Sabtu, Disember 02, 2023

Maktab Perguruan Matang 1913-1922

Foto ihsan: Peraktastic.com
Foto ihsan; orangperak.com 

TAIPING - Isnin lalu (11 Oktober 2021) genap usia 108 tahun pembukaan Maktab Perguruan Melayu Matang (Maktab Matang) yang juga merupakan institusi perguruan tertua di Negeri-negeri Melayu Bersekutu semasa era kolonial.

Maktab yang terletak kira-kira 9.6 kilometer dari bandar Taiping ini didirikan di tapak Kota Ngah Ibrahim. Kota Ngah Ibrahim yang dibina pada tahun 1854 dijadikan Kompleks Sejarah Matang pada 1985 setelah diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia.

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli berkata, maktab ini ditubuhkan untuk mengatasi kekurangan guru di Negeri-negeri Selat dan dikhususkan kepada penuntut-penuntut Perak sahaja. Menurut beliau, Maktab Matang kemudiannya meluaskan pengambilan penuntut-penuntut dari Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

"Memandangkan Maktab Perguruan Melayu Melaka menunjukkan perkembangan yang menggalakkan, ia telah menarik perhatian Sultan Perak untuk menubuhkan maktab perguruan yang sama di Perak. Maktab ini pada mulanya melatih seramai 25 orang penuntut setiap tahun dengan setiap seorang menerima bantuan wang saku $1.50 sebulan sebelum dinaikkan $3," katanya kepada Kosmo!

Sepanjang mengikuti latihan di sini, penuntut diuji kebolehan dalam bidang kira-kira, bacaan, tulisan, papan hitam, pengetahuan am dan lukisan peta. Jelas Nor Hisham, pada tahun 1920 mata pelajaran perkebunan pula telah diperkenalkan manakala penuntut akan diuji pada setiap minggu dan ujian terakhir dijalankan oleh pemeriksa luar.

"Sebagai satu usaha menyeragamkan dan memusatkan latihan-latihan perguruan, maktab ini akhirnya ditutup pada tahun 1922 apabila Maktab Perguruan Sultan Idris siap dibina di Tanjung Malim. Walaupun hanya sembilan tahun melatih bakal guru, namun Maktab Matang membuktikan pemikiran terkehadapan pihak Istana terhadap kepentingan pendidikan," ujar beliau.

Sumber asal: https://peraktastic.com/p1/index.php/warisan/1299-maktab-matang-lahirkan-pendidik-melayu.html

Tiada ulasan: