Rabu, Mei 19, 2021

Nostalgia Baraan Dalam Kenangan - Dr Budiman

 

Gambar acara Baraan di Sekinchan

‘WONG Jowo nek orak reti baraan, ojo ngaku dadi wong Jowo.’ Itu bukan pepatah. Bukan juga simpulan biasa. Bukan petikan kata-kata Donald Trump atau Chiang Kai-shek. Sebaliknya ia ayat lazim yang patut diucapkan kepada sesiapa juga berketurunan Jawa yang tidak tahu apa itu ‘baraan’.

Ya, dia tak selayaknya mengaku Jawa, samalah macam orang Siam tak layak mengaku Siam kalau tak tahu tomyam itu apa. Saya pun mengaku juga Jawa walaupun ketika bersembang bunyinya seperti orang Siam cakap Kelantan.

Baraan yang bermaksud ziarah atau kunjungan beramai-ramai merupakan salah satu adat warisan masyarakat Jawa yang terpelihara elok sehingga sekarang. Tidak diketahui sejarah asal-usulnya. Ia mungkin bermula sebagai amalan kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga semasa di Tanah Jawa dan apabila berhijrah ke Tanah Melayu resam itu turut dibawa bersama.

Logiknya memang ada sebab orang Jawa memang sentiasa mementingkan silaturahim. Pegangannya teguh pada peribahasa Jawa lama, ‘mangan ora mangan sing penting ngumpul’ yang bermaksud ‘makan atau tak makan, yang penting berkumpul᾿.

Oleh itu apabila berada di Tanah Melayu tidak hairanlah jika mereka berusaha mengekalkan hubungan sesama anak Tanah Jawa dengan cara kunjung-mengunjung. Disebabkan orang Jawa terkenal kerana kerajinannya dan sering sibuk dengan tugasan harian, maka waktu manakah lebih sesuai untuk berkunjung-kunjungan itu jika bukan pada Hari Raya Aidilfitri?

Sehingga kini baraan menjadi acara tahunan yang hampir berstatus ‘wajib’ di semua kawasan yang majoriti penduduknya berketurunan Jawa. Tetapi jangan silap, tak ada peraturan, bertulis atau tidak, yang mengatakan hanya orang Jawa boleh berbaraan. Sesiapa pun yang berada dalam lingkungan masyarakat Jawa dialu-alukan ikut sama.

Macam di tempat saya, Sungai Besar yang bercampur Jawa, Banjar dan Melayu, baraan telah diterima sebagai tradisi bersama. Kaedah baraan berbeza dari tempat ke tempat. Ada tempat ia hanya melibatkan ahli keluarga terdekat. Adik-beradik bapa, adik-beradik emak dan sepupu-sepapat.

Pada mulanya pakat berkumpul, biasanya di rumah ahli keluarga yang paling tua. Kemudian bergerak beramai-ramai mengunjungi rumah yang lain, mengikut susun pangkat dalam keluarga berkenaan.

Dengan bahasa mudahnya, yang tua didahulukan yang muda di kemudiankan. Ini biasa disebut baraan keluarga. Kunjungan bererti Di tempat lain pula – dan kebanyakannya – baraan melibatkan seisi kampung, kariah surau atau kariah masjid.

Pada hari yang ditetapkan untuk baraan, kalau di kampung saya lazimnya pada hari raya kedua, semua yang berminat menyertainya akan berkumpul di surau. Ini kerana hari pertama diperuntukkan ziarah ke rumah keluarga terdekat. Tua muda, kecil besar. Tetapi lelaki sahaja, yang perempuan tidak boleh kerana mereka mempunyai kumpulan baraan sendiri yang khusus for women only.

Di surau, ketua baraan akan memberikan taklimat ringkas perjalanan baraan. Anak muda biasanya menjaga trafik. Setiap kumpulan baraan mengandungi 35 hingga 50 peserta, mungkin juga lebih daripada itu.

Ada juga tempat yang mensyaratkan peserta mesti berbaju Melayu lengkap bersamping, bersongkok atau berketayap. Tetapi kes-kes begitu boleh dianggap terpencil. Kelazimannya yang dijadikan syarat utama cuma ‘berpakaian raya’, tak kisahlah baju Melayu, jubah Arab, kurta Pakistan atau kemeja-T pasar malam. Yang penting kemas dan sopan, bukannya macam baru lepas hisap gam di sebalik semak.

Pada masa dahulu kumpulan baraan akan bergerak dari sebuah rumah ke rumah yang lain dengan berjalan kaki dan berbasikal. Sekarang ini kebanyakannya bermotosikal. Dan ragam masing-masing jangan ceritalah. Yang berasa dia paling handsome yang perasan dia paling bergaya, yang asyik tayang telefon bimbit baharu yang bajet paling alim, semuanya ada.

