Berita Harian - 8 Mac 2021
KUALA LUMPUR: "Idak nak makan ke ? Ate... tak pelawe...!," dialog AR Tompel dalam filem Do Re Mi terbitan 1960-an itu mungkin paling diingati jika kita memetik filem atau drama yang menggunakan dialek Perak. Malah sehingga kini banyak drama, telefilem dan juga filem mengangkat dialek berkenaan yang nyata membantu mempromosikannya misalnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah. Namun, walaupun dianggap popular dalam kalangan penonton, realitinya dialek Perak mula diancam 'kepupusan' kerana golongan muda asal Perak tidak lagi berminat menuturkannya.
Hal ini dikongsikan oleh Pensyarah, Pusat Kajian Bahasa &
Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin
menerusi program Canai Bahasa dan Sastera, Warisan Pustaka: Moh Kenei Loghat
Perak di laman sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), minggu lalu. Program yang
dimudahcarakan oleh Pegawai Perancang Bahasa DBP, Norhasmanalinda Mustapa itu
turut menampilkan mantan Timbalan Ketua Pengarah, DBP, Dr Zaharani Ahmad dan
pelakon Bell Ngasri.
Nor Hashimah berkata, antara faktor generasi muda Perak tidak
lagi berminat bertutur dalam dialek berkenaan kerana berasa malu selain lebih
selesa bertutur dalam bahasa baku.
Keadaan ini katanya, menyebabkan generasi muda tidak lagi cekap bertutur dialek itu malah ada yang langsung tidak mahir.
"Hal ini juga mungkin disebabkan berlaku perkahwinan campur dengan pasangan negeri lain yang menyebabkan mereka lebih selesa memilih bahasa baku. Mereka juga mungkin tinggal di luar Perak dan dialek itu tidak lagi digunakan dalam perbualan dengan ahli keluarga atau kawan-kawan," katanya.
Tambah Nor Hashimah, hal ini sebenarnya satu kerugian kerana
setiap dialek memiliki keunikan tersendiri apatah lagi berbanding negeri lain,
Perak memiliki lebih daripada satu loghat disebabkan faktor bentuk muka bumi
negeri itu. Katanya, Perak menerima penyebaran dialek dari negeri lain yang
bersempadan dengannya. Misalnya penduduk bahagian hulu Perak bertutur dalam
dialek Pattani sementara di utara Perak lajak ke Manjung, mereka bertutur dalam
loghat Kedah.
Namun, bentuk muka bumi negeri itu yang bergunung ganang juga menyebabkan sesetengah dialek dari negeri jiran tidak dapat tersebar yang membantu loghat asal Perak asli di tengah negeri itu dapat dikekalkan.
"Dialek Perak yang popular dan biasa kita dengar dalam drama atau filem itu sebenarnya dituturkan oleh penduduk di Kuala Kangsar dan Perak Tengah membabitkan daerah Kinta ke Bota. Saiz penutur dialek itu jika mengikut daerah agak kecil tetapi ia sangat menonjol dan unik kerana ia dianggap loghat sebenar negeri berkenaan. Malah ia menarik perhatian orientalis sejak zaman belum merdeka. Mereka turut mendapati orang Melayu Perak sangat unik kerana menamakan anak mereka mengikut turutan kelahiran.
"Misalnya anak sulung, jadi dia namakan Long Jaafar,
seterusnya Ngah Ibrahim, " katanya. Bagaimanapun, keunikan orang Melayu
Perak dalam menamakan anak mereka tidak lagi diamalkan kini. Tambahnya, Perak
dengan bentuk muka bumi dan laluan perhubungan ketika itu yang bergantung
kepada sungai menyebabkan ramai orang Melayu dari Sumatera datang ke negeri
itu.
"Pada zaman itu, kita belum ada persempadanan geografi
seperti hari ini, jadi kalau kita ke Sumatera jangan terkejut mendapati mereka
juga bertutur seakan-akan dialek Perak menerusi penggunaan perkataan seperti
'mike' dan 'teman'. Malah ada tempat di Indonesia turut berkongsi nama tempat
di Perak iaitu Kampar," katanya.
Sementara itu, Zaharani yang berasal dari Batu Gajah mengakui
faktor kahwin campur selain tinggal di luar negeri kelahiran, membataskan
kemahiran bertutur dialek berkenaan dalam kalangan generasi muda. Katanya,
sebagai anak Perak yang berkahwin dengan wanita luar dan tinggal di ibu kota,
bahasa yang dituturkan adalah bahasa baku.
"Apabila saya pulang ke kampung, secara automatik lidah
akan bertutur dalam dialek Perak tetapi anak-anak menganggapnya lucu dan mereka
juga tidak berminat hendak bertutur dalam dialek ini kerana rasa malu,"
katanya. Tegas Zaharani, walaupun dialek itu banyak dituturkan dalam drama atau
telefilem ada kalanya ia tidak disebut dengan tepat.
"Umumnya dalam dialek Perak bunyi e agak leper. Jika
perkataan kena di Perak disebut 'kene', kalau kenal juga disebut 'kene'. Jika
perkataan yang berakhir dengan 'ar', orang Perak akan menyebutnya dengan 'ao'
misalnya lebar menjadi lebo, kalau besar menjadi beso. Begitu juga kalau
perkataan baling orang Perak akan buang perkataan g menyebutnya 'balin',"
katanya.
Tambah Zaharani, dialek Perak secara umumnya popular dan antara ayat daripada dialek itu yang kerap digunakan orang ramai jika mahu cuba bertutur loghat itu adalah perkataan 'ate'.
"Ate ini sebenarnya berasal daripada perkataan bahasa Melayu klasik iaitu 'hatta'. Ia adalah permulaan ayat untuk menjelaskan sesuatu. Perkataan 'ate' ini memang ciri perak yang paling menonjol. Dialek Perak ini unik dan seharusnya generasi muda Perak terutama yang menetap di luar, tidak berasa malu kepada warisan sendiri," katanya.
Sementara itu bagi Bell, walaupun tidak lahir di Perak tetapi kekerapan berlakon dalam drama dan telefilem yang menggunakan dialek itu menyebabkan beliau mula memahami dan mahir menggunakannya.
"Saya berlakon sejak remaja dalam drama yang menggunakan dialek Perak. Sedikit sebanyak saya faham dan mula menggunakannya. Misalnya antara yang biasa digunakan ialah perkataan 'ate',' katanya. Tambah Bell, drama dan telefilem juga filem mempunyai peranan tersendiri dalam mempopularkan dialek negeri.
Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2021/03/793781/anak-muda-perak-malu-bertutur-dialek-sendiri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan