Ahad, November 08, 2026
Membaca dan Berfikir
Ahad, September 27, 2026
ReadSG: Gerakan baru galak rakyat Singapura membaca 15 minit sehari
Rakyat Singapura digalak meluangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit sehari untuk membaca sebagai sebahagian daripada cabaran di bawah satu gerakan baharu untuk memperkukuh tabiat membaca. Menerusi Cabaran ReadSG - https://www.read.gov.sg, peserta boleh menetapkan matlamat peribadi, mengekalkan ‘streak’ membaca, mengumpul mata pengalaman serta syiling maya yang boleh ditebus. Cabaran itu adalah di bawah ReadSG, gerakan membaca nasional selama lima tahun yang dilancarkan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 6 September.
Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang juga penaung ReadSG, merasmikan pelancaran tersebut di Bangunan NLB. Ketua Pegawai Eksekutif NLB, Cik Melissa Tam, berkata tabiat membaca secara mendalam semakin penting dalam dunia digital yang dipenuhi kandungan dan maklumat berbentuk pendek.
“Walaupun kandungan format pendek membantu kita kekal mendapat maklumat, bacaan format panjang mengukuhkan daya tumpuan, pemikiran kritikal dan imaginasi. ReadSG mengajak semua orang bermula secara kecil-kecilan dengan 15 minit yang boleh dicapai,” katanya.
Jumaat, September 25, 2026
Jumaat, September 11, 2026
Isnin, Ogos 24, 2026
A Good Book Can Change Your Life
Khamis, Ogos 06, 2026
Ahad, Ogos 02, 2026
Cabaran Membaca Dalam Dunia Algoritma
Berita Harian 19 Julai 2026, ms. 35
SHAH ALAM: Barangkali cabaran terbesar dunia membaca hari
ini bukan lagi mendapatkan bahan bacaan, tetapi mencari kesediaan untuk duduk
lebih lama bersama sebuah teks.
Maklumat datang tanpa henti. Sebuah skrin kecil mampu
membawa pembaca kepada ribuan tulisan, pandangan dan pengetahuan dalam beberapa
saat sahaja. Namun, dalam arus yang serba pantas itu, muncul persoalan yang
lebih mendalam, adakah manusia masih membaca untuk memahami, atau sekadar untuk
bergerak kepada maklumat seterusnya?
Persoalan ini menjadi antara perkara yang menarik perhatian
sewaktu Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan berkongsi ucaptamanya,
"Pertanyaan Seorang Tradisionalis : "Adakah Kedalaman Sastera Semakin
Pudar dalam Era Digital?" dalam Persidangan Penerbitan Antarabangsa ke-35,
baru-baru ini.
Anwar berkata, persoalan mengenai membaca bukan sekadar
perubahan daripada buku bercetak kepada skrin digital, tetapi halaman bercetak
bukan lagi satu-satunya pintu masuk kepada pengetahuan dan imaginasi.
Lebih penting katanya, ia berkaitan dengan keupayaan manusia
untuk terus berfikir, merenung dan memahami kehidupan melalui karya sastera. Sebagai
seorang tradisionalis yang lahir sebelum kewujudan komputer, beliau melihat
perkembangan teknologi dengan fikiran terbuka. Namun, beliau tetap menegaskan
bahawa nilai sebenar pembacaan tidak terletak pada medium, tetapi pada
kesungguhan manusia mendekati ilmu.
"Adakah kedalaman sastera semakin pudar dalam era
digital?" soalnya.
Anwar berkata, membaca novel, esei atau karya falsafah bukan
sekadar aktiviti memperoleh maklumat, tetapi proses yang mengajak pembaca
berfikir, menyoal dan memahami sesuatu perkara secara lebih mendalam.
Membaca teks bercetak katanya, memberi kesempatan kepada
pembaca untuk berfikir, menyoal dan mendalami pengetahuan yang faktual,
konseptual, prosedural dan metakognitif. Bagaimanapun, era digital mengubah
cara manusia berinteraksi dengan teks. Pelbagai peranti teknologi dan
kecerdasan buatan (AI) kini membentuk semula cara manusia membaca, perkara yang
dibaca serta tempoh perhatian terhadap sesuatu bahan.
"Tabiat membaca dalam era digital itu lebih kepada
merenung skrin. Generasi ini dibiasakan dengan kelajuan membaca. Generasi era
digital terbiasa dengan budaya penggunaan maklumat pantas melalui artikel
pendek, kapsyen, pemberitahuan dan video.
"Akibatnya, kesabaran untuk membaca dan menghayati
novel, esei atau karya falsafah yang panjang mungkin berkurangan. Jika mereka
terbiasa dengan kelajuan membaca secara digital, membaca novel, esei atau karya
falsafah berisiko menjadi tindakan mengimbas sahaja dan bukannya memahami, jauh
sekali untuk menghayati," katanya.
Bagaimanapun tegas beliau, perkembangan teknologi bukanlah
satu ancaman, sebaliknya beliau mengakui bahawa era digital mendemokrasikan
pengetahuan dengan membuka akses yang lebih luas kepada kesusasteraan dunia,
jurnal akademik dan arkib sejarah.
"Walaupun saya seorang tradisionalis, saya menyantuni
era digital kerana ia juga mendemokrasikan pengetahuan. Misalnya seorang
pelajar di sebuah bandar kecil boleh mengakses kesusasteraan dunia, jurnal
akademik dan arkib sejarah dengan serta-merta, tanpa perlu pergi ke
perpustakaan fizikal," katanya.
Manakala, teknologi terjemahan membolehkan pembaca meneroka
karya daripada budaya yang berbeza. Dalam pengertian ini, bacaan digital
meluaskan ufuk intelektual dan menggalakkan pemahaman global. Beliau turut
melihat perkembangan bentuk penceritaan baharu seperti novel grafik, buku
audio, fiksyen interaktif dan naratif digital sebagai peluang untuk mendekati
generasi pembaca baharu.
Bagi Anwar, cabaran sebenar bukanlah menolak teknologi,
tetapi memastikan manusia menggunakannya dengan kebijaksanaan. Tabiat membaca
yang bermakna tidak bergantung kepada buku bercetak atau buku elektronik
semata-mata, tetapi kepada kepekaan dan kesungguhan pembaca.
Dalam zaman yang dikuasai oleh algoritma dan tindak balas
segera, pembacaan mendalam menjadi semakin penting kerana kesusasteraan melatih
empati, tumpuan dan pemikiran kritis.
"Kekuatan karya sastera terletak pada kebijaksanaan
yang terkandung di dalamnya. Karya yang baik bukan sekadar menghiburkan, tetapi
memberi pencerahan dengan mendedahkan pemahaman lebih mendalam tentang
kehidupan, hubungan, moral dan keadaan manusia. Watak dalam karya sastera yang
bermutu bukan sekadar protagonis atau antagonis, tetapi manusia yang mempunyai
lapisan pengalaman, dibentuk oleh keadaan, pilihan dan akibat daripada tindakan
mereka," katanya.
Dalam melihat hubungan antara sastera dan tamadun, beliau
menegaskan bahawa kemajuan manusia tidak seharusnya hanya diukur melalui
pencapaian kebendaan. Kemajuan pemikiran dalam bidang falsafah, sains, sastera
dan budaya adalah ukuran penting terhadap kehebatan akal manusia.
Sumber: Berita Harian
Sabtu, Jun 27, 2026
Jadikan amalan membaca tabiat harian umat Islam
Utusan Malaysia, 19 Jun 2026, ms. 16
HARI ini, azan bergema di seluruh dunia sebagai seruan
kepada iman dan ibadah. Namun, sebelum lahirnya peradaban ilmu, universiti dan
perpustakaan, Allah terlebih dahulu menurunkan satu seruan yang menjadi asas
kebangkitan umat manusia, iaitu Iqra’ yang bermaksud bacalah.
Satu perkataan yang ringkas, namun menggalas asas tamadun
yang luar biasa hebatnya. Ia adalah wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada
Nabi Muhammad SAW melalui Jibril AS di Gua Hira’, lebih 1,400 tahun lalu.
Perintah ini bukanlah biasa-biasa tetapi permulaan risalah
Islam dan satu isyarat jelas bahawa agama Islam berdiri di atas tonggak ilmu
pengetahuan dan umatnya diperintahkan untuk sentiasa mencari, merenung dan
memahami.
Islam adalah agama bagi yang berfikir. Dalam konteks Islam,
membaca bukan sekadar aktiviti masa lapang atau hobi tetapi sebahagian daripada
tanggungjawab seorang Muslim kepada Tuhannya. Firman Allah dalam Surah al-‘Alaq, ayat
1 hingga 5, tidak hanya memerintahkan membaca, malah mengingatkan Allah yang
mengajar manusia dengan perantaraan kalam, iaitu pena dan tulisan.
Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, frasa
“Bacalah dengan nama Tuhanmu” membawa maksud setiap pencarian ilmu hendaklah
dimulakan dengan kesedaran terhadap Allah SWT, mengiktiraf segala ilmu berasal
daripada-Nya dan digunakan untuk mendekatkan manusia kepada kebenaran serta
kemaslahatan, bukan sekadar memenuhi keinginan intelektual semata-mata.
Rasulullah SAW sendiri bersabda menuntut ilmu adalah fardu
ke atas setiap Muslim, lelaki mahupun perempuan. Para sahabat menterjemahkan
perintah ini dengan penuh semangat. Mereka menulis, menghafaz dan menyebarkan
ilmu ke segenap penjuru dunia. Hasilnya, tamadun Islam menjadi mercu tanda
peradaban global selama berabad-abad lamanya.
Sejarah mencatatkan ketika sebahagian besar dunia masih
diselubungi kejahilan, para sarjana Muslim sibuk menterjemah, mengkaji dan
menghasilkan karya dalam bidang perubatan, matematik, astronomi, falsafah, dan
sastera.
Bayt al-Hikmah di Baghdad menjadi pusat ilmu yang tiada
tandingannya pada zaman itu. Ibn Sina menulis ensiklopedia perubatan.
Al-Khawarizmi meletakkan asas algebra sementara Ibn Khaldun mengasaskan ilmu
sosiologi. Mereka tidak mungkin mencapai semua itu tanpa satu perkara asas
iaitu budaya membaca yang mengakar kuat dalam jiwa mereka sebagai Muslim.
TABIAT MEMBACA MENINGKAT
Persoalannya, selepas lebih 14 abad menerima wahyu pertama
itu, sejauh manakah umat Islam hari ini benar-benar menyahut seruan membaca
tersebut? Berita baiknya, rakyat Malaysia sedang bergerak ke arah yang
memberangsangkan.
Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022–2023 yang
dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendedahkan 88.6 peratus rakyat
Malaysia kini mengamalkan tabiat membaca. Ia ternyata satu lonjakan yang amat
membanggakan berbanding hanya dua naskhah buku setahun yang dicatatkan pada
1996 dan 2005.
Purata naskah yang dibaca turut meningkat secara konsisten,
daripada 15 naskhah setahun pada 2014 kepada 24 naskhah setahun pada 2022–2023,
merangkumi 16 naskhah bercetak dan lapan naskhah digital. Malah kini, rakyat
Malaysia memperuntukkan masa selama 9 jam 22 minit seminggu untuk membaca, jauh
lebih tinggi berbanding rekod terdahulu.
Ketua Pengarah PNM turut menjelaskan anggapan tabiat membaca
rakyat Malaysia sedang merudum adalah tidak tepat. Apa yang berubah ialah
mediumnya, di mana pengguna kini lebih gemar membaca secara digital, seiring
dengan arus perkembangan teknologi semasa.
Namun, kita tidak boleh berpuas hati. Masih terdapat 11.4
peratus rakyat Malaysia yang belum menjadikan membaca sebagai rutin harian. Di
sinilah peranan agama, keluarga dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan.
Perubahan budaya membaca tidak bermula di dewan besar atau
di pentas-pentas seminar. Ia bermula di ruang tamu, meja makan dan bilik tidur
anak-anak. Ibu bapa yang membaca di hadapan anak-anak mereka sedang mengajar
tanpa berkata-kata.
Mereka sedang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang
mencintai ilmu. Ibu bapa yang membaca hakikatnya sedang berdakwah kepada
anak-anak tentang wahyu pertama secara amali. Pesta Buku Antarabangsa Kuala
Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung baru-baru ini dengan tema ‘Malaysia
Membaca; Merayakan Buku’, sewajarnya menjadi lebih daripada sekadar perayaan
diskaun dan jualan buku.
Ia adalah bukti nyata semangat membaca rakyat Malaysia
semakin marak. Lebih 1,200 reruai penerbit dari dalam dan luar negara hadir
menyambut jutaan pengunjung yang dahagakan ilmu dan bahan bacaan pelbagai
genre.
Laungan “Iqra’” itu masih bergema hingga
hari ini. Persoalannya bukan sama ada kita mendengarnya atau tidak tetapi sama
ada kita memilih untuk menyahutnya.
Kebangkitan sesuatu umat tidak pernah bermula dengan
kekuatan ekonomi atau teknologi semata-mata tetapi dengan budaya ilmu yang
hidup dalam jiwa masyarakatnya.
DR. Najwa Abd. Ghafar ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sumber: https://www.utusan.com.my
Rabu, Jun 03, 2026
Halaman buku jadikan pembaca cilik pemimpin masa hadapan
Halaman buku jadikan pembaca cilik pemimpin masa hadapan
Jumaat, Mei 29, 2026
Jumaat, Mei 15, 2026
Love of Reading
"Reading must be embraced as core life discipline rather than a pastime to build a thinking society. Reading was a gateway to discovery, adding that without it, people would not encounter new ideas or understand unfamiliar fields"
Fadhlina Sidek, Education Minister (25 April 2026 | Kota Baca 2026)
Isnin, Mei 11, 2026
Jumaat, Mei 08, 2026
Shifting trend in reading preference
Shifting trend in reading preferenceThe Sun 24 Apr 2026, pg. 6
"Reading today goes beyond physical books. It includes articles, e-books, social media posts and even captions"
#LetsRead #MalaysiaMembaca
Khamis, Mei 07, 2026
Sabtu, Februari 21, 2026
Selasa, Februari 17, 2026
Ahad, Februari 08, 2026
India's largest Free Libraries
India awards the Padma Shri to Anke Gowda — a bus conductor who turned his love for books into one of India’s largest free libraries.
Jumaat, Januari 09, 2026
Budaya Membaca sebagai azam tahun baharu
Budaya membaca sebagai azam tahun baharu
Jumaat, Oktober 17, 2025
Membaca Asas Perpaduan, Kemajuan Negara
Budaya membaca merupakan amalan murni yang sewajarnya dijadikan amalan setiap masa. Ciri-ciri negara maju ialah negara yang rakyatnya kuat membaca dan kadar literasi yang tinggi. Dalam ajaran Islam, surah yang pertama diturunkan ialah Surah al-‘Alaq yang kalimah pertamanya ialah “Bacalah! oleh-Mu (Wahai Muhammad)”. Ia sekaligus menggambarkan bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang berpaksikan ilmu dan menggalakkan pembacaan. Hakikat ini diakui sendiri hatta oleh para orientalis Barat seperti Franz Rosenthal dalam bukunya “Knowledge Triumphant”. Untuk menggalakan budaya membaca, sesetengah negara melancarkan bulan membaca bagi masyarakat mereka. Negara kita pernah melancarkan kempen Gerakan Membaca melalui pelancaran Bulan Membaca Kebangsaan pada setiap bulan Ogos setiap tahun bermula 1995, dan kemudiannya bertukar ke setiap bulan Julai bermula 2001. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dilapurkan telah mengadakan lebih 102,813 program galakan membaca sepanjang 2024 lalu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pernah menyebut bahawa Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia pernah dibuat oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam menilai tahap membaca rakyat Malaysia dan sebagai asas pengukuran negara maju. Mengikut standard Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) kadar literasi antara 95-100 peratus penting bagi sesebuah negara kerana, antara lain, ia mencerminkan negara tersebut sudah berjaya keluar daripada kategori “masalah literasi besar” yang biasa dihadapi negara membangun, dan sudah hampir memenuhi status negara maju, walaupun literasi bukanlah satu-satu kriterianya.
Melalui kajian tersebut didapati, rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskah pada tahun 2005, 15 naskah pada tahun 2014 dan terkini adalah 24 naskah pada tahun 2023. Kadar minat membaca rakyat Malaysia terkini berada pada tahap 88.6 peratus. Jumlah naskah pembacaan dalam tempoh setahun menunjukkan rakyat Malaysia membaca sebanyak 24 naskah merangkumi 16 naskah bahan bercetak dan lapan naskah bahan digital. Penulis sependapat dengan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang berpandangan amalan membaca mempunyai kaitan yang erat dengan perpaduan di Malaysia antaranya meningkatkan pemahaman akan budaya yang berbeza. Dengan membaca, masyarakat dapat memahami latar belakang budaya, tradisi dan sejarah pelbagai kaum di Malaysia.
Ada laporan yang menyebut rakyat Malaysia berada di kedudukan antara yang berbelanja terbesar untuk buku, namun bukan masyarakat yang teratas dalam budaya membaca. Saya dimaklumkan oleh sahabat saya yang lama belajar di Jepun, ada perkataan Jepun “tsundoku” yang berasal sebagai istilah slanga untuk mentakrifkan tabiat atau minat membeli buku kerana perasaan ingin tahu (curiosity) yang mendalam untuk mengetahui ilmu tersebut, namun lama-kelamaan membiarkannya bertimbun tanpa membacanya sehingga menjadi koleksi. Ada juga golongan yang dikatakan sudah merasakan dirinya cukup ilmuwan, ataupun mahu dipandang berilmu oleh para tetamu yang bertandang ke rumahnya apabila memiliki koleksi bukunya yang banyak, walaupun tidak membacanya. Kita tidak mahu masyarakat kita sekadar membeli buku untuk sekadar berfungsi sebagai hiasan, tetapi tidak membacanya.
Justeru itu, memupuk budaya membaca itu amat penting sekali. Namun, budaya membaca semata itu tidak memadai tetapi perlu disusuli dengan pemilihan bahan-bahan pembacaan yang berkualiti, yang dapat membangun minda dan menambah kefahaman yang benar. Kalau sekadar membaca majalah hiburan, bahan-bahan popular dan santai atau media sosial, walaupun dari satu segi ia lebih baik daripada membuang masa dan melakukan perkara yang sia-sia, tetapi sewajarnya masa digunakan untuk membaca bahan yang lebih berkualiti.
Dalam hal ini, penulis ingin mengambil kesempatan memperkenalkan Koleksi Tamadun Islam Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Langgak Tunku off Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur yang memiliki sejumlah koleksi bahan akademik yang amat berwibawa dan terkenal dalam kalangan para ahli akademik dan para tokoh dalam bidang kajian Islam. IKIM memiliki koleksi khas Tamadun Islam (KTI) sebanyak lapan ribu enam puluh empat naskhah yang terdiri daripada koleksi buku dan jurnal pengumpul ilmuwan dari benua Eropah, bukan sahaja dalam Bahasa Inggeris tetapi bahasa lain seperti Rusia, Perancis, Hebrew, Arab, Jerman, Belanda, Latin, Turki, Itali, Sepanyol dan sebagainya. Semuanya menjangkau lebih kurang dua puluh bahasa. KTI Perpustakaan Tun Ahmad Sarji ini sememangnya mampu memberi manfaat yang besar kepada para pengunjung di PTAS serta para cendekiawan Malaysia. Yang menariknya, PTAS ini bukan sahaja terbuka untuk kegunaan warga IKIM, tetapi juga terbuka untuk kegunaan masyarakat awam khususnya dalam kalangan sarjana dan penyelidik. Sehubungan dengan itu, kepada yang berminat untuk mendapatkan bahan pembacaan berkualiti, bolehlah datang ke PTAS IKIM untuk maklumat lanjut.
Sumber: Utusan Malaysia (10 Okt 2025), ms. 16




















![Ketupat Cinta [Musim Pertama]](https://i.gr-assets.com/images/S/compressed.photo.goodreads.com/books/1240420495l/6415559._SY75_.jpg)

















