BERBASIKAL bukanlah suatu aktiviti utama di Malaysia jika dibandingkan negara seperti United Kingdom (UK), Jepun, Korea dan Vietnam. Di Barat, melihat orang ramai berbasikal ke sana-sini adalah sesuatu yang lumrah. Tua atau muda, masing-masing selesa berbasikal ke mana saja. Mereka juga tidak kisah mengusung basikal menaiki tren atau berpanas berhujan sambil berkayuh.
Selain menyihatkan badan, berbasikal dapat membantu mengurangkan masalah pencemaran alam. Namun di Malaysia, berbasikal bukanlah sesuatu yang dipraktiskan. Ramai enggan berbasikal walaupun ke tempat yang dekat kerana tidak mahu letih atau berpeluh-peluh. Selain itu, ada juga yang terlalu menjaga status dan tidak mahu dianggap ‘sengkek’ berbasikal ke sana-sini.
Namun, bagi Yusoff Abdul Rahman, 40, lain ceritanya. Selama lebih tiga tahun, Yusoff memilih basikal sebagai medium pengangkutannya ke pejabat. Segala persepsi negatif yang dilontarkan kepada Pengurus Komunikasi Korporat, Pharmaniaga Berhad ini, setiap kali beliau memberitahu amalannya berbasikal ke pejabat, hanya dibalas dengan senyuman oleh personaliti ini.
Bagi segelintir pihak, mungkin idea berbasikal ke pejabat nampak pelik. Tetapi, itulah yang menjadi amalan Yusoff yang berbasikal sejauh 20 kilometer (km) setiap hari dengan mengambil tempoh sejam berkayuh dari rumah ke pejabatnya. Menyingkap rahsia di sebalik keputusan Yusoff berbasikal ke pejabat, semuanya bermula daripada masalah kesihatan yang dihadapinya. Yusoff menyatakan sebelum ini, beliau bukanlah seorang yang aktif bersukan.
“Saya sakit dulu... kerap sangat pergi ke hospital dan menjalani pemeriksaan. Walaupun bukan sakit yang kronik, tetapi ia menjejaskan prestasi kerja saya. Bukan saja kerjaya saya terjejas, malah masa bersama keluarga juga terkena tempiasnya.
“Sudah puas saya berulang alik ke klinik untuk mendapatkan rawatan sehinggalah saya nekad menjalani pemeriksaan di salah sebuah hospital pakar,” katanya kepada XY-Ikon Lelaki.
Pada mulanya, Yusoff menyangka, beliau menghidap penyakit kronik. Namun, selepas pemeriksaan pakar, sangkaannya meleset. Menurut doktor pakar yang merawatnya, segala-galanya bermula daripada rutin hariannya. Mengapa tidak, saban hari, hampir 12 jam Yusoff berada dalam kawasan berhawa dingin. Ini diburukkan lagi dengan gaya hidupnya yang tidak gemar bersukan.
“Pakar yang merawat saya menyatakan beliau tidak mahu memberi rawatan (ubat) kepada saya. Ini kerana saya sendiri yang mencari penyakit ini. Pergi balik kerja saya terperap dalam kereta berhawa dingin. Begitu juga apabila sampai di pejabat dan kadangkala di rumah. Doktor menyarankan saya agar mengubah gaya hidup dan aktif bersukan. Ketika itu saya terfikir, kerjaya saya mengehadkan saya untuk aktif bersukan,” katanya.
Sehinggalah pada suatu hari, Yusoff berfikir apakah cara yang boleh dilakukan untuk bersukan dan pada masa sama, tidak membazirkan masa dengan keluarga dan kerjaya. Dari situlah timbulnya idea untuk berbasikal ke pejabat. Pada mulanya, idea Yusoff ini ditentang oleh keluarga terutama isterinya kerana memikirkan soal keselamatan. Namun, tekad Yusoff tidak mampu dihalang oleh sesiapa. Sebagai permulaan, Yusoff hanya menggunakan basikal biasa miliknya.
“Pada awalnya, pakaian saya dan basikal yang digunakan tidak sesuai. Namun, saya belajar sedikit demi sedikit sehinggalah sekarang saya menggunakan pakaian dan basikal sesuai. Masa yang diambil dari rumah untuk ke pejabat menaiki kereta sama dengan tempoh masa saya berbasikal. Malah, ia dapat menyihatkan tubuh badan, hujan panas bukan penghalang bagi saya,” katanya. Kini selepas tiga tahun, rutin Yusoff berbasikal ke pejabat mula menarik perhatian beberapa rakan sepejabatnya dan jiran tetangga. Perkara utama yang menjadi kebanggaan Yusoff ialah dirinya tidak lagi sakit malah sentiasa cergas.
“Terbukti, selepas enam bulan saya menaiki basikal ke pejabat. Saya tidak lagi sakit dan boleh dikira berapa kali saja saya berulang alik ke klinik. Prestasi kerja juga semakin bertambah baik kerana badan yang sihat, akan membuat minda menjadi cerdas,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Ahad, Februari 06, 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
aku masa kecik mmg jaguh main basikal.
masa umur 7 tahun aku dok kayuh basikal chopper, masuk umur 10 tahun bapak aku belikan basikal raleigh plak... huhuhu
ya, aku ada basekal mini ada raga kat depan, skrg dah tadak, arwah pak aku bagi kat org kampong sebelah...
tinggei basekal Raleigh dan Robin Hood ja kat Tepen.
Catat Ulasan