Kisah Tentera Kelahiran Taiping Dihukum Tembak Mati Oleh Jepun
By Freddie Aziz Jasbindar
Lt Ibrahim bin Sidek merupakan anak kelahiran Taiping dan mendapat pendidikan di Sekolah King Edward VII, Taiping. Beliau mula masuk berkhidmat dengan tentera sejak pada tahun 1933 dan beliau memegang nombor badan 12 daripada 25 Askar Melayu yang Pertama. Begitu juga dengan Lt Ariffin bin Sulaiman yang memegang nombor badan 8 pernah bersekolah di Sekolah King Edward VII, Taiping juga. Lt Ariffin bin Sulaiman juga dilahirkan di Taiping Perak. Kisah ini diambil dari status cucu kepada Lt Ibrahim bin Sidek yang bernama Omar Din di laman sosial facebook.
Askar Melayu yang terawal memegang nombor badan 12 iaitu Lt Ibrahim bin Sidek meninggal dunia bersama-sama sahabat perjuagannya Lt Ariffin bin Sulaiman yang memegang nombor badan 8 dan ada lagi lima pegawai tentera Askar Melayu yang turut sama meninggal dunia kerana dikenakan hukuman tembak (firing squad) oleh tentera Jepun di Singapura. Adalah menjadi satu persoalan kenapa perjuangan mereka tidak diwar-warkan seperti Lt Adnan bin Saidi. Sebelum dijalankan hukuman tembak (firing squad) terhadap mereka, mereka dijadikan tawanan perang atas penyerahan kalah oleh tentera British pada 15 Feb 1942. Tentera Jepun memberi peluang kepada mereka semua di dalam tahanan dengan memberi tiga pilihan serta masa selama empat belas hari atau dua minggu untuk berfikir dan membuat keputusan.
Tiga pilihan tersebut adalah menanggalkan uniform tentera dan pulang ke kampung dan menjadi orang awam biasa, atau pilihan kedua masuk berkhidmat dengan tentera Jepun, atau pilihan yang terakhir masih beruniform dan masih hendak menentang tentera Jepun. Sepanjang tempoh berfikir dan membuat keputusan yang diberi oleh tentera Jepun selama dua minggu itu, mereka semua yang berada di dalam tahanan didera dalam pelbagai jenis dan bentuk dengan teruk.
Antaranya adalah didera dalam bentuk fizikal, mental dan sebagainya. Ianya impama neraka dunia bagi kita rakyat biasa jika kita letakkan diri di tempat mereka yang menghadapi pelbagai bentuk deraan dari tentera Jepun. Hanya orang-orang yang cekal dan tabah sahaja mampu laluinya.
Pada awal pagi 28 Febuari 1942, kesemua tahanan dibawa ke kawasan lapang untuk mendengar keputusan terhadap pilihan yang diberi. Apa yang mengejutkan dan menaikkan rasa marah tentera Jepun adalah apabila kesemua tujuh pegawai askar Melayu yang ditahan sebulat suara memilih pilihan ketiga iaitu masih beruniform dan masih hendak menentang tentera Jepun. Lantas selepas itu, tentera Jepun mengarahkan mereka dan beberapa orang awam yang lain untuk menggali kubur sendiri sebelum hukuman tembak dijalankan.
Pada lewat petang hari yang sama, mereka diarah berbaris membelakangkan tentera Jepun untuk bersiap sedia menjadi tembok untuk tembakan dari tentera Jepun. Hukuman tembak oleh tentera Jepun tidak dapat dielakkan lagi. Tidak dapat digambarkan perasaan mereka yang sedang berbaris menanti badan ditembus peluru Jepun dari arah belakang.
Cuba anda letakkan diri anda yang sudah tahu anda pasti akan mati ditembak dari belakang pada bila-bila masa sahaja. Akhirnya, semua ketujuh-tujuh pegawai tentera Askar Melayu dan beberapa orang awam ditembak mati selepas beberapa das tembakan dilepaskan oleh tentera Jepun.
Maka syahidlah mereka sebagai saudara Islam yang berjuang mempertahankan negara yang rebah menentang tentara Jepun. Ada seorang orang awam yang berketurunan cina iaitu salah seorang daripada mangsa hukuman tembak bernasib baik kerana tembakan tentera Jepun terkena dilengannya. Setelah ditembak di lengan, mangsa rebah pengsan dan ditimbuni oleh tentera Jepun dengan mayat-mayat yang lain kerana tidak menyangka dan tidak perasan tentang ada seorang yang masih lagi hidup.
Beliau sangat yang bernasib baik itu adalah seorang jurufoto awam. Apabila mangsa tersedar dari pengsan, beliau terus melarikan diri pada malam apabila keadaan mengizinkan dan oleh kerana itulah terbongkarnya peristiwa ini. Kenapa mereka semua ketujuh-tujuh pegawai tentera Askar Melayu bertindak sebulat suara memilih pilihan ketiga untuk terus beruniform dan masih hendak menentang tentera Jepun?
Pendapat dari cucunya sendiri yang bernama Omar Din menyatakan mungkin mereka tidak mahu agama Islam yang diamal oleh rakyat di Tanah Air di perkotak-katikkan oleh Jepun, mereka tidak mahu bangsa melayu dijajah lagi, mereka tidak mahu kekayaan negara dirampas oleh Jepun, mereka tidak mahu adat melayu diubah dan mungkin mati mereka untuk memberi contoh jati diri anak melayu yang tidak mengalah sehingga akhir hayat kepada generasi muda.
Jika anda di tempat mereka salah seorang pegawai tentera Askar Melayu yang ditahan. Apakah pilihan anda daripada ketiga-tiga pilihan yang diberi daripada tentera Jepun.
Sumber asal: https://www.orangperak.com/kisah-tentera-kelahiran-taiping-dihukum-tembak-mati-oleh-jepun.html
Boleh baca juga posting di blog: http://zulheimymaamor.blogspot.com/2020/02/leftenan-ibrahim-bin-sidek-antara-wira.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan