdana Menteri Semasa CONSAL XIX

Foto-foto ihsan Perpustakaan UiTM melalui FB Sembang Pustakawan (17 Jun 2025)

Intisari Ucapan YAB Perdana menteri semasa Upacara Perasmian CONSAL XIX pada 17 Jun 2025 di WTC, Kuala Lumpur:

Berucap merasmikan Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) pagi ini, saya tegaskan bahawa kekuatan negara MADANI mesti bertunjangkan ilmu. Perpustakaan, bersama sekolah dan universiti, harus menjadi nadi kepada keagungan tamadun.
Sejarah menunjukkan betapa setiap peradaban agung berdiri atas dasar ilmu. Dari perpustakaan agung Alexandria ke Baitul Hikmah di Baghdad, lahir para filasuf, pujangga dan pemikir yang mewariskan wisdom of the past.
Saya singkap novel The Name of the Rose karya Umberto Eco yang menggambarkan perpustakaan sebagai labirin ilmu. Carl Sagan pula menyifatkan buku sebagai “proof that humans are capable of working magic”, dan jalan meneroka ke dalam fikiran manusia lain — yang mungkin telah meninggal dunia ribuan tahun lalu, tetapi meninggalkan hikmah yang terus hidup.
Namun budaya membaca semakin pudar. Dunia semakin terbenam dalam budaya memburu reaksi pantas, di mana pandangan terbentuk hanya menerusi dua baris ayat. Perkembangan ini membimbangkan tatkala ia melahirkan culture of ignorance dan menjadikan perbahasan awam semakin runcing, dipenuhi kebencian, tipu muslihat dan kekeliruan tanpa asas ilmu.
Justeru budaya membaca dan berfikir mesti dihidupkan semula. Perpustakaan tidak dibina sebagai monumen megah, namun harus menjadi ruang hidup untuk pencarian dan penggalian ilmu. Ia boleh mengekalkan suasana monastic silence, namun turut berkembang dengan zaman, menjadi tempat mencabar idea, membandingkan pengalaman dan memperkuat antara satu sama lain dalam menempuh era yang kompleks dan penuh tribulasi.
Peranan pustakawan begitu besar dalam mencapai matlamat ini. Saya kenang peranan tokoh pustakawan seperti Beda Lim di Universiti Malaya dan Rohani Rustam di Dewan Bahasa dan Pustaka, yang bukan sekadar penyusun koleksi, tetapi penggerak minat membaca dan pemudah cara ilmu.
Langkah kerajaan memberi insentif tunai kepada pelajar dan guru untuk membeli buku serta memperluas perpustakaan digital hanyalah permulaan. Lebih utama ialah menghidupkan semula perpustakaan sebagai ruang yang berjiwa dan tempat manusia mencari makna.
Anak-anak kita perlu diyakinkan bahawa kita mewarisi tamadun hebat, dari Angkor Wat ke Borobudur hinggalah Kesultanan Melayu Melaka. Perpustakaan harus menjadi jambatan kepada keyakinan ini, dan pustakawan adalah penjaga amanahnya.

Sumber: FB Anwar Ibrahim

Tiada ulasan: