Jumaat, Oktober 04, 2024

22 juta rakyat Malaysia suka membaca


Utusan Malaysia – 4 Okt 2024

ShaeKUALA LUMPUR: Sebanyak 69.9 peratus atau 21.27 juta rakyat Malaysia meminati membaca pelbagai bahan bacaan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Merujuk kepada Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 didapati rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskhah pada tahun 2005, 15 naskhah pada tahun 2014 dan terkini adalah 24 naskhah pada tahun 2023.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Dagang berkata, penemuan ini merupakan indikator positif ke arah pembentukan masyarakat berpengetahuan tinggi, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Menurut beliau, Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2023 mendapati dapati bahawa 69.9 peratus rakyat Malaysia membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Selain itu, kajian menunjukkan bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia gemar membaca di kedai buku dengan 57.7peratus dan di restoran atau kafe siber sebanyak 24.5 peratus. Sehubungan dengan itu, saya menggesa agar lebih banyak pusat membeli-belah menyediakan ruang membaca serta memperbanyakkan kedai buku di dalam pusat membeli-belah bagi memenuhi minat dan keperluan pembaca.

“Sebagai contoh, BookXcess di Pusat Beli-Belah MyTown ini telah menjadi tarikan utama golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibaca oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad ketika merasmikan Karnival Baca Perdana 2024 di Pusat Beli Belah MyTown, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Saraswathy A/P Kandasami dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Puan Salasiah Abdul Wahab.

Karnival Baca Perdana kali ini bertemakan Tema “Perpaduan dalam Pembacaan” kerana buku dan bahan bacaan menjadi jambatan yang menghubungkan individu, memupuk perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Tambah Aaron, sebanyak 33,366 judul atau 140,448 naskhah buku fizikal telah diterima oleh Perpustakaan Negara Malaysia melalui serahan di bawah Akta 331 pada tahun 2022 hingga 2023.

“Sebanyak 27,972 International Standard Book Number (ISBN) bagi penerbitan buku fizikal di mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 50.06 peratus atau 9,332 permohonan berbanding tahun 2022. Oleh itu, dapatan data ini menunjukkan bahawa industri penerbitan negara khususnya penerbitan buku fizikal masih relevan dan mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pembaca serta dilihat terus kekal relevan walaupun persekitaran media elektronik sedang menguasai kehidupan pada masa kini,” katanya.

 

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2024/10/22-juta-rakyat-malaysia-suka-membaca/

Tiada ulasan: