SHAH ALAM, Isnin — Fakulti Pengurusan
Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal menubuhkan Institut
Sains Maklumat Malaysia bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat
yang betul dan sahih.
Dekan
fakulti berkenaan, Prof Madya Dr Mohd Sazili Shahibi berkata
institut itu yang bakal beroperasi seawal Mac tahun depan akan
menghimpunkan pelbagai maklumat lengkap antaranya mengenai barangan
perubatan, produk kewangan dan undang-undang.
“Fakulti
ini berasakan penubuhan institut ini adalah amat perlu kerana
kini, Malaysia sedang mengalami lambakan maklumat di Internet seperti
mana-mana negara maju lain yang ada antara maklumat itu tidak tepat dan
boleh membawa impak yang negatif kepada masyarakat.
“Oleh itu
institut ini akan mengumpul dan mengkaji sesuatu maklumat itu dengan
agensi kerajaan dan swasta agar informasi yang betul dapat
disalurkan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau
bercakap kepada pemberita pada Persidangan Antarabangsa Sains Maklumat
yang dirasmikan Rektor UiTM Selangor, Prof Dr Zaini Abdullah di
UiTM Puncak Perdana di sini hari ini.
Mohd Sazili berkata segala maklumat akan disiarkan di laman web institut itu atau melalui seminar yang akan dianjurkan.
Persidangan
dua hari yang julung kali dianjurkan fakulti itu merupakan platform
perkongsian idea-idea inovatif bagi tujuan menyokong sinergi pembangunan
serta pengembangan profesion perpustakaan dan maklumat yang kompetitif.
Sebanyak
47 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan yang bertemakan ‘Sinergi
Maklumat Ke Arah Transformasi’ merangkumi antaranya, bidang
berkaitan perpustakaan dan pengurusan pusat sumber, sistem pengurusan
maklumat dan pengurusan rekod. — Bernama