Isnin, April 25, 2016

Tukar strategi beri hasil


Alhamdulillah, syukur kepada Allah
BUKIT CHANDAN, KUALA KANGSAR – Berkat tukar strategi menghantar borang Peraduan Rakyat 1Malaysia (PR1M), seorang pekerja swasta akhirnya terpilih sebagai pemenang peraduan itu. 

Roslan Alwi Haris, 49, tidak pernah jemu menghantar borang peraduan anjuran Sinar Harian itu sejak tahun lalu, dan dia bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang pemenang. Menurutnya, ilham untuk menukar strategi mula timbul pada tahun ini selepas dia membaca beberapa kisah pemenang PR1M sebelum ini.

“Sebelum ini, saya hantar satu borang untuk satu penyertaan dan menggunakan pos biasa.Saya buat begitu sejak 2015 dan pada awal 2016, saya mula tukar strategi. Saya hantar empat borang sekaligus untuk satu penyertaan dan kali ini juga saya gunakan pos ekspres supaya penyertaan saya cepat sampai kepada Sinar Harian.” 

“Ternyata usaha itu berhasil. Baru beberapa bulan saya mencuba, nama saya diumumkan sebagai pemenang. Saya bersyukur usaha saya selama ini berbaloi,” katanya.

Jelas Roslan Alwi, isteri dan anaknya pernah menegurnya kerana membeli sehingga empat akhbar dalam satu hari hanya untuk menyertai peraduan tersebut. Begitu pun katanya, dia memang berminat menyertai peraduan sebegitu dan kadangkala dia menghantar borang peraduan secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan isteri dan anaknya.

“Mereka menegur mungkin kerana lihat saya bersungguh-sungguh sedangkan tidak pernah diumumkan menjadi pemenang pun dari tahun lepas. Namun, bila saya beritahu saya menang peraduan ini, mereka terkejut dan terdiam. Mungkin mereka sedar akhirnya mereka kalah dengan saya,” katanya sambil ketawa kecil.

Ujar bapa kepada tiga anak ini, dia bercadang menggunakan wang itu untuk menampung perbelanjaan anaknya yang akan menyambung pengajian tidak lama lagi. Katanya, wang itu juga akan digunakan untuk pelajaran dua lagi anak  yang masih di bangku sekolah.

“Wang ini sedikit sebanyak membantu perbelanjaan kami sekeluarga. Alhamdulillah, bersyukur sangat saya terpilih menjadi pemenang,” katanya.


Tiada ulasan: