Universiti Teknologi Mara (UiTM) disarankan memberi peluang kepada golongan bukan Bumiputera mengikuti pengajian di peringkat tertinggi di universiti berkenaan bagi mengalakkan persaingan.
Pro Canselornya, Tan Sri Dr Arshad Ayub berkata hasrat mewujudkan UiTM bukan sekadar untuk melahirkan 'jaguh kampung' tetapi ingin menampilkan lebih banyak golongan intelektual di persada antarabangsa.
Menurutnya, sudah sampai masa untuk cadangan membuka peluang kepada bukan Bumiputera di universiti berkenaan dipertimbangkan, memandangkan persaingan semakin mencabar di peringkat antarabangsa.
"Ini mengelak graduan universiti berkenaan sekadar menjadi 'jaguh kampung' dalam dunia yang kini semakin mencabar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan edisi ketiga Persidangan Akademik Antarabangsa (IAC) 2015 semalam.
Beliau mencadangkan peluang untuk bukan Bumiputera perlu dibuka di peringkat Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (PhD) dan bukan untuk pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
"Peluang kepada penuntut bukan Bumiputera melanjutkan pengajian di peringkat Masters dan PhD di UiTM mungkin dalam peratusan yang kecil, dan ini akan mendorong pelajar Bumiputera bersaing di peringkat tertinggi," katanya.
"Bagaimanapun, ia hanya membabitkan peringkat yang lebih tinggi kerana golongan Bumiputera masih memerlukan peluang dan sokongan di peringkat lebih rendah, iaitu diploma dan ijazah selaras dengan dasar penubuhan universiti," katanya.
Hadir sama, Pemangku Rektor UiTM Terengganu, Prof Dr Azemi Che Hamid dan Timbalan Pengerusi IAC 2015, Prof Dr Baharom Abd Rahman.
Persidangan dwitahunan itu disertai 250 ahli akademik dari Malaysia, Indonesia, Nigeria dan China dengan 133 kertas kerja dengan tema 'Teknologi Meningkatkan Pendidikan' dibentangkan pada sesi dua hari itu.
Sumber: The Malaysian Insider, Bernama