Memaparkan catatan dengan label Za'Ba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Za'Ba. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 06, 2024

Perangai Bergantung pada Diri Sendiri


Perangai Bergantung pada Diri Sendiri merupakan naskhah terakhir Za‘ba yang membicarakan punca orang Melayu masih ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan. Melaluinya, Za‘ba menyimpulkan, kelemahan sahsiah merupakan punca utama kelemahan sesuatu bangsa. Bagi Za‘ba, orang Melayu lemah kerana mereka tidak mempercayai kebolehan sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu bergantung harapan kepada orang lain. Katanya, orang Melayu lebih cenderung meminta bantuan dan pertolongan orang lain. Perangai Bergantung pada Diri Sendiri tidak diajukan oleh Za‘ba kepada mana-mana penerbit semasa hayatnya; sebaliknya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka lapan tahun selepas pemergiannya menghadap Ilahi. Mungkin Za‘ba berbuat begitu kerana sedar bahawa orang Melayu sukar menerima pandangannya yang kritikal.

Buku ini berfokus pada perangai orang Melayu yang paling dibenci oleh Za‘ba, iaitu terlalu bergantung kepada orang lain. Daripada perangai ini lahir sikap lain seperti tidak mahu berfikir sendiri dan tidak mahu menggunakan ilmu pengetahuan yang dapat meningkatkan ilmu mereka. Mereka lebih suka hidup tanpa berfikir walaupun sikap ini membawa akibat-akibat yang merugikan diri sendiri. Perangai Bergantung pada Diri Sendiri ini terbahagi kepada dua risalah, iaitu “Perangai Bergantung pada Diri Sendiri” dan “Kebajikan dan Kejahatan”. Terdapat empat bab dalam risalah “Perangai Bergantung pada Diri Sendiri”, iaitu: “Wajibnya bagi Mendapat Kejayaan”, “Kekurangan Kita dalam Sifat Ini”, “Fikiran, Kepercayaan dan Pegangan Agama”, dan “Bersendiri pada Ilmu dan Amalan”.