Memori 1957 hidup kembali
Harian Metro – 14 Ogos
2023
Kuala Lumpur: Aura
nostalgia pengisytiharan kemerdekaan Malaysia kembali meremang! Itu yang boleh
dikatakan sebaik sahaja Stadium Merdeka dijangka dibuka semula menjelang
pertengahan 2023. Malah, sebaik sahaja stadium keramat tanah air itu yang
pernah menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara antarabangsa suatu ketika
dahulu itu dibuka, ia bakal membawa pengunjung ke era 1956.
Ia hasil aktiviti
pemuliharaan yang dilaksanakan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB) sejak
2008 yang menelan belanja sebanyak RM13 juta bagi mengembalikan reka bentuk
asal Stadium Merdeka pada 1956 hingga 1964.
Tinjauan Harian Metro
baru-baru ini ke Stadium Merdeka sempena lawatan dan taklimat khas media
mengenai pembangunan Menara Merdeka 118 memperlihat PMVSB agresif untuk
menyiapkan stadium berkenaan yang boleh dikatakan menghampiri peringkat akhir. Presiden
dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Ahmad Zulqarnain Onn
berkata, kerja pemuliharaan untuk mengembalikan Stadium Merdeka kepada keadaan
asal mengambil masa dua tahun iaitu bermula dari 2006 hingga 2008.
"Selepas
kerja-kerja pemuliharaan siap, Stadium Merdeka dibuka untuk acara konsert serta
bola sepak. Bagaimanapun, aktiviti persembahan tidak diadakan sepanjang tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga mengambil kira kerja-kerja pembinaan
Merdeka 118 yang giat berjalan pada masa ini, dijangka stadium ini akan dibuka
untuk aktiviti di pertengahan tahun 2023.
"Pada waktu yang
sama, kami berpendapat Stadium Merdeka perlu ada trek larian untuk membolehkan
aktiviti sukan diadakan di stadium ini dan dijangka kerja-kerja pemasangan trek
larian sepanjang 400 meter dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini apabila
mendapat kelulusan pihak berkenaan," katanya.
Jelasnya, PMVSB
memperoleh tanah Stadium Merdeka dan Stadium Negara daripada Danaharta pada
tahun 2000.
"Selepas itu, PNB
memutuskan untuk mengembalikan keaslian dan nostalgia kedua-dua stadium
berkenaan dan mengambil inisiatif untuk mendapatkan pengiktirafan Tapak Warisan
Negara. Proses tender untuk projek memulihara Stadium Merdeka ini dibuka pada
pertengahan tahun 2005.
"Pada tahun 2006,
PNB menubuhkan, sebuah badan amanah khusus, Merdeka Heritage Trust yang
bertanggungjawab untuk mengendalikan semua kerja-kerja pemeliharaan dan
pemuliharaan Stadium Merdeka dan Stadium Negara seperti mana dikehendaki untuk
menjadikannya sebagai tapak warisan negara.
"Pada tahun 2008,
kerja-kerja memulihkan Stadium Merdeka kepada keadaan asal seperti pada tahun
1957 siap dan pada tahun yang sama mendapat pengiktirafan daripada Unesco
melalui anugerah Unesco Award of Excellence for Culture Heritage
Conservation Programme," katanya.
Ahmad Zulqainain
berkata, pada 2005, PNB bekerjasama dengan Badan Warisan Malaysia untuk
menjalankan Kajian Siasatan Keadaan dan Lukisan Reka Bentuk Stadium Merdeka.
Kajian ini mengambil masa lebih kurang setahun.
"Pada tahun yang
sama, pihak PNB menerima pakai satu pelan pemuliharaan untuk mengembalikan
Stadium Merdeka kepada bentuk asalnya seperti pada 1957.
"Stadium Merdeka
adalah tapak atau simbol kemerdekaan negara yang memiliki pelbagai peristiwa
bersejarah. Oleh itu, kami cuba untuk mengembalikan keadaannya kepada keadaan
yang asal supaya generasi masa kini dapat membayangkan dan merasai sendiri
pengalaman seperti mana sesuatu peristiwa itu berlaku pada masa
berkenaan," katanya.
Ditanya mengenai
cabaran, katanya, dugaan terbesar adalah untuk mengenalpasti kontraktor yang
berpengalaman dalam kerja pemulihan itu.
"Namun, kami
berjaya menyempurnakan kerja-kerja pemulihan dengan menggunakan kepakaran
kontraktor tempatan. Dalam kata lain, kami juga membantu pemain industri
tempatan menjadi sebahagian daripada projek pemulihan ini," katanya. Jelasnya,
bagi mengembalikan nostalgia Stadium Merdeka, pihaknya perlu mengimport
pelbagai bahan binaan 'lama' yang sukar untuk didapati di pasaran tempatan.
"Antaranya ialah
jubin mozek tradisional dari India, yang masih lagi menghasilkan corak dan reka
bentuk sama seperti yang asal dan ia berdasarkan beberapa sampel yang kami
temui di ruang legar Stadium Merdeka," katanya. Katanya, PNB merancang
untuk membuka Stadium Merdeka dan fasiliti umum yang lain di Presint Merdeka
118 kepada orang ramai menjelang pertengahan tahun 2023.
"Kami ingin
mengeratkan hubungan masyarakat atau komuniti terhadap stadium menerusi
penganjuran acara-acara sukan dan hiburan. Contohnya, sekolah-sekolah di
sekitar Kuala Lumpur dialu-alukan dan akan diberikan peluang untuk menganjurkan
hari sukan sekolah mereka di Stadium Merdeka," katanya.
Katanya, untuk
meningkatkan lagi pengalaman pengunjung di stadium kelak, pihaknya akan membina
tapak 'Merdeka' yang khusus dan simbolik bagi memperingati peristiwa bersejarah
kemerdekaan Malaysia.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2022/08/871345/memori-1957-hidup-kembali
Tiada ulasan:
Catat Ulasan