Tuan rumah umumnya menyambut rombongan baraan dengan wajah berseri-seri sebab kunjungan itu membawa erti yang dirinya diingati. Yang menariknya pada waktu bersalaman atau berpelukan dengan tetamu ini, soalan yang paling kerap keluar dari mulut tuan rumah ialah: “Riko ki anak e sopo?” (Kamu ni anak siapa?). Dan bukan luar biasa kalau soalan itu diulang lagi kepada orang yang sama tahun depan dan tahun berikutnya.

Kumpulan tetamu itu dijemput masuk. Kalau rumah tidak cukup luas, sekitar halamanlah jadi ruang tamunya. Yang nakal, kerjanya membakar mercun. Ia menjadi hari bebas kampung. Sementara tetamu-tetamu cilik ‘dijamu’ dengan duit raya, tetamu remaja, belia dan dewasa pula disajikan pelbagai juadah.

Bayangkan ketika kanak-kanak, sebuah rumah memberikan 50 sen atau seringgit duit raya, secara mudah boleh mengumpul RM50 untuk hari tersebut. Ada ketikanya, tujuh lapan rumah berturut-turut asyik terjumpa juadah yang sama. Sirap, nasi himpit, kuah kacang. Rumah orang berada dapatlah merasa sate, aiskrim dan nasi minyak.

Bagaimanapun itu juga bukan persoalan. Ada tuan rumah hanya sediakan segelas air dan potongan tembikai, namun bila dijamah beramai-ramai, sedapnya sama macam makan stik daging wagyu juga. Perlu disebut di sesetengah tempat sesi kunjungan ini diserikan dengan marhaban dan bacaan doa.

Tetapi ada juga yang sekadar makan minum dan selepas itu meminta diri untuk berkunjung ke rumah yang lain.

Di tempat saya pula ada sesi berucap. Wakil kumpulan baraan akan memberi ucapan sambil mendoakan kesejahteraan tuan rumah, kemudian tuan rumah pula memberi ucapan balas. Setakat yang saya ingat, semua ucapan itu ringkas dan ‘biasa-biasa’ sahaja. Belum ada kes mana-mana pihak berucap berapi-api macam orang berkempen semasa pilihan raya.

Si bujang dan si dara

Baraan adalah saatnya si bujang dapat menjengah si dara di rumah tersebut. Hari baraan agak bebas untuk keluar masuk dari anjung hingga ke dapur. Barulah kita tahu di rumah itu ada berapa ramai anak dara. Dapatlah mengenyit mata dan tahu kerja di mana. Selesai kunjungan di sebuah rumah, berangkatlah kumpulan baraan itu ke rumah yang lain.

Kalau ada 60 buah rumah di kampung itu, bermakna 60 buah rumahlah yang akan cuba dikunjungi.

Jika ada yang terkecuali pun hanyalah rumah yang tuannya jenis tidak bercampur gaul dengan orang kampung atau tiada wakil dalam program baraan tersebut. Baraan selalunya berakhir pada lewat petang, ketika matahari hampir menghilangkan diri, ketika burung-burung berkejar pulang ke sarang, ketika cengkerik bersiap sedia untuk berbunyi dan ketika tempurung lutut mula terasa hendak tertanggal.

Di tempat saya baraan akan berakhir pada petang itu. Tetapi ada tempat-tempat tertentu, ia diteruskan pada keesokan harinya sehingga lengkap semua rumah di kampung tersebut. Ia mungkin melelahkan. Namun di sebaliknya terlindung satu kepuasan yang sukar digambarkan.

Puas sebab dapat mengakrabkan ukhuwah dengan handai taulan sekampung yang kalau bukan kerana raya, batang hidungnya pun mungkin jarang dapat dilihat. Saat saya menulis artikel ini, kemeriahan baraan masih terbayang di ingatan. Namun semuanya sekadar kenangan. Sudah dua tahun kesempatan untuk berbaraan ditutup oleh Covid-19.

Usahkan baraan, peluang untuk ziarah-menziarah dalam kumpulan yang lebih kecil juga sudah menjadi amat terbatas. Bagi keluarga besar, yang rumahnya banyak bilik mungkin boleh berbaraan sesama sendiri.

Pakat berkunjung beramai-ramai dari bilik ke bilik. Tetapi bagi keluarga kecil dengan rumah kecil, baraan hanya menjadi mimpi yang entah bila akan dapat dijelmakan kembali sebagai realiti. Walau apa pun sama-samalah kita berdoa supaya Covid-19 segera putus rantaiannya dan jangan sampai ia memutuskan silaturahim sesama kita. Akhir kata, ‘jalok ngapuro seng akeh-akeh᾿.

Baraan adalah saatnya si bujang dapat menjengah si dara di rumah tersebut. Hari baraan agak bebas untuk keluar masuk dari anjung hingga ke dapur. Barulah kita tahu di rumah itu ada berapa ramai anak dara. Dapatlah mengenyit mata dan tahu kerja di mana.

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan

Sumber: Sinar Harian 19 Mei 2021


Tiada ulasan: