Khamis, September 26, 2024

348 Perpustakaan Ditutup

348 perpustakaan ditutup

Utusan Malaysia – 26 Sept 2024

Foto ihsan Internet

PETALING JAYA: Sebanyak 348 perpustakaan ditutup dalam tempoh lima tahun daripada 3,002 pada 2019 kepada 2,654 setakat tahun lalu.

Naib Presiden I, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Dr. Mohd. Faizal Hamzah berkata, hal ini berlaku kerana perubahan pentadbiran, pemusatan perpustakaan, dan penyatuan perpustakaan kecil selain faktor peralihan dunia ke arah digitalisasi.

Bagaimanapun jelasnya, peralihan ke arah digital bukan faktor utama bilangan semakin mengecil kerana perpustakaan di Malaysia turut bersama dalam transformasi ke arah perpustakaan digital.

“Perpustakaan kita telah berjaya menyesuaikan diri dengan era digital, menawarkan pelbagai perkhidmatan dan sumber yang relevan mengikut keperluan semasa.

“Sebagai contoh, perpustakaan negeri dan awam banyak menganjurkan program seperti kelas AI (kecerdasan buatan), makmal penciptaan, dan kelas li­terasi media digital. Fokus kini lebih kepada koleksi digital apabila pustakawan perlu menguasai kemahiran baharu seperti penyedia­an mikro-kredensial, aplikasi perisian digital, AI, dan alat penyelidikan digi­tal yang membantu mereka kekal berdaya saing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan Perangkaan Perpustakaan Malaysia 2023, terdapat sebuah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perpustakaan Komuniti PNM (4), Perpustakaan Awam Negeri (PAN/330) dan Perpustakaan Desa (PD/1,085) melibatkan PD PNM (506) dan PD PAN (579).

Perpustakaan Khusus pula berjumlah 816 buah melibatkan agensi atau Jabatan Kerajaan Persekutuan (536) dan Badan Berkanun/Agensi Swasta/GLC (280). Bagi Perpustakaan Akademik pula berjumlah 418 buah meliputi Universiti Awam (20), Universiti Swasta (76) dan Kolej atau Institusi Swasta (322).

Mengulas lanjut, Faizal Hamzah berkata, perpustakaan di Malaysia kini telah bergerak ke arah model hibrid atau digital, di mana menggabungkan koleksi tradisional dengan koleksi digital untuk memenuhi keperluan maklumat masa kini.

“Peralihan ini sejajar dengan perkembangan teknologi dan trend pembaca yang semakin cenderung kepada akses digital. Perpustakaan kini menyediakan bahan-bahan dan perkhidmatan digital yang lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai contoh, koleksi tradisional Braille kini telah banyak beralih kepada koleksi yang menggunakan teknologi Optical Character Recognition (OCR) yang memudahkan pengguna cacat penglihatan mengakses bahan bacaan dengan lebih mudah dan efisien.

“Selain itu, koleksi yang mempunyai nilai sejarah kepada negara atau yang unik telah diimbas secara digital untuk memastikan bahan-bahan tersebut dapat diakses tanpa risiko kerosakan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Faizal berkata, peralihan perpustakaan kepada kaedah media digital membantu memelihara dan mengekalkan warisan penulisan dan bahan-bahan sejarah negara. Kata beliau, karya-karya bermutu tinggi dari sejarawan dan ilmuwan negara perlu dilindungi dan dipelihara menerusi peralihan digital.

“Saya tidak melihat sebarang kesalahan atau menganggap perkembangan media digital sebagai sesuatu yang merendahkan fungsi perpustakaan. Sebaliknya, media digital membantu pustakawan memastikan semua bahan di perpustakaan dapat diakses dengan mudah oleh pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Faizal berkata, perpustakaan juga memainkan peranan penting dalam menyediakan bahan maklumat bersifat mikro visual seperti video pendek di platform media sosial.

“Ia bagi memastikan pengguna perpustakaan mendapat maklumat dengan cara yang lebih menarik dan relevan dengan perkembangan media sosial. Selain itu, perpustakaan di Malaysia telah memperkenalkan perkhidmatan seperti eBook, jurnal dalam talian, dan repositori digital yang membolehkan pengguna mengakses bahan bacaan dari mana-mana lokasi.

“Ini bukan sahaja memudahkan pengguna tetapi juga memperluaskan jangkauan perpustakaan kepada komuniti yang lebih luas, termasuk di kawasan luar bandar,” ujarnya. Tambahnya, melalui inisiatif itu, perpustakaan di Malaysia bukan sahaja mengekalkan relevansinya dalam era digital malah menjadi pemimpin dalam mempromosikan literasi digital dan akses maklumat untuk semua lapisan masyarakat.

Selain itu, beliau berkata, pemuliharaan dan pengekalan media cetak yang bersifat khazanah negara perlu diteruskan agar ia dapat dinikmati oleh generasi masa hadapan.

“Untuk mencapai ekosistem yang lebih holistik, adalah penting untuk mewujudkan sinergi antara media cetak dan media digital. Pustakawan berperanan sebagai perantara yang membantu pengguna mengakses sumber media cetak dan digital dengan lebih efisien. Melalui peralihan kepada model hibrid, perpustakaan boleh menyediakan akses kepada media cetak dalam bentuk digital, melalui pengimbasan berkualiti tinggi dan penyimpanan arkib digital. Ini memastikan media cetak terus dapat diakses oleh generasi akan datang tanpa mengorbankan integriti bahan asalnya,” katanya.

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2024/09/348-perpustakaan-ditutup/

Tiada ulasan: