Selasa, Disember 08, 2015

UiTM bakal tubuhkan Institut Sains Maklumat Malaysia

SHAH ALAM, Isnin — Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal menubuhkan Institut Sains Maklumat Malaysia bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat yang betul dan sahih.

Dekan fakulti berkenaan, Prof Madya Dr Mohd Sazili Shahibi berkata institut itu yang bakal beroperasi seawal Mac tahun depan akan menghimpunkan pelbagai maklumat lengkap antaranya mengenai barangan perubatan, produk kewangan dan undang-undang.

“Fakulti ini berasakan penubuhan institut ini adalah amat perlu kerana kini, Malaysia sedang mengalami lambakan maklumat di Internet seperti mana-mana negara maju lain yang ada antara maklumat itu tidak tepat dan boleh membawa impak yang negatif kepada masyarakat.

“Oleh itu institut ini akan mengumpul dan mengkaji sesuatu maklumat itu dengan agensi kerajaan dan swasta agar informasi yang betul dapat disalurkan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Persidangan Antarabangsa Sains Maklumat yang dirasmikan Rektor UiTM Selangor, Prof Dr Zaini Abdullah di UiTM Puncak Perdana di sini hari ini.

Mohd Sazili berkata segala maklumat akan disiarkan di laman web institut itu atau melalui seminar yang akan dianjurkan.

Persidangan dua hari yang julung kali dianjurkan fakulti itu merupakan platform perkongsian idea-idea inovatif bagi tujuan menyokong sinergi pembangunan serta pengembangan profesion perpustakaan dan maklumat yang kompetitif.

Sebanyak 47 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan yang bertemakan ‘Sinergi Maklumat Ke Arah Transformasi’ merangkumi antaranya, bidang berkaitan perpustakaan dan pengurusan pusat sumber, sistem pengurusan maklumat dan pengurusan rekod. — Bernama

Tiada ulasan: