BERNAMA - 6 Jan 2025
Legenda muzik tanah air Datuk M. Nasir
sekali lagi membuktikan kemampuannya dalam menghidupkan semula lagu yang
hampir dilupakan, menerusi karya terbaharu beliau Nuri Terbang Malam, sebuah
lagu klasik awal 1900-an. Lagu asal nyanyian Qasim, seorang penyanyi Wayang
Semarang dari Pulau Pinang itu, dipercayai lagu Melayu pertama yang pernah
direkodkan pada piring hitam sekitar 1903 oleh sebuah syarikat rakaman
antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.
Pengarah produksi Luncai Emas Sdn Bhd Keon
Omar dalam kenyataan hari ini, berkata lagu Nuri Terbang Malam itu
merupakan sebahagian daripada 100 buah lagu klasik popular yang diberi nafas
baharu, iaitu projek kerjasama antara Luncai Emas dan World Business Affairs
Sdn Bhd, diberi nama “100 Lagu 100 Tahun”.
"Projek ‘100 Lagu 100 Tahun’ ini adalah cetusan idea Prof Datuk
Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan komposer serta penerbit terkenal Dr Mohd
Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer. Objektif projek ini adalah
untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu dari awal abad ke-20 dalam bentuk
audio dan juga buku,” katanya.
Menurut beliau lagi, projek juga bertujuan
memperkenalkan semula karya klasik kepada khalayak moden sebagai penghormatan
terhadap sejarah seni muzik tanah air. Dalam kenyataan sama, M. Nasir berkata
sebagai penggiat seni, beliau ingin membawa karya-karya dahulu
kepada generasi baharu tanpa melupakan asal usul.
"Lagu ini adalah sebahagian daripada
sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya," katanya.
Lagu tersebut boleh didengar di semua saluran digital, antaranya Youtube,
Spotify dan Apple Music bermula 3 Jan 2025.
Sumber:
BERNAMA
Pautan
Youtube: https://youtu.be/Jltl0S3uXYQ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan