Rabu, Mei 14, 2025
Rabu, November 20, 2024
Rabu, Oktober 23, 2024
Rohani Abdullah Genggam PhD di usia 81
Kuala Nerus: Di usia 80 tahun, wanita kelahiran Paris, Perancis ini berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Christine Longuet atau nama Islamnya, Rohani Abdullah dari Kampung Pulau Duyung, Kuala Terengganu, berkata, dia mengambil masa 10 tahun untuk menyiapkan tesis dan usahanya itu membuahkan hasil apabila hari ini dia dianugerahkan segulung ijazah PhD. Katanya, kekangan waktu untuk menyiapkan kertas kajian mengakibatkan begitu banyak masa diambil namun dia bersyukur kerana akhirnya dia berjaya menerima ijazah PhD.
"Ketika di sana (Paris) saya sudah menamatkan pengajian di
peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Sorbonne, Paris, dalam jurusan
sejarah sebelum berhijrah ke Terengganu. Ketika
di Malaysia, saya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang seni
bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Manakala di
UMT, saya melanjutkan pengajian dalam jurusan etnobotani," katanya ketika
ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini,
hari ini.
Menurutnya, dia bersyukur walaupun mengambil masa lama untuk menyiapkan kertas kajiannya itu namun akhirnya dia berjaya menyiapkan tesis bertajuk 'Places, Plants and People In The State Of Terengganu Malaysia: An Assessment From Two Eras'.
Katanya, dia turut mengarang buku iaitu Puisi Duyung Pulau Rakyat, koleksi puisi tempatan dan Amanah: Journey An Architect iaitu buku mengenai hasil arkitek tempatan, Nik Mohamed Mahmood. Katanya, Kampung Pulau Duyung, tempat dia menetap satu ketika dulu amat terkenal dalam dunia pembuatan bot dan kapal layar hingga ramai individu dari benua Eropah yang datang untuk menempah kapal layar yang dibuat oleh tukang tempatan berkemahiran tinggi. Rohani berkata, dia sudah menetap di Terengganu selama 53 tahun membuatkan dirinya sudah sebati dengan persekitaran serta kehidupan masyarakat setempat.
"Ketika mula-mula datang ke kampung itu saya belajar
bertutur bahasa Melayu dengan tukang yang membuatkan bot dan perahu layar di
tebing Sungai Terengganu. Saya mengambil masa hampir lima tahun untuk menguasai
bahasa Melayu dan pada 1977 ketika berusia 34 tahun saya berkahwin dengan anak
seorang imam di Kampung Pulau Duyung.
"Budaya masyarakat Melayu amat menarik dengan kehalusan bahasa, seni bina, kehidupan bermasyarakat yang utuh membuatkan saya tertarik untuk terus menerap di negeri ini," katanya antara 89 pelajar yang menerima ijazah PhD.
Dia berkata, keluarganya satu masa dulu pernah memiliki kapal layar bernama Ganti Rampai dan pernah membuat pelayaran dengan membawa anak-anaknya di Laut China Selatan. Menurutnya, kapal layar milik arwah suami masih ada dan kini ditempatkan di bengkel bagi kerja baik pulih.
Sumber: Harian Metro
Isnin, Disember 18, 2023
Pembawaan diri cerminan tahap intelektual pemegang PhD
Pembawaan diri cerminan tahap intelektual pemegang PhD
Berita Harian - 14 Dis 2023
Oleh Prof Datuk Dr Jayum Jawan
Kebelakangan ini semakin ramai golongan akademik memperoleh
ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti sama ada di dalam atau luar
negara. Ada golongan akademik mendapat PhD dari universiti terkemuka yang
diiktiraf, tetapi ada juga memperolehnya dari universiti kurang tersohor atau
tidak dikenali.
Akan tetapi, sebilangan ahli akademik ini tidak menonjolkan
kewibawaan mereka dalam aspek keilmuan dan kepakaran diperolehnya sehingga
boleh dipertikai kemampuannya, sekali gus menimbulkan persoalan dari universiti
mana orang ini mendapat PhD atau gelaran profesor. Dalam dunia moden hari ini,
ketika banyak pihak taasub mengejar pangkat dan gelaran, akan wujud pelbagai
tawaran perlu ditapis dengan lebih berhati-hati supaya apa yang 'dikejar' itu
sah dan pemegang ijazah PhD tidak tertipu atau menjadi mangsa 'scammer'.
Paling penting, apabila menerima gelaran tertinggi dalam akademik, tidak seharusnya pemiliknya memalukan diri sendiri dalam kalangan golongan akademik yang turut mempunyai pangkat dan gelaran sama. Jika ada ilmuwan mahu mendapat PhD dan menggunakan singkatan 'Dr' pada namanya, maka cara terhormat untuk memperolehnya adalah dengan mendaftar sebagai calon di universiti diiktiraf dan bukannya membuat pengajian dengan universiti dilabel 'kilang ijazah' (degree mill) atau 'institusi satu malam' (fly by night institutions)
Selasa, Disember 12, 2023
Status suri rumah sepenuh masa tidak halang genggam Ph.D
Status suri rumah sepenuh masa tidak halang genggam Ph.D
Astro Awani – 12 Disember 2023
Ibu kepada dua anak, Dr Hanita
Hashim membuktikan tidak kira apa status sekali pun, asalkan minat kepada ilmu,
juga menetapkan dalam hati bahawa pembelajaran itu adalah proses sepanjang hayat,
semuanya bukan mustahil.
Hanita yang berusia 51 tahun
bukan sahaja bersyukur, tetapi gembira apabila akhirnya pengorbanan memulakan
pengajian sejak tahun 2017 berbalas dengan segulung Ijazah Doktor Falsafah
dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat dengan tesis bertajuk 'Divisional
Distributed Computing Model In The Case Of Multiple Sources And Receptors For
Inter State Waqf Data Transaction Based On Electricity Supply' dari Universiti
Sultan Azlan Shah (USAS).
Menurutnya, kejayaan itu tidak akan
dicapai dengan mudah jika tiada dorongan suami dan anak-anaknya, Aiman Hanif
dan Aishatul Hannan, masing-masing berusia 24 dan 20 tahun.
"Banyak cabaran yang dihadapi sepanjang usaha mendapat Ph.D ini. Saya akui jalannya bukan mudah, tetapi tidak juga sukar sebenarnya. Antara halangan termasuk sekatan COVID-19, yang memperlahankan tempo pembelajaran saya. Selain itu, saya agak "down" apabila suami habiskan pengajian terlebih dahulu, sedangkan kami dari awal sepakat mahu menghabiskan pengajian bersama-sama. Ini kerana topik kajian yang dipilih adalah berkaitan.
Rabu, Disember 06, 2023
Datuk 17 cucu genggam PhD pada usia 79 tahun
Datuk 17 cucu genggam PhD pada usia 79 tahun
Sinar Harian – 30 Nov 2023
SHAH ALAM - Seorang pesara guru berusia 79
tahun berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi sehingga menggenggam
segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kesusasteraan Melayu di
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bapa tujuh anak dan 17 cucu itu, Dr Muharam Awang berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti terpaksa berulang-alik dari Melaka ke kampus dan mengalami penyakit katarak menyebabkan mata kabur, namun ia bukan penghalang untuk menamatkan pengajian.
Rabu, Julai 26, 2023
Genggam ijazah Phd pada umur 86 tahun
SINTOK: “Age is an issue of mind over matter. If you don’t mind, it doesn’t matter,” ungkap graduan tertua, Dr. Mohd Tahir Ahmad yang berjaya mengenggam Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada usia 86 tahun. Beliau menamatkan pengajian tertingginya itu selepas lapan tahun menyiapkan tesis bertajuk ‘A Structural Model of the Relationship between Product Quality, Benefits, Safety, Values and Consumer Consumption Behaviour towards Herbal Products’ di bawah Penyelia, Prof. Dr. Nor Azila Mohd Noo
Ujar pesara dari Bank Pertanian itu, sebelum memulakan pengajian lagi, beliau sudah merasakan DBA adalah dirinya iaitu ‘do better always’.
“Ramai yang bertanya, sudah tua buat apa belajar lagi? Tetapi saya merasakan apabila sudah tua, lagi mudah belajar kerana kita ada tujuan sebenar. Jadi, umur bukanlah satu masalah. Dalam merasakan diri tidak belajar lagi, ’empty mind is devil’s workshop/paradise’. Justeru, kita perlu belajar lagi kerana banyak perkara yang boleh kita tahu, tambahan pula sekarang pembangunan pesat dan banyak perkara baru. Kalau kita tidak belajar, tidak mungkin akan dapat mengetahuinya,” kata bapa kepada dua anak ini. Dr. Mohd Tahir berkata, jika hendak belajar perlu ada empat perkara penting iaitu tujuan mesti betul, mesti ada kemahuan dan kebolehan, setiap masalah pasti ada penyelesaian dan kewangan.
Pencapaian tertinggi beliau memperoleh DBA ini mendorong Dr. Mohd Tahir untuk terus belajar dan kali ini beliau ingin mempelajari bahasa ketiga iaitu Mandarin yang dilihat penting terutamanya dalam perniagaan. Mengulas lanjut, beliau belajar kerana kepuasan diri setelah berjaya dalam karier dan beliau berpuas hati dengan pencapaian tersebut. Berkongsi rahsia masih bersemangat meneruskan pengajian, Dr. Mohd Tahir berkata, penjagaan kesihatan mental dan fizikal sangat penting, tambahan di kala usia meningkat.
“Saya berharap apabila usaha untuk menambah ilmu ini bukan sahaja akan menguntungkan diri, dapat membantu masyarakat apabila diperlukan,” ujarnya yang menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan daripada Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Canselor UUM pada Majlis Konvokesyen Ke-35 UUM, pagi tadi.
Sumber: https://uumtoday.com/news/graduan-uum-berusia-86-tahun-berjaya-genggam-dba/
Khamis, November 10, 2022
Kisah Inspirasi: 11 tahun berjuang, kini Dr. Abdullah Fairuzullah genggam PhD
11 tahun berjuang, kini Dr. Abdullah Fairuzullah genggam PhD
8
November 2022
PAYA BESAR, 5 November 2022
- Berbekal doa dan kecekalan hati serta bersabar, Dr. Haji Abdullah Fairuzullah
Ahmad Tajuddin dari Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) berjaya
bergelar Doktor Falsafah (PhD) Sains Komputer) setelah berjuang selama 11
tahun untuk menghabiskan pengajian. Menurut Dr. Haji Abdullah, pelbagai
cabaran terpaksa ditempuh sepanjang menyambung pengajian secara sepenuh masa di
bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Noraziah Ahmad dengan tajuk ‘Binary Vote
Assignment Grid Quorum with Load Balancing (BVAGQ-LB) Algorithm for Managing
Replication in Distributed Database Systems’.
“Saya pernah mengalami
kemurungan selama dua bulan dan tidak mahu berjumpa dengan orang di luar. Namun,
alhamdulillah berkat doa dan sokongan ramai insan yang membantu membolehkan
saya mendapat kekuatan untuk terus berjuang,” katanya.
“Selain itu, pengurusan
masa yang betul perlu dititikberatkan sepanjang menjadi pelajar di samping
mengamalkan pemakanan yang sihat bagi memastikan badan sentiasa bertenaga untuk
menguruskan rumah tangga dan mengulangkaji pelajaran. Kejayaan yang saya capai
hari ini, saya jadikan dorongan dan inspirasi untuk anak-anak saya dan golongan
muda yang lain turut sama berusaha serta memotivasikan diri mereka untuk terus
belajar dan mencapai apa yang mereka impikan,” ujarnya lagi.
Nasihatnya jangan
berseorangan dan sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan. Selain
doa ayah, Ahmad Tajuddin Mohd Alias dan ibu, Kamariah Hassan, isteri, Noraini
Razali dan anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk beliau terus cekal dan
bersemangat. Menyoroti kenangan lalu, Dr. Haji Abdullah nyata terharu
dengan pengorbanan isteri dan lapan anak-anaknya iaitu Ahmad Syahmi Abdullah
Fairuzullah (17 tahun), Ahmad Ibrahim Abdullah Fairuzullah (15 tahun), Fatimah
Rajihah Abdullah Fairuzullah (14 tahun) dan Ahmad Syihabuddin Abdullah
Fairuzullah (12 tahun). Empat lagi ialah Fatimah Khadijah Abdullah
Fairuzullah (11 tahun), Muhammad Abdullah Fairuzullah (7 tahun), Fatimah
Aminah Abdullah Fairuzullah (4 tahun) dan Fatimah Jameelah Abdullah Fairuzullah
(sebulan).
Disediakan oleh: Mimi
Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
Sumber: https://news.ump.edu.my/convocation/11-tahun-berjuang-kini-dr-abdullah-fairuzullah-genggam-phd?fbclid=IwAR0MCuz7AS-XXKlK6wT1DvlGYUNTfOF6wvW1qJYYEjMkaPxMtkg9WvQaYvg