KOTA BHARU 21 Okt. - Muzium Negeri Kelantan akan mengadakan sesi
lelongan kain langsir pintu Kaabah yang dibawa khas dari Arab Saudi
dengan harga permulaan sebanyak RM1 juta di muzium tersebut 31 Oktober
ini.Pengarahnya, Ab. Rahman Abdullah berkata, selain kain langsir itu
turut dilelong beberapa barangan lain seperti cebisan kain kiswah Kaabah
dan cebisan kain kelambu makam Rasulullah SAW masing-masing pada harga
bidaan permulaan sebanyak RM60,000.
Menurutnya, sesi lelongan berkenaan akan diadakan sempena majlis
penutup Pameran Foto Tanah Haram yang dianjurkan pihaknya sejak hampir
dua bulan bermula 1 September lalu.
"Kain langsir pintu Kaabah ini dibuat pada 2009 dan merupakan kain
pendua bagi tujuan persediaan sekiranya terdapat kerosakan atau masalah
pada kain langsir pertama yang dipasang.
"Kain langsir berukuran 6.4 meter x 3.4 meter dan beberapa barangan
lain itu milik seorang warga Arab Saudi yang memberi kebenaran dilelong
dengan harga permulaan sebanyak RM1 juta," katanya ketika ditemui di
sini hari ini.
Tambahnya, kain langsir itu adalah asli dan disulam menggunakan benang emas dan perak seberat 90 kilogram.Sementara itu, katanya, kain kiswah Kaabah dan cebisan kain kelambu
makam Rasulullah SAW yang turut dilelong biasanya digantikan setiap
empat tahun.
Menurutnya, hasil lelongan bagi bidaan awal akan diberi kepada
pemilik asal barangan berkenaan sementara selebihnya akan disalurkan
kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin di Kajang, Selangor serta
dihadiahkan kepada pihak muzium.
"Saya menjemput semua rakyat di negeri ini ke muzium ini dan melihat
sendiri kain langsir pintu Kaabah yang dipamerkan selain pameran
foto-foto kawasan Tanah Haram yang dirakam jurugambar profesional yang
mempunyai keunikan tersendiri," katanya.
Menurut beliau, selain dipamerkan untuk tatapan umum barangan
berkenaan dan foto-foto itu juga sedia untuk dijual kepada mereka yang
berminat.Tambahnya, wang hasil lelongan tersebut akan digunakan untuk membawa
penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin terdiri daripada ibu tunggal,
anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib menunaikan umrah atau
ibadat haji.
Sumber: Utusan Online
Selasa, Oktober 22, 2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan