Jumaat, Februari 24, 2023

Dari Sains Politik ke Sejarah ROCK

Dari sains politik ke sejarah rock

Harian Metro – 24 Feb 2023 Riadz Radzi riadz@hmetro.com.my

MINAT mendalam terhadap muzik rock sejak remaja mendorong Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin Ismail, 48, menulis buku mengenai sejarah dan perkembangan muzik rock di Malaysia berjudul 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986). Ia adalah buku ke-13 dihasilkan Takiyuddin yang sebelum ini sinonim dengan buku genre politik seperti Melayu Dalam DAP, Langkah Sheraton: Tujuh Hari Panjang dan Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing Di Malaysia yang memenangi Anugerah Buku Negara pada 2019.

"Saya menulis buku ini kerana minat dan 'passion' saya terhadap muzik rock. Ketika menghasilkan buku ini, kebanyakan individu yang saya temu bual dalam kalangan pemuzik, penggiat dan peminat rock terkejut apabila mendapat tahu saya adalah ahli akademik dalam bidang sains politik, bukan muzik. Malah, mereka juga terkejut dan terharu kerana ada 'orang universiti' mahu menulis buku mengenai sejarah rock di Malaysia yang selama ini sering dikaitkan dengan perkara negatif," katanya.

Menurut Takiyuddin, dia mengambil masa dua setengah tahun untuk menyiapkan buku setebal 420 muka surat ini termasuk menemu bual 187 individu terdiri daripada penyanyi, pemuzik, penerbit, pengarah filem, penganjur konsert, wartawan hingga peminat yang terbabit secara langsung dalam perkembangan muzik rock tanah air.

 Takiyuddin berkata, rock adalah genre muzik paling berpengaruh dan popular di Malaysia. Namun, sukar untuk menemui satu dokumentasi yang memaparkan perkembangan muzik itu sejak 65 tahun lalu.

"Sehingga kini, tulisan mengenai rock masih berselerak, hanya disentuh dalam konteks umum dan belum menerima analisis yang komprehensif," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin juga akan mengadakan sesi Santai Bersama Penulis dan Jualan Buku ini di Foyer Blok E, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Bangi bermula jam 11 pagi hingga 2 petang esok. Menurutnya, sesiapa yang hadir esok boleh menjadi pembeli terawal buku berharga RM150 itu termasuk mendapat diskaun 20 peratus. Pembelian secara atas talian juga boleh dibuat menerusi www.umpress.com.my bermula hari ini. Takiyuddin juga berharap penerbitan buku yang pertama seumpamanya ini dapat memberi gambaran rock yang sebenar atau 'terhampir', sekali gus dapat difahami pembaca.

"Ia bukan saja cuba menelusuri sejarah rock di Malaysia, tetapi adalah usaha untuk memperbetulkan kekeliruan dalam tafsiran umum mengenai rock. Ia cuba menyelongkar sejarah, babak, insiden dan 'pelakon' yang dilupakan dalam sejarah perdana.

TAKIYUDDIN harap penerbitan buku ini dapat memperbetulkan kekeliruan dalam tafsiran umum mengenai rock.

"Saya mahu ia menjadi 'bacaan wajib' untuk sesiapa saja yang ingin memahami sejarah, liku dan jatuh bangun rock di Malaysia," katanya. Menurutnya, kurang pemahaman mengenai apa yang dianggap rock juga menyebabkan ia hanya difahami sebagai genre muzik yang bermula pada era 1980-an.

"Rock juga sudah menjadi istilah pukul rata untuk membayangkan budaya negatif dan budaya kuning. Ia adalah 'kambing hitam' paling popular dalam menggambarkan kebejatan sosial anak muda. Walaupun kadang-kadang yang menimbulkan masalah itu tidak berkaitan langsung dengan rock, tetapi rock menjadi sebutan dan pilihan paling mudah. Sebab itu rock hanya dikaitkan dengan imej dan tanggapan klise - berambut panjang, selekeh, tidak terurus, mengambil dadah dan tidak berpelajaran tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, asalnya buku ini berjudul 40 Tahun Muzik Rock di Malaysia (1980-2020) di mana beliau mengkhususkan kepada era glam rock Melayu yang bermula pada awal 1980-an. Bagaimanapun, sebaik penyelidikan bermula, beliau berasa tidak adil hanya era itu diberi tumpuan sedangkan dua era lagi iaitu pop yeh yeh pada 1960-an dan rock underground pada 1970-an turut memainkan peranan penting dalam perkembangan muzik rock di sini.

"Era rock underground pada 1970-an seperti 'hilang' dalam sejarah rock tanah air. Penyelidikan arkib juga meyakinkan saya bahawa terlalu banyak babak yang 'hilang' dan tidak diberi perhatian bukan saja menerusi tulisan berbentuk akademik, tetapi juga dalam kalangan pengikut rock di media sosial," katanya.

Atas sebab itu, beliau mengembangkan lagi skop buku ke 65 tahun dan mengundurkan kajian bermula pada 1955. Namun, katanya, angka 65 tahun bukan mewakili tempoh masa yang tetap, tetapi hanya ketetapan umum. Lagipun tiada sesiapa dapat menentukan tahun sebenar bermulanya rock di negara ini dan Singapura.

Selain itu, limpahan maklumat hasil kajian berterusan akhirnya membuatkan Takiyuddin dan penerbit buku ini, Penerbit Universiti Malaya sepakat untuk menerbitkan siri dua buku ini. Sehubungan itu, buku siri satu ini hanya memaparkan segala perkembangan yang berlaku bermula dari era 1950-an hingga permulaan glam rock Melayu pada 1986.

Menurut Takiyuddin, buku siri dua nanti bukan saja menyambung perkembangan yang berlaku apabila babak glam rock Melayu memuncak dari 1987, malah membincangkan secara terperinci babak rock di negeri-negeri, peranan media dan ekosistem rock secara lebih khusus.

Foto: Ihsan Harian Metro 

Sumber: https://www.hmetro.com.my/rap/2023/02/939208/dari-sains-politik-ke-sejarah-rock

Tiada ulasan: