Memaparkan catatan dengan label Taki Takiyuddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Taki Takiyuddin. Papar semua catatan

Ahad, Julai 06, 2025

Gemilang SYJ Dibukukan

 

Foto ihsan FB Taki Takiyuddin (Asal: Harian Metro 3 Julai 2025)
Kumpulan SYJ. Depan: Zam, Eduat. Belakang: Man Rani, Amir 

Mereka cuma ada empat lagu, tetapi penerimaan peminat rock tempatan terhadap kumpulan SYJ cukup luar biasa.

Lagu Orang Timur, Hati Syaitan, Mata Sepet dan Teruskan yang dimuatkan dalam album kompilasi Battle Of The Bands (BOTB) 1 dan Battle Of The Bands 2 pada 1986 itu membuka mata peminat terhadap SYJ yang ketika itu dianggotai Amir (penyanyi), Zam (gitar), Man Rani (bass) dan Eduad (dram).

SYJ yang diasaskan oleh Allahyarham Syed Yusof Jamalullail itu juga terkenal dengan 'trademark' pakaian yang 'daring', muzik yang 'kering', lirik 'keras' dan 'attitude' mereka yang 'nakal' - sesuatu yang berbeza dengan kumpulan-kumpulan rock tempatan lain ketika itu. Atas faktor inilah mendorong ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin menghasilkan buku SYJ BOTB 1986.

Pada 2023, Takiyuddin yang juga pengikut muzik rock sejak remaja menghasilkan buku 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia (yang juga dikenali sebagai 'Buku Merah') dan ia mendapat sambutan meluas. "Minat untuk menghasilkan buku SYJ tumbuh sewaktu saya menyiapkan buku 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia.

"Sejarah sebenar SYJ sering kali mengelirukan ramai orang dan peminat. Saya sendiri tidak menyangka mereka sebenarnya sudah ditubuhkan sejak 1977 lagi. Sebahagian besar anggotanya ketika itu masih hidup hingga kini dan banyak menyimpan foto rakaman. Jadi dari situ, saya menjejaki, bertemu dan menemubual seramai 33 anggota utama SYJ yang masih hidup sejak 1977 hingga sekarang," katanya.

Takiyuddin berkata, SYJ yang berasal dari Ipoh itu satu jenama dalam perkembangan muzik rock di Perak dan Malaysia umumnya.

"Ia boleh dianggap seperti kolej atau sekolah muzik yang dianggotai lebih 80 pemuzik hingga kini. Kebanyakannya bukan saja anak Perak tetapi juga dari Kedah dan Johor. Sejak jenama 'SYJ Ipoh' muncul pada 1977, ia menjadi sebahagian daripada faktor penting pemuzik berkumpulan di Perak. Namun, hanya apabila babak glam rock mula membahang Malaysia sekitar awal 1980-an, nama SYJ mula menular dalam peta Malaysia," katanya.

Nama SYJ mula meledak apabila promoter Box Office, Ali Bakar menganjurkan Battle Of The Bands pada Februari 1986. Imej, muzik, lirik dan 'attitude' yang berbeza berbanding kumpulan rock lain membuatkan nama Amir, Man Rani, Zam dan Eduad pantas menjadi sebutan di seluruh negara.

Biarpun 'bersalin kulit' dengan menukar nama kepada Sofea serta pengunduran Eduad pada 1987, namun 'attitude' mereka terus menjadi bualan sehinggalah kumpulan itu melabuhkan tirai pada 1992. Barisan SYJ lain selepasnya agak sukar mengisi kasut yang ditinggalkan SYJ BOTB 1986. Roh SYJ BOTB 1986 terpelihara kukuh sehinggalah era 'comeback Sofea' di antara tahun 2011 hingga 2017.Takiyuddin berkata, buku ini adalah testimonial mengenai perjalanan panjang SYJ BOTB 1986 dan Sofea selama 40 tahun.

"Ia memfokuskan kepada SYJ BOTB 1986 yang dianggotai Amir, Man Rani, Eduad dan Zam. Naratif kemudiannya akan bersambung ke sejarah Sofea yang ditunjangi secara terus oleh Amir dan Man Rani sehingga 2017. Pada beberapa waktu ia turut diisi oleh Zam dan Eduad sehingga 1992.

"Namun, buku ini tetap menyisipkan sejarah ringkas SYJ sejak 1977 dan anggota lain yang pernah menganggotai kumpulan itu. Saya tiada niat untuk merendahkan barisan lain, tetapi tiada siapa boleh menafikan hakikat hanya SYJ BOTB 1986 dan Sofea mempunyai tempat lebih luas di hati peminat. Buku ini adalah kisah jatuh bangun dan suka-duka mereka sebagai pemuzik rock," katanya.

Turut diketengahkan ialah individu penting seperti pengasas SYJ, Syed Yusof Jamalullail dan Ali Bakar. Menurut Takiyuddin, buku ini bukan saja untuk meraikan 40 tahun SYJ BOTB tetapi juga 40 tahun acara yang menjadi pengubah permainan dalam babak rock glam di Malaysia iaitu Battle Of The Bands.

"Buku ini bersaiz 11 x 8 inci dengan 560 muka surat serta berkulit keras. Ia mengandungi ratusan gambar yang sebahagiannya tidak pernah dilihat. Ia disumbang oleh ramai pemuzik, pengarkib dan peminat SYJ," katanya.

Takiyuddin berkata, awal tahun lalu dia berjaya menyiapkan salasilah atau susur galur lengkap SYJ-Sofea sejak 1977 hingga 2021.

"Susur galur ini adalah jawapan muktamad mengenai kebingungan dan kekeliruan mengenai sejarah sebenar SYJ yang berselirat dan kompleks dalam kalangan peminat. Selain itu saya juga menamakan setiap periodisasi dan meletakkan tarikh yang lebih tepat," katanya.

Sementara itu, reka letak buku ini adalah hasil kerja pereka grafik, Boul yang juga pereka kulit album popular pada era 1980-an. Selain menghasilkan kulit album Sofea berjudul Kembali, Boul turut menghasilkan kulit album popular seperti Mentari Merah Di Ufuk Timur (Search), Fenomena (Search), Battle Of The Bands 2, Juara-Juara Rock 2, Juara Juara Rock 3, Anak Merdeka (Ella & The Boys), S.O.L.O (M Nasir) dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut mengucapkan terima kasih kepada 600 pembeli yang sudah menempah buku ini.

"Saya tidak memperoleh sebarang dana atau geran untuk projek ini. Pembelilah yang 'mendanai' projek ini dan saya amat hargai sokongan mereka," katanya.

Maklumat lanjut mengenai buku SYJ BOTB 1986 yang bakal dilancarkan pada 13 September ini di Facebook Taki Takiyuddin atau hubungi 019-2060568.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/rap/rapextra/2025/07/1236529/gemilang-syj-dibukukan

Selasa, Oktober 15, 2024

SYJ BOTB 1986: Kultus Metal Ipoh

Foto ihsan Facebook Taki Takiyuddin 

Untuk tempahan buku yang akan diterbitkan pada tahun 2025, sila layarari laman Facebook, Dr Taki di https://www.facebook.com/taki.takiyuddin.3

Rabu, Jun 12, 2024

Bedah Buku 65 Tahun Muzik Rock di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986)


Hari ini hadir ke Program Bedah Buku: 65 Tahun Muzik Rock di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986) berlangsung di PTSL, UKM Bangi. Buku ini hasil karya PM Dr Taki Takiyuddin Ismail, Pensyarah Kanan di UKM. Dapat juga berjumpa dengan rakan sekelas semasa di UiTM (2000-2003) dan juga rakan-rakan Pustakawan yang seprofesi. Gambar kiri atas merupakan Abang Ruzlan Omar, pemain dram kumpulan The Gypsies - 1969 (Kemudian: Sons of Adam - 1972). Gambar kanan atas merupakan penulis buku.

12 Jun 2024

Khamis, September 21, 2023

Tabula Rasa - Underground USM 72-75

Foto ihsan dari USM Alumni

TABULA RASA – UNDERGROUND USM 72-75

Aku melopong bila seorang rakan, Nandre Haris (yang juga seorang pustakawan) menghantar sebuah artikel mengenai kumpulan underground USM pada tahun-tahun 1972-1975, Tabula Rasa.
Sepanjang menyelidiki dan menulis buku Siri 1, aku tidak pernah terdengar mengenai kumpulan ini. Umumnya, otai-otai hanya menyebut UM dan ITM sebagai tempat pembiakan utama muzik underground 1970-an. Kerana itulah, hanya babak UM dan ITM aku masukkan sebagai penceritaan dalam buku Siri 1.
Hanya di dalam buku, aku ada menyisipkan satu keterangan saksi, Joe Rozario bahawa berlangsungnya konsert ala Woodstock di sebuah universiti di Pulau Pinang (beliau bagaimana pun tidak menyebut nama universiti itu). Tapi bila aku terbaca mengenai Tabula Rasa ini, aku rasa keterangan beliau kini dapat disilang rujuk (walaupun perinciannya masih belum dapat aku pastikan).
Gambar-gambar dalam artikel ini banyak disumbang oleh pemain gitar lead mereka, Hamdan Omar. Dan gambar ikonik Hamdan bersama seorang lagi ahli band, Rastam Mohd Isa di kediaman kolej mereka pada 1972 benar-benar “cool”.
Sudah tentu ia merupakan pemandangan biasa mahasiswa lelaki di mana-mana universiti pada ketika itu (seperti yang aku ceritakan dalam buku). Tapi gambar ini benar-benar di kelas yang tersendiri. Tahun 1972 adalah tahun kemuncak hippies. Pada tahun itu juga, hippies diharamkan khususnya selepas episod Woodstock Cheras 1972.
Artikel ini diterbitkan pada tahun 2007 dan di hujung artikel, di ceritakan kebanyakan ahli band kini merupakan “somebody” dan banyak berjamming di Studio Brown Black Blues Hartamas.
Aku memohon sebarang maklumat mengenai keberadaan brader Hamdan Omar ataupun Rastam Mohd Isa (Tan Sri). Adakah mereka masih ada ataupun sebaliknya?
Terima kasih kepada penulis artikel, Prof. Madya Talhah Idrus yang membangkitkan kisah ini dalam The Leader (USM Alumni Magazine). Ribuan terima kasih kepada brader Nandre Haris yang membawa bahan ini ke pengetahuan aku.
Sudah tentu, kisah Tabula Rasa ini akan dimasukkan sebagai bahan tambahan dalam buku Siri 1 (edisi semakan@cetakan kedua).
p/s - glam rockers: kau fikir rambut kau cantik? Kau tengok rambut abang-abang kita..😁

Sumber: https://www.facebook.com/taki.takiyuddin.3 (21 Sept 2023)