Sabtu, Ogos 13, 2022

Pustakawan bukan sekadar penyusun buku


Pustakawan bukan sekadar penyusun buku

Berita Harian – 13 Ogos 2022

PERPUSTAKAAN adalah sebuah tempat yang berfungsi sebagai hab maklumat bagi pengguna. Namun, tanpa seorang pustakawan yang mengendalikan segala sumber atau program bermanfaat kepada pengguna fungsi perpustakaan tidak akan berjalan dengan baik.

Bagaimanapun kerjaya pustakawan sangat sinonim dengan masyarakat kita sebagai penyusun buku. Apabila doktrin ini diperluaskan, maka kebanyakan ahli masyarakat akan mengatakan pustakawan hanya menyusun buku di perpustakaan tanpa membuat sebarang penyelidikan. Kata mudahnya, kerja seorang pustakawan hanyalah sebagai penyusun buku.

Sedangkan sebenarnya, pustakawan adalah kunci ilmu kepada masyarakat. Jika dilihat dari aspek pendidikan, pustakawan adalah kunci bagi membolehkan pengguna mengakses bahan ilmiah dengan pelbagai tujuan sama ada rujukan mahupun tugasan. Oleh itu, bahan ilmiah atau program pendidikan dilaksanakan akan dinilai oleh pustakawan dengan membuat perbincangan dengan pelbagai pihak bagi menjayakannya. Pustakawan juga dikehendaki membuat pelbagai program bagi menarik minat pengunjung untuk menggunakan perkhidmatan perpustakaan sama ada secara fizikal atau maya (digital).

Justeru, banyak juga aktiviti yang diadakan bagi menarik minat orang awam terutama golongan kanak-kanak dan remaja untuk mengunjungi perpustakaan. Antaranya termasuklah pertandingan seperti e-sports. Pertandingan sebegini amat penting kerana dalam usaha menarik minat orang awam, tentu saja kita perlu tahu kecenderungan mereka dan minat mereka.

Pertandingan sebegitu adalah satu contoh saja bagaimana perpustakaan sudah banyak membuat perubahan dari aspek aktiviti serta kreativiti dengan tujuan menarik minat pengunjung ke perpustakaan. Susulan itu, tugas seseorang pustakawan itu sendiri juga turut berubah-ubah mengikut keadaan. Ada kalanya mereka menganjurkan program literasi maklumat kepada pengguna supaya komuniti akan memperoleh kemahiran bermaklumat.

Kemahiran tambah keupayaan diri

Kelebihan kemahiran ini tentunya antara lain dapat membantu mereka menambah keupayaan diri dan mencari pekerjaan. Selain ia mencelikkan mata mengenai kaedah mengguna dan menapis maklumat dengan baik bagi mengelak daripada ditipu oleh scammer. Apabila memperkatakan mengenai tugasan pustakawan pula ia sebenarnya bergantung kepada di mana lokasi kerjaya mereka itu. Setiap perpustakaan atau pustakawan walaupun sama secara umum tetapi ia memerlukan kemahiran berbeza.

Contohnya bagi perpustakaan firma guaman, pengguna mereka adalah golongan profesional dalam bidang perundangan. Justeru yang dicari adalah bahan berhubung bidang itu. Oleh demikian, skop tugasan pustakawan juga akan berubah dengan kewujudan soalan berkaitan dengan perundangan seperti akta, warta, rang undang-undang atau bahan-bahan bacaan lain.

Semua ini menunjukkan bahawa dakwaan kerjaya pustakawan sebagai seorang penyusun buku adalah tidak tepat kerana terdapat tugasan lain yang sudah merubah corak pekerjaan hakiki seseorang pustakawan itu.

Qudri Ali Abu Bakar

Kuala Lumpur

Tiada ulasan: