Peranan perpustakaan berkembang seiring perubahan teknologi
Berita Harian – 20 Jun 2026
PERKEMBANGAN sesebuah tamadun sentiasa bertunjangkan ilmu.
Dalam sejarah peradaban manusia, perpustakaan bukan sekadar tempat menyimpan
buku, tetapi institusi memelihara memori bangsa, mengembangkan budaya ilmu dan
melahirkan generasi pemikir membentuk masa depan masyarakat.
Sempena sambutan Hari Pustakawan setiap 6 Jun, masyarakat
perlu melihat semula peranan perpustakaan dalam konteks semasa. Tanggapan
perpustakaan semakin hilang relevan akibat kemajuan teknologi tidak tepat. Sebaliknya,
perpustakaan terus menyesuaikan diri dengan perubahan zaman melalui penyediaan
akses kepada sumber digital, teknologi maklumat dan pelbagai program literasi
memenuhi keperluan masyarakat.
Pada era ledakan maklumat hari ini, peranan pustakawan
menjadi semakin penting. Lambakan maklumat di internet dan media sosial
menyebabkan masyarakat terdedah kepada berita palsu, penipuan serta maklumat
tidak sahih. Fenomena sering disebut sebagai 'infodemik' menuntut kewujudan
golongan profesional mampu membantu masyarakat menilai kesahihan sesuatu
maklumat.
Di sini pustakawan memainkan peranan sebagai penapis dan
pemudah cara maklumat. Mereka bukan sekadar mengurus koleksi bahan bacaan,
malah membimbing pengguna mendapatkan sumber tepat, sahih dan boleh dipercayai.
Pustakawan turut membantu masyarakat membina kemahiran penyelidikan, pemikiran
kritis dan literasi maklumat amat diperlukan dalam dunia moden.
Selain itu, perpustakaan berfungsi sebagai ruang
pembelajaran inklusif untuk semua lapisan masyarakat. Tidak kira sama ada
pelajar, pekerja, warga emas atau komuniti luar bandar, perpustakaan
menyediakan persekitaran kondusif untuk membaca, belajar dan mengembangkan
potensi diri.
Bagi sesetengah individu, perpustakaan menjadi tempat
menawarkan kemudahan mungkin sukar diperoleh di rumah seperti ruang belajar
selesa, akses internet stabil, komputer dan bahan rujukan berkualiti.
Bantu rapatkan jurang pendidikan
Peranan ini menjadikan perpustakaan sebagai institusi
membantu merapatkan jurang pendidikan dan peluang dalam masyarakat.
Perpustakaan juga berperanan sebagai agen penyama taraf
dalam era digital. Walaupun teknologi berkembang pesat, masih terdapat kelompok
masyarakat berdepan kekangan memiliki peranti atau mendapatkan capaian internet
baik.
Melalui penyediaan kemudahan komputer, internet dan
pangkalan data akademik, perpustakaan membuka peluang lebih adil kepada semua
untuk mengakses ilmu dan maklumat.
Usaha ini penting bagi memastikan tiada golongan tercicir
dalam arus transformasi digital. Kemiskinan atau kekangan kewangan tidak
seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang untuk mendapatkan ilmu dan
meningkatkan taraf hidup mereka.
Pada masa sama, perpustakaan moden kini berkembang sebagai
hab komuniti aktif dan dinamik. Pelbagai program dianjurkan untuk memenuhi
keperluan masyarakat termasuk bengkel kecerdasan buatan (AI), latihan literasi
digital, program galakan membaca, aktiviti kanak-kanak dan kelab buku.
Inisiatif seperti ini membuktikan perpustakaan bukan lagi
ruang pasif hanya dipenuhi rak buku, sebaliknya pusat pembangunan modal insan
menyumbang pembentukan masyarakat berilmu dan berdaya saing. Sejarah
membuktikan kemajuan tamadun sentiasa berkait rapat dengan budaya ilmu. Tokoh
besar seperti Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun lahir dalam persekitaran menghargai
pembacaan, penyelidikan dan penerokaan ilmu.
Tradisi inilah perlu terus diperkukuhkan bagi melahirkan
generasi pemikir dan pencipta inovasi masa depan. Perpustakaan dan pustakawan
ialah arkitek minda masyarakat. Di sebalik tugas sering dianggap biasa, mereka
sebenarnya memainkan peranan besar membentuk budaya ilmu, memperkukuh pemikiran
kritis dan melahirkan warga celik maklumat. Sempena Hari Pustakawan,
penghargaan wajar diberikan kepada seluruh warga perpustakaan yang berkhidmat
sebagai penggerak ilmu negara.
Dalam dunia semakin kompleks dan dipenuhi lambakan maklumat,
perpustakaan kekal sebagai institusi penting menghubungkan masyarakat dengan
ilmu, manakala pustakawan pula pemudah cara membantu membina tamadun berasaskan
pengetahuan dan nilai kemanusiaan.
Penulis adalah Muhammad Syazni Aiman Saad, Penolong
Pustakawan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Sumber: www.bharian.com.my





![Ketupat Cinta [Musim Pertama]](https://i.gr-assets.com/images/S/compressed.photo.goodreads.com/books/1240420495l/6415559._SY75_.jpg)


















Tiada ulasan:
Catat Ulasan