Buku SYJ BOTB 1986: Kultus Metal Ipoh
Tajuk: SYJ BOTB 1986: Kultus Metal Ipoh
Penulis: PM Dr Muhamad Takiyuddin Ismail
ISBN: 9786299616108
Bil. mukasurat: 559
Edisi: Kulit tebal
Ulasan:
Bila kita sebut kumpulan SYJ, sudah tentu akan tergambar kumpulan ini satu kumpulan rock kapak yang menjadi sebutan anak-anak muda sekitar 1980an dulu. Nama SYJ ini asalnya sudah gah yang mana empunya nama asal adalah Syed Yusuf Jamalullail (Pak Syed) yang berasal dari Kg. Manjoi, Ipoh.
Pak Syed seorang yang suka kepada bidang nyanyian dan telah merakam dua album sekitar awal 1970an. Untuk nama kumpulan muzik pula ianya diasaskan sekitar tahun 1977 sempena nama Pak Syed sendiri. Sejak dari saat itulah berkembangnya kumpulan SYJ yang mana ahli-ahlinya silih berganti sehinggalah wujudnya SYJ BOTB pada tahun 1986 yang dianggotai oleh Amir, Man Rani, Zam dan Eduat.
Barisan anggota ini adalah di mana genre muzik yang dimainkan ialah rock dan heavy metal. Fesyen yang paling glamer adalah sama dengan imej kumpulan Motley Crue. SYJ juga naik apabila menyertai Battle of the Bands pada 1986 bersama Lefthanded, Bloodshed, Whitesteel dan Ella & The Boys.
Antara lagu yang menjadi hits adalah Orang Timur, Hati Syaitan, Teruskan dan Mata Sepet. Seterusnya sekitar tahun 1987, satu perubahan telah berlaku di mana nama SYJ telah beralih kepada Sofea. Pada tahun yang sama juga Sofea merakamkan album pertama bertajuk 'Kembali' yang membawa masuk Nahar yang menggantikan Eduat di posisi dram. Boul selaku pereka seni sampul album ketika itu.
Album kedua bertajuk 'Anak Liar' (1988) dan yang ketiga, 'Boneka Pentas' (1989) terus membawa Sofea-SYJ terus mengungguli zaman rock ketika itu. Dan selepas itu adalah turun naik kumpulan Sofea-SYJ sehinggalah wujudnya beberapa versi lain kumpulan SYJ. Inilah kumpulan yang mempunyai paling ramai anggota semenjak 1977 dan ada pemuzik kaum India dan Cina.
Apa pun, buku ini merupakan satu 'masterpiece' yang bersifat semi-akademik yang akan menjadi satu rujukan bagi peminat SYJ dan pengkaji-pengkaji genre rock di Malaysia selain dari Buku Merah (2023). Syabas saya ucapkan kepada penulis buku kerana usaha yang jitu dan keras dalam mendokumenkan satu fenomena dalam dunia rock yang pernah suatu ketika dahulu berada di puncak glamer.
"Komer ingat baik-baik. Nama SYJ ni orang akan ingat sampai bila-bila" (Pak Syed)






![Ketupat Cinta [Musim Pertama]](https://i.gr-assets.com/images/S/compressed.photo.goodreads.com/books/1240420495l/6415559._SY75_.jpg)


















Tiada ulasan:
Catat Ulasan