Harian
Metro – 24 Feb 2023 Riadz Radzi riadz@hmetro.com.my
MINAT mendalam terhadap muzik rock sejak remaja
mendorong Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof
Madya Dr Muhamad Takiyuddin Ismail, 48, menulis buku mengenai sejarah dan
perkembangan muzik rock di Malaysia berjudul 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia:
Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986). Ia adalah buku ke-13
dihasilkan Takiyuddin yang sebelum ini sinonim dengan buku genre politik seperti
Melayu Dalam DAP, Langkah Sheraton: Tujuh Hari Panjang dan Bantuan Demokrasi
dan Pendanaan Asing Di Malaysia yang memenangi Anugerah Buku Negara pada 2019.
"Saya menulis buku ini kerana minat dan 'passion' saya terhadap muzik rock. Ketika menghasilkan buku ini, kebanyakan individu yang saya temu bual dalam kalangan pemuzik, penggiat dan peminat rock terkejut apabila mendapat tahu saya adalah ahli akademik dalam bidang sains politik, bukan muzik. Malah, mereka juga terkejut dan terharu kerana ada 'orang universiti' mahu menulis buku mengenai sejarah rock di Malaysia yang selama ini sering dikaitkan dengan perkara negatif," katanya.