Sabtu, Jun 27, 2026

Jadikan amalan membaca tabiat harian umat Islam

Foto kredit Telkom University

Utusan Malaysia, 19 Jun 2026, ms. 16

HARI ini, azan bergema di seluruh dunia sebagai seruan kepada iman dan ibadah. Namun, sebelum lahirnya peradaban ilmu, universiti dan perpustakaan, Allah terlebih dahulu menurunkan satu seruan yang menjadi asas kebangkitan umat manusia, iaitu Iqra’ yang bermaksud bacalah.

Satu perkataan yang ringkas, namun menggalas asas tamadun yang luar biasa hebatnya. Ia adalah wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril AS di Gua Hira’, lebih 1,400 tahun lalu.

Perintah ini bukanlah biasa-biasa tetapi permulaan risalah Islam dan satu isyarat jelas bahawa agama Islam berdiri di atas tonggak ilmu pengetahuan dan umatnya diperintahkan untuk sentiasa mencari, merenung dan memahami.

Islam adalah agama bagi yang berfikir. Dalam konteks Islam, membaca bukan sekadar aktiviti masa lapang atau hobi tetapi sebahagian daripada tanggungjawab seorang Muslim kepada Tuhannya. Firman Allah dalam Surah al-‘Alaq, ayat 1 hingga 5, tidak hanya memerintahkan membaca, malah mengingatkan Allah yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam, iaitu pena dan tulisan.

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, frasa “Bacalah dengan nama Tuhanmu” membawa maksud setiap pencarian ilmu hendaklah dimulakan dengan kesedaran terhadap Allah SWT, mengiktiraf segala ilmu berasal daripada-Nya dan digunakan untuk mendekatkan manusia kepada kebenaran serta kemaslahatan, bukan sekadar memenuhi keinginan intelektual semata-mata.

Rasulullah SAW sendiri bersabda menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap Muslim, lelaki mahupun perempuan. Para sahabat menterjemahkan perintah ini dengan penuh semangat. Mereka menulis, menghafaz dan menyebarkan ilmu ke segenap penjuru dunia. Hasilnya, tamadun Islam menjadi mercu tanda peradaban global selama berabad-abad lamanya.

Sejarah mencatatkan ketika sebahagian besar dunia masih diselubungi kejahilan, para sarjana Muslim sibuk menterjemah, mengkaji dan menghasilkan karya dalam bidang perubatan, matematik, astronomi, falsafah, dan sastera.

Bayt al-Hikmah di Baghdad menjadi pusat ilmu yang tiada tandingannya pada zaman itu. Ibn Sina menulis ensiklopedia perubatan. Al-Khawarizmi meletakkan asas algebra sementara Ibn Khaldun mengasaskan ilmu sosiologi. Mereka tidak mungkin mencapai semua itu tanpa satu perkara asas iaitu budaya membaca yang mengakar kuat dalam jiwa mereka sebagai Muslim.

TABIAT MEMBACA MENINGKAT

Persoalannya, selepas lebih 14 abad menerima wahyu pertama itu, sejauh manakah umat Islam hari ini benar-benar menyahut seruan membaca tersebut? Berita baiknya, rakyat Malaysia sedang bergerak ke arah yang memberangsangkan.

Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022–2023 yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendedahkan 88.6 peratus rakyat Malaysia kini mengamalkan tabiat membaca. Ia ternyata satu lonjakan yang amat membanggakan berbanding hanya dua naskhah buku setahun yang dicatatkan pada 1996 dan 2005.

Purata naskah yang dibaca turut meningkat secara konsisten, daripada 15 naskhah setahun pada 2014 kepada 24 naskhah setahun pada 2022–2023, merangkumi 16 naskhah bercetak dan lapan naskhah digital. Malah kini, rakyat Malaysia memperuntukkan masa selama 9 jam 22 minit seminggu untuk membaca, jauh lebih tinggi berbanding rekod terdahulu.

Ketua Pengarah PNM turut menjelaskan anggapan tabiat membaca rakyat Malaysia sedang merudum adalah tidak tepat. Apa yang berubah ialah mediumnya, di mana pengguna kini lebih gemar membaca secara digital, seiring dengan arus perkembangan teknologi semasa.

Namun, kita tidak boleh berpuas hati. Masih terdapat 11.4 peratus rakyat Malaysia yang belum menjadikan membaca sebagai rutin harian. Di sinilah peranan agama, keluarga dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan.

Perubahan budaya membaca tidak bermula di dewan besar atau di pentas-pentas seminar. Ia bermula di ruang tamu, meja makan dan bilik tidur anak-anak. Ibu bapa yang membaca di hadapan anak-anak mereka sedang mengajar tanpa berkata-kata.

Mereka sedang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang mencintai ilmu. Ibu bapa yang membaca hakikatnya sedang berdakwah kepada anak-anak tentang wahyu pertama secara amali. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung baru-baru ini dengan tema ‘Malaysia Membaca; Merayakan Buku’, sewajarnya menjadi lebih daripada sekadar perayaan diskaun dan jualan buku.

Ia adalah bukti nyata semangat membaca rakyat Malaysia semakin marak. Lebih 1,200 reruai penerbit dari dalam dan luar negara hadir menyambut jutaan pengunjung yang dahagakan ilmu dan bahan bacaan pelbagai genre.

Laungan “Iqra’” itu masih bergema hingga hari ini. Persoalannya bukan sama ada kita mendengarnya atau tidak tetapi sama ada kita memilih untuk menyahutnya.

Kebangkitan sesuatu umat tidak pernah bermula dengan kekuatan ekonomi atau teknologi semata-mata tetapi dengan budaya ilmu yang hidup dalam jiwa masyarakatnya.

 

DR. Najwa Abd. Ghafar ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber: https://www.utusan.com.my

Tiada ulasan: