Sabtu, Jun 01, 2024

Gitar John Lennon - Framus Hootenanny 12-string (1964) dilelong

Foto ihsan reverb.com

Harian Metro - 30 Mei 2024

London: Gitar yang digunakan oleh John Lennon - Hootenanny Framus 12-string dijual pada harga AS$2.9 juta (kira-kira RM13.56 juta), mencipta rekod dunia baharu untuk harga jualan tertinggi untuk alat muzik The Beatles, lapor PA Media. Gitar akustik Hootenanny 12 tali, yang digunakan dalam rakaman album dan filem The Beatles, 'Help!' pada 1965 itu ditemukan di loteng. Instrumen itu tidak pernah dilihat atau dimainkan selama lebih 50 tahun. Gitar itu dijual melalui bidaan telefon di Hard Rock Cafe di New York pada Rabu lalu, sebagai sebahagian daripada jualan ikon muzik selama dua hari oleh Julien's Auctions.

"Kami benar-benar teruja dan berbesar hati untuk mencipta rekod dunia baharu dengan penjualan gitar Hootenanny John Lennon," kata David Goodman, ketua eksekutif Julien's Auctions. Beliau berkata, gitar itu bukan sahaja (satu bentuk) sejarah muzik tetapi simbol legasi John Lennon yang berkekalan.

"Hari ini melambangkan apa yang kami lakukan yang terbaik di Julien's - mewujudkan peluang untuk orang ramai berhubung semula dengan karya sentuhan budaya yang membentuk detik yang paling penting sepanjang hidup mereka. Jualan yang tidak pernah berlaku sebelum ini adalah bukti daya tarikan dan penghormatan yang abadi dalam muzik The Beatles dan John Lennon," katanya. Selepas gitar itu digunakan oleh The Beatles, instrumen itu dimiliki oleh pemain gitar Scotland, Gordon Waller, yang dikenali sebagai salah satu duo pop, Peter & Gordon, yang kemudiannya memberikan item itu kepada salah seorang pengurusnya.

Beberapa dekad kemudian, pemilik baharu yang tinggal di kawasan luar bandar Britain menemukan semula gitar itu ketika mahu berpindah keluar dari rumah dan meletakkannya untuk dilelong dengan anggaran 485,000 pound Sterling (kira-kira RM2.8 juta) dan hingga 647,000 pound Sterling (kira-kira RM3.86 juta).

Sumber: https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2024/05/1095681/gitar-john-lennon-pecahkan-rekod-dunia

https://reverb.com/item/6828950-framus-beatle-john-lennon-hootenanny-december-1964-natural-12-string

Tiada ulasan: