Khamis, Jun 15, 2023

Kepuasan Bekerja Pengaruhi Kesetiaan Kakitangan

 


  Berita Harian - 15 Jun 2023, ms. 11 

Oleh Dr Elya Nabila Abdul Bahri 

Alam pekerjaan memiliki fenomena 'pasang surut' tersendiri yang hanya mampu difahami pekerja di sesebuah organisasi, syarikat atau jabatan. Semakin lama seseorang bekerja, lazimnya pendapatan diterima meningkat seiring pengalaman dan kemahiran.

Namun, ada pekerja meninggalkan organisasinya kerana berpendapat tuntutan dan tanggungjawab kerja terlalu mencuri masa walaupun upah diterima tinggi. Kebiasaannya, semakin tinggi kadar upah, semakin tinggi tuntutan kerja diperlukan majikan.

Tuntutan kerja yang banyak membuatkan pekerja sibuk hingga perlu melebihkan masa bagi menyempurnakan kerja, sekali gus masa untuk bersosial atau bersama keluarga kurang.

Tidak hairan ada pekerja sanggup meninggalkan kerja walaupun organisasinya menawarkan upah lebih tinggi. Ada kemungkinan keputusan itu dibuat kerana khuatir tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik atau majikan menaruh harapan tinggi dengan output kerja dihasilkan.

Bagi melaksanakan sesuatu kerja dengan baik, stamina fizikal, minda dan emosi seseorang pekerja perlu berada dalam keadaan baik serta tenang bagi mengelakkan kesilapan.

Kajian Randstad baru-baru ini mendapati pekerja sanggup meninggalkan tempat bekerja sekiranya tiada pertumbuhan kerjaya baik, bayaran upah rendah dan kos sara hidup semakin tinggi, selain mendapat tawaran pekerjaan lebih baik dan majikan mempunyai corak kepemimpinan lemah.

Dapatan kajian itu selari dengan kajian di beberapa negara maju dan membangun lain. Antara punca lain, faktor pengurusan lemah, persekitaran kerja tidak kondusif dan pengaruh rakan sekerja.

Dalam hal ini, generasi milenial paling ramai cenderung menukar kerja, iaitu 42 peratus; generasi Z (37 peratus) dan generasi X (29 peratus). Namun, peralihan kerja secara kerap akan menyebabkan seseorang tidak dapat menghayati kerja dengan lebih baik, selain mengurangkan nilai kekananan dalam organisasi.

Pekerja akan kekal dalam sesebuah organisasi sekiranya mereka berasakan begitu bernilai dan dihargai menurut teori pengekalan pekerja berasaskan sumber (RBV).

Justeru, majikan perlu mengatur strategi mengekalkan pekerja yang bukan sahaja menerusi peningkatan upah, bahkan faedah bukan monetari lain yang dirasakan penting bagi pekerja, termasuk menghargai dan mengiktiraf usaha pekerja, memberikan motivasi serta menambah baik kepemimpinan organisasi. Majikan juga perlu menyediakan program atau kursus berbentuk pembangunan stamina fizikal, minda dan emosi ke arah peningkatan produktiviti secara sihat.

Lazimnya, apa pekerja perlukan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan di samping menikmati upah lebih tinggi.

Tidak dinafikan gaji dan upah lebih tinggi dapat membantu ke arah kehidupan lebih baik kerana kesejahteraan dalam kesihatan, aktiviti sosial dan kehidupan berkeluarga juga memerlukan kos.

Ada pekerja sanggup menyerap tekanan kerja dengan sukarela kerana ingin mendapat upah lebih tinggi. Begitu juga tahap kerja dituntut majikan selepas pekerja dibayar dengan upah tinggi selaras teori kecekapan upah.

Bagi memastikan kehidupan dan keseimbangan kerja dan kehidupan lebih sejahtera di samping tingkat upah lebih tinggi, setiap pekerja perlu bijak mengatur dan menguruskan masa, tenaga serta fokus untuk mengimbangi keperluan monetari dan bukan monetari dalam kehidupan.

Ini kerana kepuasan bekerja sangat penting bagi memastikan pekerja dapat bertahan dan meningkatkan tambah nilai kendiri bagi melangkau ke tahap jawatan lebih baik dalam organisasi.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya


Tiada ulasan: