SHAH ALAM, 24 MAC: Penyanyi rock ternama, Amy Search menjadi ahli pertama
bagi Kelab HeForShe yang dilancarkan sempena Majlis Sambutan Hari Wanita
Sedunia 2017 peringkat Kerajaan Negeri di Geno Hotel Subang Jaya, baru-baru
ini. Pengumuman itu disampaikan Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan
Keluarga dalam majlis yang turut dihadiri Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin
Seri Shamshida Taharin.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, Kelab HeForShe akan
merancakkan kempen kefahaman jantina dan memberi kesedaran kepada lelaki untuk
melindungi serta menghormati wanita.
“Program ini adalah program bertaraf dunia yang turut disertai dan disokong
artis luar negara dengan memberi sokongan serta memperjuangkan hak kaum wanita.
Saya rasa semua orang khususnya lelaki perlu menyertai kelab ini dan kempen
#BeBoldForChange atau #BeraniUntukBerubah demi mencapai kesaksamaan jantina
selain melindungi mereka khusunya orang terdekat seperti ibu, isteri dan anak
perempuan,” katanya kepada SelangorKini.
Katanya, wanita seharusnya diberikan hak sewajarnya dengan kredibiliti
kerana golongan itu memainkan peranan penting dalam kehidupan juga negara.
“Sebagai lelaki, adalah wajar untuk kita memastikan persekitaran selamat
bagi wanita dan anak serta berani menghentikan segala bentuk penindasan juga
diskriminasi. Dalam sesebuah negara, jika mementingkan hak dan mempertahankan
kaum wanita, saya pasti negara itu akan menjadi baik,” katanya.