Sabtu, April 12, 2008

Restoran Cheng Ho -- Amy Search

Pada 4 April lalu, Amy melakar satu lagi pencapaian dalam dirinya apabila berjaya melaksanakan impian yang selama ini dipendamnya.

Restoran Cheng Ho Chinese Islamic Seafood merupakan lambang kesungguhan dan minatnya yang mendalam pada cabang perniagaan. Amy punya sebab tersendiri mengapa dia mengusahakan perniagaan makanan itu selepas sekian lama mendambakan diri pada industri muzik.

Dalam nada penuh makna, Amy berkata: "Selain muzik, dua perkara yang saya gemar ialah makanan dan pakaian.

"Jadi impian untuk membuka restoran ini memang sudah lama saya pendam. Dari dulu lagi saya dah berbincang dengan beberapa rakan untuk merealisasikan impian saya ini. Tapi untuk mencari chef yang sesuai dari dulu tak jumpa. Saya tak mahu orang datang makan semata-mata nak tengok saya tapi saya mahu orang yang datang makan berpuas hati kerana masakan restoran saya," jelas Amy panjang lebar.

Memilih makanan laut masakan Cina sebagai teras utama restoran tersebut, menurut Amy, kesukaran untuk mendapatkan masakan sedemikian membuatkan dia memilih masakan tersebut untuk restorannya.

"Tak banyak pilihan kedai makanan laut masakan Cina milik Melayu di sini. Saya sendiri penggemar makanan tersebut, lalu yang terbaik saya rasa tak salah memilih masakan tersebut untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada khalayak," jelasnya yang menggunakan khidmat dua chef tempatan bagi mengendalikan restoran miliknya itu.

Menampilkan 148 jenis menu, keunikan restoran Cheng Ho terletak pada dekorasinya.

Para pengunjung pastinya akan terpegun melihatkan gambar-gambar masyarakat Cina Muslim dan tulisan khat yang menghiasi dinding-dinding restoran yang semuanya hasil ilustrasi terakhir sahabat baik Amy iaitu Allahyarham Jalil Ngah. Buka cawangan lain dengan bajet RM250,000, Amy dan rakan kongsinya memilih Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebagai lokasi permulaan restoran tersebut.

"Sebab utama saya pilih lokasi ini sebab banyak kaum Melayu di sini. Jadi saya rasa mudah untuk mereka mengunjungi restoran ini dan penduduk berdekatan juga boleh datang kerana lokasinya agak mudah untuk ditemui," jelas Amy yang sedang merancang untuk mengusahakan butik pakaian satu hari nanti.

Terang penyanyi yang popular dengan lagu Isabella ini, besar kemungkinan dalam masa enam bulan lagi beberapa cawangan restoran Cheng Ho akan dibuka.

"Insya-Allah kita akan buka cawangan di Johor Bharu, Kota Damansara dan Sabah. Semuanya akan dilaksanakan mengikut perancangan dan peringkat demi peringkat," tutur Amy dengan penuh semangat. Pekerja peminat sendiriDalam pada itu, langkah Amy mengusahakan restoran tersebut memberi rezeki kepada para peminatnya.

Beritahu Amy, seramai 15 pekerja restoran berkenaan terdiri daripada peminatnya yang berasal dari Sabah.

"Kesemua pekerja ini saya temui semasa saya mengadakan persembahan di tempat- tempat yang jauh di pedalaman Sabah. Dalam masa lima tahun saya sering kali berulang alik ke sana. Mereka selalunya datang bertemu dengan saya dan apabila saya ingin membuka restoran ini, saya bertanya kepada mereka sama ada mahu atau tak bekerja dengan saya dan mereka menerimanya," ujar Amy lagi.

Alamat Restoran:

Restoran Cheng Ho Chinese Islamic Seafood
15 & 17G, Blok 3B, Jalan Wangsa Delima 10,
D'Wangsa (Belakang Pasaraya Carrefour)
Seksyen 4, Wangsa Maju
, Kuala Lumpur

Masa: 9am - 11pm (Setiap hari)

-- Utusan Malaysia

4 ulasan:

Unknown berkata...

Ku ada terbaca kat paper pasal ni...

Tanpa Nama berkata...

saya ingin booking dulu... tapi tak ada phone no........

Tanpa Nama berkata...

ade num dia...

013-6008990

Tanpa Nama berkata...

how's the price ek?