Isnin, Januari 16, 2023

Gaya Bahasa Anwar Ibrahim

Gaya bahasa Anwar Ibrahim
 

Sarawakvoice.com – 12 Dis 2022 

Sidang media Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu mengundang perhatian bukan sahaja kerana isu yang dibangkitkannya, tetapi juga kerana perkataan ‘cerakin’ yang digunakannya. Bagi sebahagian orang, perkataan itu mungkin baharu dan janggal, walhal cerakin sudah lama digunakan. Itulah segolongan orang terus menggunakan enjin carian, Google untuk mengetahui maksud ‘cerakin’ yang disampaikan semasa Anwar bercakap mengenai subsidi. Malah, sidang media beliau terhenti seketika bagi menjawab maksud cerakin. 

 Ada yang bertanya, adakah itu istilah baharu? Inilah masalahnya apabila orang tidak begitu prihatin terhadap bahasa Melayu. Sedangkan, bagi mereka yang serius dalam penggunaan bahasa Melayu tahu bahawa perkataan itu bukan baharu. Ia bukan pun tergolong dalam kategori istilah. Perkataan itu sudah lama digunakan, kecuali pengguna bahasa Melayu lebih suka menggunakan perkataan Inggeris ‘analisis’ berbanding ‘cerakin’. DBP di akaun Twitternya turut menciap makna ‘cerakin’ selepas itu. Cerakin bermaksud, ‘melakukan penyelidikan atau pemerhatian terhadap sesuatu’ bagi merungkai persoalan orang ramai. Orang ramai turut berjenaka dengan berkata mereka akan menunggu penjelasan daripada DBP selepas ini untuk perkataan yang tidak difahami. Hakikatnya, jika seseorang itu mengikuti perkembangan bahasa Melayu, perkataan itu sebenarnya bukanlah perkataan asing atau jarang digunakan. 

Hanya apabila Anwar menggunakan kosa kata itu, barulah orang sedar kehadiran perkataan itu dalam korpus perbendaharaan kata bahasa Melayu. Sesiapa yang mengikuti ucapan dan sidang media Perdana Menteri ke-10 pasti sedar akan kelainan Anwar berbanding dengan Perdana Menteri terdahulu ataupun pemimpin politik lain di negara ini. Beliau pemimpin politik yang begitu teliti dalam pemilihan perkataan, mengukir ungkapan dan membentuk ungkapan yang berseni. Beliau cuba menganyam pemikiran yang terbaik melalui kata-kata yang terbaik dan susunan yang terbaik supaya meninggalkan kesan yang terbaik. Kita terpukau oleh ungkapan dan struktur ayat yang dibinanya. 

Keupayaan berbahasanya lebih baik daripada kebanyakan pemimpin politik lain di negara ini, tidak kira dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Tidak syak lagi, saya boleh katakan Anwar dalam kelasnya tersendiri sejauh yang berkaitan penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayunya teratur menggambarkan disiplin pemikirannya yang jelas, kosa kata yang luas dan kekuatan pengungkapan atau ekspresi dalam bahasa itu. Ada baiknya anda menelaah kembali buku Menangani Perubahan (1989) dan Gelombang Kebangkitan Asia (1997) untuk memahami apa-apa yang saya maksudkan. Anwar mempunyai gaya dan idiosinkrasi tersendiri dalam penggunaan bahasa Melayu. Mereka yang mengikuti tulisan dan ucapannya tahu bahawa itulah stail Anwar. Saya percaya ini hasil pembacaan buku dalam bahasa Melayu yang luas, termasuk sastera klasik, serta sastera dan budaya dalam bahasa itu oleh nama yang cukup bergelora dalam politik Malaysia itu. 

Percayalah, hanya mereka yang membaca dan mencerakin karya sastera yang bermutu termasuk novel, puisi dan drama mampu mengungkapkan idea dan pandangan dalam bahasa Melayu dengan bergaya, kreatif dan bernas. Mereka pasti mampu melahirkan dan menggunakan kosa kata, ungkapan, frasa dan ayat yang segar dan bertenaga. Anwar cuba mencari kelainan dan menguji sempadan kemungkinan bahasa Melayu yang diungkapkannya. Maka, lahirlah bahasa yang memiliki kecanggihan, keunikan dan keindahan. Bahasa Melayu di tangan mereka yang kreatif dan memiliki kekuatan bahasa, pasti kedengaran indah dan sedap. Siapa kata bahasa Melayu itu miskin? Atau bahasa Inggeris itu lebih hebat daripada bahasa Melayu? Setiap bahasa ada kelebihan dan keunikannya. Jika diteliti, ketika mengungkapkan dirinya dalam bahasa Melayu, malah dalam bahasa Inggeris sekalipun, Anwar akan menggunakan bahasa yang jernih dan teratur. 

Kita berasa bangga apabila mendengar Anwar bercakap dalam bahasa Inggeris yang lancar dengan tatabahasa yang betul ketika ditemu bual stesen televisyen antarabangsa seperti CNN, CNBC, BBC atau CNA. Satu kecenderungan Anwar, dari dahulu ialah menerapkan dan memperkenalkan diksi atau perkataan asli dalam bahasa Melayu. Neologisme atau pembaharuan kosa kata berlaku ekoran percubaan beliau menerokai dan memanipulasi khazanah perbendaharaan kata dalam bahasa itu. Malah, beliau juga cuba memperkenalkan kosa kata dan istilah baharu, sekali gus mengejutkan pengguna bahasa itu. Diyakini, berdasarkan kecenderungan itu, akan banyak lagi perkataan dan istilah baharu dan jarang digunakan bakal diperkenalkan oleh beliau selepas ini. Mereka yang pernah mengikuti ucapan belanjawan Anwar ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dari 1990-1998 dahulu, pasti sedar bahawa pemimpin politik karismatik itu banyak memperkenalkan istilah dan perkataan baharu dalam ucapannya. Antaranya, ‘menangani’, ‘bergentayangan’, dan ‘madani’. 

Dengan itu, Anwar sebenarnya membantu memperkaya kosa kata bahasa Melayu. Kita bakal banyak mendengar dan belajar perkataan lain yang jarang digunakan selepas ini daripada pemimpin terkemuka itu. Malah, beliaulah juga yang memperkenalkan bahasa baku, termasuk dari segi sebutan ketika menjadi Menteri Pendidikan dari 1986 hingga 1990. Stesen televisyen waktu itu menggunakan sebutan baku dalam rancangan mereka, termasuk berita perdana. Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, Anwar turut memberi jaminan meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Anwar ialah pejuang bahasa tulen yang mempunyai semangat nasionalisme bahasa yang kental. Pernah sebuah kementerian telah mengendali sebuah sidang mengenai hal ehwal nasional yang turut dihadiri oleh beberapa duta asing. Majlis itu dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris termasuk doanya. Anwar telah menegur dengan baik menteri berkenaan dengan menyatakan perlu dibetulkan pendekatan ini kerana program kerajaan terutama melibatkan program kebangsaan seharusnya dalam bahasa Melayu. 

Pembabitannya dalam bahasa Melayu bermula apabila menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya pada 1969. Bagi pejuang bahasa dan sastera, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri diharap dapat memberi nafas baharu kepada dunia bahasa dan sastera yang dikatakan semakin lesu di negara ini. Kita bukan sahaja mengharapkan usaha lebih serius untuk mengangkat martabat bahasa Melayu, tetapi juga usaha serius untuk terus memperkasa bahasa itu di peringkat nasional, rantau dan dunia. Komitmen tidak berbelah bahagi ke arah itu perlu diperlihatkan oleh semua peringkat masyarakat, termasuk pemimpin. Benar, jika kepala mematuk ekor akan membelit. Jika pemimpin hebat seperti Anwar dapat menunjukkan contoh dan jalan yang baik, beliau tentu dapat menjadi suri teladan yang berpengaruh dari segi penggunaan bahasa. Beliau menyedari dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak timbul isu mengetepikan bahasa Inggeris. Bagaimanapun, beliau menegaskan penguasaan bahasa Melayu perlu dikembangkan sebelum usaha mengembangkan bahasa Inggeris di negara ini dilaksanakan. 

Dato Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara. 

Sumber: https://sarawakvoice.com/2022/12/12/gaya-bahasa-anwar-ibrahim

Tiada ulasan: