Ahad, Oktober 19, 2025

Pencuri Buku Mencuri Bahan Langka Perpustakaan

Oleh: N Faizal Ghazali 

Keghairahan seorang peniaga buku terpakai mencari laba sehingga tergamak mencuri bahan-bahan tersebut dari beberapa perpustakaan di Kelantan akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis pagi tadi. Sumber yang dekat dengan kes tersebut memaklumkan kepada Malaysiakini, suspek merupakan seorang lelaki berusia awal 50-an dan sudah diberkas apabila kakitangan salah sebuah perpustakaan yang menjadi mangsanya membuat laporan semalam. Menurutnya kegiatan suspek sudah sekian lama dalam pemerhatian pihak pengurusan sebuah perpustakaan awam milik badan kerajaan negeri, serta sebuah lagi perpustakaan milik persendirian.

"Pada mulanya ada seorang pelanggannya membeli buku daripada suspek namun dia berasa curiga apabila naskhah berkenaan memiliki cap perpustakaan persendirian tersebut. Pelanggan itu kemudian merujuk kepada pihak perpustakaan bagi mendapatkan kepastian kerana dia memang tahu pihak pengurusan kemudahan itu tidak pernah melupuskan atau menyerahkan buku-buku mereka kepada pihak lain. Buku-buku di perpustakaan persendirian itu merupakan koleksi yang diwakafkan oleh pemilik atau keluarga pemilik asalnya. Malah ia sebenarnya tidak disediakan untuk dipinjam pun,” katanya.

Justeru, kata sumber berkenaan, apabila pelanggan terbabit mendapati bahan bacaan dari perpustakaan itu berada di tangan pihak lain, ia mengundang syak wasangka.

Pihak pengurusan perpustakaan persendirian itu pula, katanya, mula menjalankan siasatan dalaman dan terbukti banyak buku yang diamanahkan kepada mereka hilang dari rak," katanya.

Aksi dirakam CCTV

Sumber yang enggan identitinya didedahkan itu menambah, suspek memang sudah lama menjalankan peniagaan jualan buku terpakai menggunakan platform media sosial.

"Kerjasama dan pemerhatian pihak pengurusan dua perpustakaan tersebut berjaya menjejaki urusan penjualan buku oleh suspek dan mengenal pasti buku-buku milik mereka. Banyak buku koleksi langka atau nadir yang menjadi sasaran suspek dan didapati bahan bacaan sebegitu dijual semula dengan harga tinggi," katanya.

Mengulas mengenai modus operandi suspek, sumber berkenaan berkata, lelaki terbabit memberitahu kakitangan perpustakaan kononnya dia sering hadir di premis mereka untuk membuat rujukan bagi kajian dalam bidang budaya.

Katanya, suspek sering datang dengan menggalas sebuah beg selain memakai pelitup mulut dan hidung dipercayai agar wajahnya tidak begitu dikenali ramai. Apabila berada dalam perpustakaan, katanya, suspek akan meneliti buku berada di sela-sela rak dalam tempoh masa tertentu.

“Banyak kali dia datang dengan alasan membuat kajian budaya. Pihak perpustakaan persendirian itu mula mengesyaki sesuatu namun pada awalnya mereka tiada bukti kukuh selain daripada buku yang sudah dijual kepada pelanggan yang mendedahkan perkara itu.

“Akhirnya, aktiviti lelaki itu dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) salah sebuah perpustakaan berkenaan,” katanya.

Sumber itu menjelaskan suspek dipercayai menyeludup buku-buku langka itu dengan menyorokkan bahan bacaan berkenaan di sebalik jaket yang dipakainya. Ekoran perkembangan itu, seorang kakitangan perpustakaan membuat laporan di di Balai Polis Kota Bharu, petang semalam. Menurut laporan yang dilihat Malaysiakini, pihak perpustakaan mendapati berlaku kehilangan buku dan semakan CCTV mendapati wujudnya kelakuan suspek yang mencurigakan.

Boleh disebat jika berulang

Laporan polis itu turut memaklumkan bahawa carian di internet mendapat buku daripada perpustakaan itu diiklan untuk dijual oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat pihak perpustakaan berkenaan sekitar jam 5 petang semalam.

Dia turut mengesah tangkapan terhadap suspek itu berjaya dilakukan dalam serbuan polis kira-kira jam 1 pagi tadi di sebuah rumah sekitar Kota Bharu.

Difahamkan, pihak polis turut merampas 12 buah buku di sebuah rumah berasingan. Kata Mohd Rosdi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Sementara itu Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan suspek direman selama empat hari bermula esok selepas permohonan dikemukakan pihak polis pagi tadi.

Perintah reman dikeluarkan majistret Rais Imran Hamid hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya. Dia malah boleh disebat sekiranya kes berulang.

Sumber: Malaysiakini (14 Okt 2025) 

Tiada ulasan: