Isnin, September 23, 2024

XPDC Pulau Pangkor (19-21 Sept 2024)

XPDC Pulau Pangkor telah berlangsung pada 19-21 September 2024. Perjalanan bermula pada pagi hari khamis (19 Sept 2024) dari Shah Alam menuju ke Sekinchan untuk berkumpul di rumah mak mertua dan adik-adik ipar yang lain. Sekitar jam 10.30 pagi, kami mulakan perjalanan menuju ke Lumut, Perak. Setibanya di Lumut, kami terus mencari tempat meletakkan kenderaan iaitu di Medan Tempat Letak Kereta Bertingkat di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Lumut. 

Foto ihsan Blog Snapbackpacker


Setelah dapat meletakkan kenderaan di sini, kami menuju ke jeti feri yang terletak di seberang jalan lebih kurang 50 meter sahaja dari tempat meletak kenderaan tadi. 

Jeti Feri Lumut

Di hadapan jeti feri ini terdapat deretan kedai yang menjual pelbagai barang-barang makanan laut seperti satay ikan, satay sotong, pakaian, ikan bilis dan juga gerai makanan. Terdapat juga pejabat pos bagi sesiapa yang mempunyai urusan rasmi seperti pembayaran bil dan pengeposan barang dan surat. 

Pejabat Pos Lumut

Lebih kurang jam 1.15 petang kami menaiki feri dari jeti feri Lumut ke jeti Pulau Pangkor. Perjalanan melalui feri ini mengambil masa selama 30 minit dan akan melintasi Pengkalan TLDM Lumut di mana terdapat kapal-kapal milik TLDM berlabuh. Setelah beberapa ketika, maka tibalah di jeti feri Pulau Pangkor. 

Pengkalan TLDM Lumut (Foto ihsan TLDM)

Jeti Feri Pulau Pangkor

Setibanya di jeti feri Pulau Pangkor, kami terus naik ke jeti dan mencari teksi berwarna merah jambu yang banyak kelihatan di sekitar jeti untuk mendapatkan penumpang. Hanya di Pulau Pangkor terdapat teksi berwarna merah jambu ini. 

Teksi 'Merah Jambu' di Pulau Pangkor 

Apabila sudah dapat teksi, kami semua menaiki teksi untuk pergi ke inap desa di Homestay Mak Saadiah, Lot 10, Alam Impian yang berhampiran dengan Pantai Pasir Bogak. Jauhnya dari jeti ke Pasir Bogak adalah dalam 4 kilometer sahaja. Tambang yang dikenakan adalah RM 20.00.

Homestay Mak Saadiah, Lot 10, Alam Impian (Blok A)

Kami memilih untuk menginap di Homestay Mak Saadiah yang mana ianya merupakan unit apartment tiga bilik dan 2 bilik air. Ianya mempunyai kemudahan kolam renang. Jarak rumah ini ke Pantai Pasir Bogak hanyalah sejauh 50 meter. Homestay ini juga menyediakan sewaan motor bagi pergi bersiar-siar di sekitar pulau.

Motor sewa di Pulau Pangkor

Kebanyakan motor sewaan yang disediakan adalah jenis skuter. Ini disebabkan bentuk muka bumi Pulau Pangkor yang berbukit-bukau di bahagian utara. Pada sebelah petang hari pertama (19 Sept 2024), kami telah menaiki motor pergi ke Pekan Pulau Pangkor bagi membeli sedikit barang makanan.

Seterusnya pada keesokan harinya (20 Sept 2024), kami telah keluar sekali lagi dengan menaiki motor bagi melawati beberapa tempat iaitu Kota Belanda, Batu Bersurat, Masjid Al-Badr (1000 Selawat) di Kampung Teluk Bharu, Kedai Bebas Cukai dan Galeri Pangkor. Ada di kalangan ahli XPDC yang membeli ikan dan ikan bilis di kedai berhadapan dengan Masjid Teluk Raja Bayang, Pekan Pangkor. 

Kedai Bebas Cukai

Kota Belanda

Masjid Al-Badr (1000 Selawat)
Pemandangan lokasi Perjanjian Pangkor pada Jan 1874 dari Galeri Pangkor

Batu Bersurat Pangkor. Lokasinya hanya 50 meter dari Kota Belanda. 

Hari kedua juga merupakan hari jumaat, maka pada hari tersebut kami bersembahyang jumaat di Masjid Teluk Raja Bayang yang terletak di tengah-tengah Pekan Pangkor. Berhampiran masjid ini ada sebauh kampung diberi nama Kampung Masjid yang merupakan kampung kelahiran Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak 2009-2018)

Foto ihsan Internet

Pada sebelah petangnya, kami berkunjung pula ke Masjid Al-Khairiah (1000 Doa) yang mana masjid ini merupakan masjid yang mempunyai rekabentuk masjid di negeri China. ianya terletak di Sungai Pinang Kechil dan jaraknya lebih kurang 2km dari Galeri Pangkor. 

Masjid Al-Khairiah (1000 Doa)

Dan seterusnya kami mengelilingi jalan-jalan di sekitar pulau dan menaiki bukit dan menuruni jalan yang agak curam. Dengan kekuatan motor skuter, ianya memberi kelancaran dan memudahkan untuk mendaki. 

Hari ketiga (21 Sept 2024), kami bergerak balik dan mengambil feri ke Lumut. Dari Lumut kami terus memandu ke Sekinchan. Tamatlah XPDC kali ini ke Pulau Pangkor. 

Tiada ulasan: