Rabu, Mei 18, 2011

Buku untuk anak-anak

KUALA LUMPUR: Ibu bapa diminta agar tidak lokek membelanjakan wang untuk membeli buku untuk anak-anak mereka dalam merangsang budaya membaca di kalangan anak-anak mereka dari peringkat awal.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata ibu bapa juga harus bijak menggunakan pendekatan terkini untuk memperluaskan bahan bacaan yang disukai dan sesuai dengan peringkat umur anak mereka.

"Dengan kewujudan infrastruktur digital dan teknologi maklumat semakin berkembang di kalangan masyarakat, kita dapati semakin ramai generasi muda lebih gemar dan selesa untuk melayari internet melalui telefon bimbit dan iPad bagi mendapatkan maklumat dan informasi.

"Justeru, kita harus menggunakan peluang yang ada bagi menarik minat lebih ramai orang untuk membaca di samping meneroka pendekatan serta gaya hidup terbaru yang boleh dijadikan sebagai pemangkin untuk merangsang budaya membaca di dalam masyarakat," katanya semasa merasmikan sambutan Hari Buku Sedunia peringkat kementerian itu di perkarangan Tabika Kemas Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini Rabu.

Bertemakan "Jom Kembalikan Budaya Membaca", beliau berkata sambutan itu bermatlamat menekankan tabiat membaca di kalangan generasi muda, seluruh warga kementerian dan kumpulan sasar agar budaya itu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup.
Antara pengisian sambutan tersebut termasuk deklamasi puisi oleh sasterawan Prof Madya Dr Lim Swee Tin, sesi pembacaan cerita tauladan bersama personaliti televisyen Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin dan Wardina Saffiyah serta pertandingan membaca dan bercerita di kalangan murid-murid Tabika Kemas Kompleks Kerajaan Bukit Perdana.- BERNAMA

3 ulasan:

Ging Gang Guli Guli berkata...

"Dengan kewujudan infrastruktur digital dan teknologi maklumat semakin berkembang di kalangan masyarakat, kita dapati semakin ramai generasi muda lebih gemar dan selesa untuk melayari internet melalui telefon bimbit dan iPad bagi mendapatkan maklumat dan informasi.

kalo kasi anak melayari TV menggunakan telefon bimbit aku tau itu musti keje hang dgn berbekalkan sebuah CSL.. huhuhu

the legend berkata...

Ya, CSL power beb, ada android...

the legend berkata...

tapi Quran yang asli tak dilupakan demi menjaga naskahnya...