Memaparkan catatan dengan label Profesor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Profesor. Papar semua catatan

Sabtu, November 16, 2024

Jenis-jenis Gelaran Profesor

 

Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dianugerahkan gelaran 'Prof Diraja' oleh SPB Yang di-Pertuan Agong (Okt 2024)
Gambar sumber dari Internet

Jenis-jenis Gelaran Profesor

Ketiga belas-tiga belas jenis gelaran Profesor tersebut (menurut takrifan Majlis Profesor Negara) ialah:

1. Profesor Diraja (Profesor Kerjaya). Anugerah seumur hidup dan anugerah kehormat ini diberikan kepada seseorang tokoh akademik dan cendekiawan tersohor yang telah membuktikan sumbangannya kepada khazanah ilmu serta kepimpinan yang luar biasa sebagai profesor universiti serta masyarakat sejagat. Pelantikan Profesor Diraja merupakan satu penganugerahan oleh Canselor Universiti setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Penerimanya layak memakai nama gelaran tersebut di hadapan namanya dan panggilan formalnya juga ialah Profesor Diraja. Contohnya: Almarhum Prof Diraja Dr Haji Ungku Abdul Aziz (1978) dan Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2024). 

2. Profesor Emeritus (Profesor Bergelar). Anugerah seumur hidup untuk Profesor terkemuka dalam bidang akademik yang telah bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan tetapi terus menyumbang dalam bidang keilmuan. Panggilan formalnya juga ialah Profesor Emeritus.

Antara tokoh akademik yang penulis ketahui, kenali dan kagumi yang mendapat anugerah ini seperti Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim (Undang-Undang), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (Sejarah), Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid (Pengajian Islam, Fiqh), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar (Falsafah Islam), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Hj. Omar (Linguistik), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (Arkeologi), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (Sejarah), Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam (Sejarah) dan Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa (Linguistik). Bahkan, Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz juga merupakan penerima anugerah Profesor Emeritus.

3. Profesor Laureate (Profesor Kerjaya). Anugerah yang mengiktiraf profesor universiti yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang tinggi serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

4. Profesor Ulung (Profesor Kerjaya). Anugerah kepada ahli akademik yang dimartabatkan ketokohan serta kesarjanaannya dalam bidang kepakaran serta merentasi ilmu pengetahuan dan memenuhi tuntutan advokasi awam yang dirasai impak pemikiran dan pandangannya oleh masyarakat.