Selasa, Disember 03, 2024

Sultan Nazrin tidak pernah jemu bertitah demi kemakmuran negeri

Sultan Nazrin tidak pernah jemu bertitah demi kemakmuran negeri

Berita Harian – 27 Nov 2024

RAJA Pemerintah diumpamakan sebagai nakhoda kapal bukan sahaja seorang pemimpin berilmu pengetahuan dan luas pengalaman, malah mahir menerajui haluan bahtera, faham selok-belok lautan, lambungan ombak, arah angin, perubahan awan dan makna taburan bintang di langit. Bahkan, semakin besar bahtera itu, semakin banyak tanggungjawab di samping memastikan setiap anak kapal mematuhi undang-undang dalam melaksanakan tugas dan menyelesaikan sesuatu masalah.

Sebagai Raja Pemerintah, Sultan Nazrin sangat cakna terhadap kepentingan negeri dan rakyat. Selain kerap mencemar duli bersama rakyat dalam pelbagai aktiviti, baginda menzahirkan idea melalui titah sama ada melalui pelbagai program khususnya dianjurkan kerajaan negeri Perak. Sangat jelas, titah baginda mencakupi pelbagai aspek politik, ekonomi dan sosial serta menyentuh isu bersifat setempat, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Antara idea bernas titah baginda ialah sering menukilkan sejarah silam sebagai pedoman dan pengajaran bagi menangani atau menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Rujukan baginda kepada peristiwa silam berupa nasihat supaya tidak mengulang kesilapan lalu dan pada masa sama berusaha menambah baik keadaan sedia ada. Sebagai contoh, baginda mengimbau kemerosotan ekonomi Perak sekitar 1980-an dan membuat perbandingan dengan beberapa tempat di Amerika Syarikat (AS) serta United Kingdom (UK) sebagai panduan untuk melonjak semula kegemilangan ekonomi Perak.

Sebagai raja berjiwa rakyat, baginda sangat mengutamakan keharmonian dan keamanan, bebas daripada kekacauan dan persengketaan supaya warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati dan bekerjasama tanpa dipisahkan tembok prejudis agama atau prasangka kaum. Dalam hal ini, insiden memecahbelahkan rakyat dan menggugat keharmonian perlu segera dibendung supaya tidak mencemarkan kedudukan baginda sebagai lambang perpaduan.

Undang-undang 99 Perak ada mencatatkan sifat keadilan akan membawa kemakmuran dan keamanan kepada rakyat. Hal ini terserlah melalui perilaku baginda sentiasa mementingkan tadbir urus negeri secara telus, berintegriti, amanah dan menghindari rasuah serta salah guna kuasa.

Tunjuk sikap lebih sedia mendengar

Baginda pernah menasihatkan pemimpin negeri menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengari. Pesan baginda, 'Kerajaan menjadi pilihan rakyat dan kerajaan akan terus mendapat sokongan rakyat ialah kerajaan dapat memenuhi impian majoriti rakyat'.

Titah baginda lagi, 'Sembahkan nasihat yang benar secara ikhlas, jujur lagi bertanggungjawab kepada Raja Pemerintah. Raja Pemerintah jangan dikhayalkan dengan cerita penghibur telinga hingga Raja berada dalam alam tersendiri, jauh daripada realiti keadaan kesusahan hidup dialami rakyat' adalah nasihat tegas betapa peranan Raja Pemerintah dan kepemimpinan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Hal ini selaras kedudukan baginda sebagai Ketua Utama Negeri seperti termaktub melalui Perkara 70 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 10 dan Fasal 11 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama). Demi menjunjung titah baginda, pentadbiran negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menggalas tanggungjawab besar bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

Gagasan Perak Sejahtera 2030 dan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 menjadi pelan serta petunjuk utama dalam usaha melonjak kembali kemakmuran negeri. Kegemilangan Perak perlu dikembalikan semula melalui inisiatif ditetapkan.

Selain memastikan kestabilan politik, cabaran besar pentadbiran negeri juga merangkumi aspek daya saing ekonomi dan memastikan migrasi keluar dalam kadar minimum. Titah baginda berkaitan globalisasi dan 'aglomerasi atau pengumpulan ekonomi' menuntut pentadbiran negeri bekerja keras merangsang ekonomi dan meningkatkan kebajikan rakyat.

Tuntasnya, perilaku dan titah Sultan Nazrin menjangkau perspektif jangka panjang dan memerlukan tindakan bijak kepemimpinan Perak. Demi mencapai hasrat Raja Pemerintah, kepemimpinan negeri perlu bingkas mengatur gerak kerja seperti baginda harapkan supaya dapat melonjak kembali Perak sebagai negeri makmur, sekali gus kekal dalam 'baladan aaminan' (aman sentosa).

Ibrahim Ahmad,
Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak, UniKL Royal College of Medicine Perak

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2024/11/1329324/sultan-nazrin-tidak-pernah-jemu-bertitah-demi-kemakmuran

Tiada ulasan: