Datuk 17 cucu genggam PhD pada usia 79 tahun
Sinar Harian – 30 Nov 2023
SHAH ALAM - Seorang pesara guru berusia 79
tahun berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi sehingga menggenggam
segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kesusasteraan Melayu di
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bapa tujuh anak dan 17 cucu itu, Dr Muharam Awang berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti terpaksa berulang-alik dari Melaka ke kampus dan mengalami penyakit katarak menyebabkan mata kabur, namun ia bukan penghalang untuk menamatkan pengajian.
“Saya terpaksa meminta anak yang tinggal
di Batu Pahat, Johor untuk menaipkan tesis bagi kajian yang dilaksanakan
selepas mendapat tunjuk ajar serta sokongan daripada penyelia iaitu Pensyarah
Kanan Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu),
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr Zubir Idris. Mata saya kabur dan
tidak dapat membaca sewaktu mahu menyiapkan tesis. Saya menjalani pembedahan
katarak pada Mei lalu dan alhamdulillah selepas pandangan pulih, tesis itu
berjaya disiapkan,” katanya pada Khamis.
Graduan
warga emas berkenaan menerima skrol PhD Kesusasteraan Melayu yang disampaikan
Pro-Canselor UKM, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Majlis Konvokesyen UKM ke-51 dan
turut menyaksikan seramai 7,255 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan
Canselor Tun Abdul Razak, Bangi.
“Dari situ, wujud rasa rendah diri
ditambah lagi saya pernah dicabar. Jadi saya sambung pengajian diploma pada
1965. Sebelum bersara, saya juga pernah mengajar tingkatan enam untuk subjek
Pengajian Am dan tenaga pengajar di kolej,” ujarnya.
Menurut Muharam, sikap yang sangat cinta
dan dahagakan ilmu mendorong dia berjuang menamatkan pengajian tersebut
walaupun proses menyiapkan tesis sangat berat.
“Pada peringkat awal, saya berdepan banyak
masalah ditambah lagi apabila memerlukan kemahiran komputer. Bagi saya, perkara
teknikal ini susah. Alhamdulillah, selain pertolongan penyelia dan sokongan
isteri Fuziah Md Taha, 71, anak-anak juga sangat membantu. Mereka pun
melanjutkan pengajian ke universiti sekali gus menjadi motivasi kepada saya,”
ujarnya.
Bagi
Muharam, pengalaman belajar sehingga ke peringkat PhD adalah satu kepuasan yang
sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/637318/edisi/selangor-kl/datuk-17-cucu-genggam-phd-pada-usia-79-tahun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan